SESUNGGUHNYA Rasulullah SAW merupakan contoh teladan terbaik serta memandu umat manusia untuk berjaya dunia dan akhirat.
Dalam Surah Al-Ahzab pada ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Sifat kasih sayang Baginda Rasulullah begitu luhur kepada keluarga dan masyarakat. Ia menjadi pemangkin kepada kejayaan dakwah rahmah Rasulullah sehingga mempertautkan hati semua pihak.
Sifat-sifat kenabian Baginda iaitu siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatonah (bijaksana) merupakan resipi sempurna dalam menyebarkan risalah tauhid kepada umat manusia.
Akhlak mulia dan terpuji Rasulullah diterapkan dalam kehidupan seharian. Baginda menyerlahkan kebijaksanaan dalam membuat keputusan, kelembutan tutur kata, keindahan perilaku, menyantuni semua lapisan umur termasuk orang bukan Islam.
Sambutan Maulidur Rasul dianjurkan sama ada di peringkat kebangsaan dan juga di negeri-negeri adalah satu usaha untuk mengajak umat Islam memperteguh kecintaan serta penghayatan kepada akhlak Baginda.
Pada tahun ini, ‘Membangun Ummah Madani’ diangkat sebagai tema sambutan sebagai terjemahan kesungguhan citra Kerajaan Madani untuk kesejahteraan negara.
Mengambil qudwah perjuangan Rasulullah yang mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar serta membangunkan Madinah dengan semangat perpaduan dan keharmonian berpasakkan Sahifah Al-Madinah, seharusnya teras Malaysia Madani diangkat berpaksi kepada pembentukan sebuah negara atas asas pentadbiran yang holistik dan bersepadu, menekankan kemuliaan insan bagi mencapai Al-Falah dalam keseluruhan aspek kehidupan.
Karamah Insaniah hanya akan terzahir apabila ia diadun dengan penghayatan Islam sebenar.
PERPADUAN DALAM KEPELBAGAIAN
Negara memerlukan kompas tersendiri dalam menghargai keunikan kepelbagaian budaya, kaum dan agama. Semangat perpaduan dalam kemajmukan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara akan membentuk acuan jati diri yang berjiwa patriotik, bertoleransi dan bertanggungjawab untuk memperkukuh kesejahteraan masyarakat yang menjadi nilai teras Malaysia Madani.
Oleh yang demikian, seluruh agensi hal ehwal Islam perlu melipatgandakan usaha untuk memperkukuh kesatuan umat Islam yang saling hormat menghormati serta lengkap melengkapi.
Selain itu, para agamawan serta ilmuwan Islam perlu terlebih dahulu menampilkan contoh terpuji untuk diikuti oleh masyarakat awam. Kita tidak boleh sekadar beretorik tanpa membuktikan ia dengan amalan dan tindakan.
Sebarang pertelagahan yang tidak membawa apa-apa manfaat kepada ummah perlulah dielakkan sama sekali. Selesaikan semua perselisihan di atas meja rundingan dengan semangat syura dan musyawarah.
Dunia hari ini bergerak begitu pantas dengan ledakan teknologi. Dunia Islam perlu memeta hala tuju serta membuat persiapan untuk mendepani seribu cabaran dan realiti.
Gerakan untuk memartabat ilmu pengetahuan dan nilai akhlak perlu dibuat dengan penuh agresif demi mengangkat kualiti diri bersesuaian dengan wahyu pertama al-Quran, Surah Al-‘Alaq iaitu Iqra’ jelas mengasak umat Islam untuk membaca, mengkaji dan menyelidik.
Keluar daripada kepompong pekat kejahilan kepada kebenaran yang terang benderang.
Firman Allah SWT Surah Al-Mujadalah, potongan ayat yang bermaksud:
“…Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”
Sejarah telah membuktikan, tamadun Islam pernah berada di puncak, mempelopori dunia keilmuan dan kesarjanaan. Sekadar mengangkat beberapa nama tokoh ilmuan seperti Ibn Tufayl, Ibn Rushd dan Ibn Khaldun, sumbangan mereka begitu gemilang kepada kelestarian tradisi keilmuan falsafah, perubatan, sains kimia, kaji hayat dan seumpamanya.
MAULIDUR RASUL SEBAGAI TITIK PERMULAAN
Justeru, Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan yang kita sambut, membawa satu makna besar kepada umat Islam untuk menghayati serta mengamalkan segala intipati ajaran yang telah ditinggalkan Baginda Rasulullah berasaskan ilmu dan hikmah.
Agensi-agensi hal ehwal agama bersama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri akan terus turun ke lapangan menyantuni serta memperteguh perpaduan masyarakat.
Institusi masjid dan surau akan terus diupayakan sebagai madrasah yang memberikan kefahaman ilmu serta mengasuh adab dan nilai selain pusat perpaduan umat Islam. Semoga umat Islam akan terus menjadi contoh terbaik dalam segala bidang jua mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.-UTUSAN
DATUK Dr. Mohd. Naim Mokhtar ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).










