SAYA mengimbau semula saat menjejakkan kaki ke ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Palais Des Nations, Geneva, tahun lalu.
Tanggungjawab mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dalam proses Semakan Berkala Sejagat ke-4 (UPR) Malaysia ketika itu digalas dengan harapan yang tinggi terhadap entiti ‘segah’ PBB.
Sangkaan saya meleset apabila pimpinan negara anggota bangun dan tanpa segan silu mencadangkan agar Malaysia meningkatkan hak, perlindungan serta penambahbaikan kesejahteraan warga emas sedangkan negara mereka menyokong penindasan berterusan kerajaan Israel ke atas rakyat Gaza.
Sejurus mendengar kenyataan penuh hipokrasi berikut, saya menyemak semula Piagam PBB yang menggariskan mandat bahawa organisasi itu perlu bertindak sebagai wadah diplomasi, penyelesaian konflik dan forum kerjasama antara negara untuk mencegah peperangan.
Namun, setelah hampir lapan dekad berlalu sejak penubuhannya, peranan PBB dalam menyelesaikan peperangan masih menjadi perdebatan besar. Imej PBB yang hanya sekadar indah khabar daripada rupa, terbukti amat rapuh dalam pelaksanaannya.
Kematian rakyat Palestin yang sehingga kini mencecah hampir 70,000 orang menjadi tanda kegagalan sistem antarabangsa dalam menjamin keselamatan negara anggota dan rakyatnya.
Tidak dinafikan PBB telah bertahun lama mencuba meredakan konflik antarabangsa melalui pelbagai mesyuarat dan resolusi yang dimeterai antara negara-negara bergolak. Sebagai contoh, penglibatan PBB melalui pasukan tentera bersepadu ketika Perang Korea pada 1950 hingga 1953 menunjukkan kapasiti organisasi itu dalam menghentikan konflik berskala besar, menerusi gencatan senjata.
Manakala sewaktu Krisis Suez dan Mesir yang tercetus pada 1956, Pasukan Darurat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEF), ditubuhkan selaku pasukan pengaman pertama yang berfungsi sebagai buffer zone antara tentera Mesir, Israel dan pasukan penceroboh Perancis-British.
Hal ini membuktikan mekanisme pengaman PBB mampu meredakan ketegangan antarabangsa.
Saya optimis PBB mampu bertindak secara efektif apabila mendapat mandat jelas serta sokongan majoriti negara anggota, termasuk kuasa-kuasa besar. Namun, sejarah panjang PBB membuktikan entiti ini langsung tidak kebal daripada kegagalan yang berterusan.
Kegagalan ini sebahagian besarnya berpunca daripada struktur organisasi yang berat sebelah, khususnya kuasa veto lima anggota tetap Majlis Keselamatan iaitu Amerika Syarikat (AS), Russia, China, Britain dan Perancis.
Kuasa veto menjadikan sebarang resolusi berkaitan konflik antarabangsa boleh terbatal hanya kerana satu kuasa besar tidak bersetuju.
Sumber tinjauan statistik PBB melaporkan hak veto oleh anggota tetap Majlis Keselamatan sejak 1946 memang wujud sebagai penghalang struktural.
Situasi ini menyebabkan PBB sering gagal bertindak segera dalam krisis kemanusiaan. Misalnya, Tragedi Rwanda pada 1994 menyaksikan lebih 800,000 orang Tutsi dibunuh, sementara pasukan pengaman PBB hanya berperanan sebagai pemerhati dengan mandat terbatas. Ini jelas membuktikan PBB gagal mencegah genosid.
Walaupun Piagam PBB menjanjikan keselamatan kolektif tetapi realiti menunjukkan banyak negara anggota masih terdedah kepada ancaman ketenteraan. Pencerobohan AS ke atas Iraq pada 2003 dilakukan tanpa mandat yang jelas daripada PBB, membuktikan negara kuasa besar mampu mengenepikan institusi ini demi kepentingan geopolitik mereka.
Akibatnya, keselamatan negara anggota tidak dapat dijamin hatta untuk melindungi rakyat di sekecil-kecil penempatan.
Isu Palestin merupakan model paling ketara bagaimana PBB gagal menyelesaikan konflik berlarutan yang melibatkan hak asasi manusia dan kedaulatan negara.
‘TUMPAS’ DENGAN KUASA VETO
Sejak 1947, PBB meluluskan puluhan resolusi mengenai Palestin, termasuk Resolusi 242 pada 1967 yang menuntut Israel berundur dari wilayah yang diduduki selepas Perang Enam Hari.
Namun, hampir semua resolusi ini tidak dilaksanakan kerana tiada mekanisme penguatkuasaan yang berkesan, ditambah pula dengan perlindungan kuasa veto AS terhadap Israel.
Analisis NGO dan pakar antarabangsa turut mengesahkan AS menggunakan veto lebih 30 kali dalam usaha melindungi Israel terhadap tindakan PBB yang menentang keganasan rejim zionis.
Tidak sedikit pihak yang berhujah perjanjian antarabangsa seperti Oslo Accord yang dimeterai pada 1993 dan pelbagai rundingan damai lain gagal membawa penyelesaian tuntas.
Hal ini membuktikan kewujudan dokumen undang-undang antarabangsa tidak semestinya menjamin keadilan, apatah lagi menoktahkan peperangan.
Tanpa kesungguhan politik dan mekanisme penguatkuasaan yang bebas daripada tekanan kuasa besar, warga Palestin terpaksa menjadi mangsa penindasan berterusan. Ibarat menegakkan benang yang basah, segala usaha damai itu tidak akan tegak berdiri selagi asas keadilan tidak diperkukuh dan kepentingan kuasa besar masih menguasai percaturan dunia.
Kegagalan PBB bukan sahaja berpunca daripada kelemahan struktur dalaman tetapi juga kerana sifat sistem antarabangsa yang mementingkan kedaulatan negara dan realiti politik kuasa besar.
PBB terikat kepada prinsip non-interference dan keperluan mendapatkan konsensus, yang sering kali mustahil dicapai dalam isu sensitif. Isu Palestin menunjukkan walaupun PBB memiliki kerangka undang-undang antarabangsa, seperti Konvensyen Geneva dan Piagam PBB sendiri, pelaksanaannya bergantung pada kemahuan politik.
Selagi kuasa besar memilih untuk mempertahankan kepentingan sekutu mereka, PBB tidak mampu bertindak lebih jauh daripada sekadar meluluskan resolusi dan kenyataan rasmi yang langsung tiada taring.
Kebergantungan kepada persetujuan kuasa veto menjadikan PBB tidak lebih daripada ‘cermin’ kepada percaturan kuasa dunia. Akhirnya, disebabkan kekangan politik dalaman, PBB gagal berfungsi sebagai penjamin keselamatan sejagat yang sebenar.
Bagi isu Palestin, penyelesaian tidak akan dicapai hanya dengan lambakan resolusi dan beratus-ratus muka surat perjanjian antarabangsa, tetapi memerlukan keberanian politik dunia untuk mengatasi kezaliman yang telah berlarutan lebih tujuh dekad.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Exco Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia dalam Proses Semakan Berkala Sejagat UPR (MACSA).










