APABILA hujan lebat, banjir kilat, dan infrastruktur yang rapuh mengubah rumah menjadi perangkap maut dan wira menjadi mangsa, dunia sedang melihat realiti baharu. Di pelbagai benua dan iklim, satu tema bersama semakin ketara — apabila amaran lewat, sistem lemah dan komuniti tidak dimaklumkan, tragedi pasti berlaku.
Salah satu kisah paling menyayat hati datang dari Ingram, Texas, di mana Julian Ryan, 27 tahun, meninggal dunia dalam usaha berani menyelamatkan keluarganya. Ketika Sungai Guadalupe naik lebih 30 kaki melebihi paras biasa pada awal pagi 4 Julai 2025, air banjir melimpah masuk ke rumah Ryan. Dalam masa hanya 20 minit, air telah mencecah paras lutut.
Dalam tindakan terakhir penuh keberanian, Ryan memecahkan tingkap untuk membantu keluarganya termasuk dua anak kecil melarikan diri ke atas bumbung. Namun, kaca pecah telah memutuskan arteri utama di lengannya, dan tanpa bantuan kecemasan yang dapat sampai tepat pada waktunya, beliau meninggal dunia beberapa jam kemudian. Kata-kata terakhirnya: “Maafkan saya, saya takkan sempat. Saya sayang kamu semua.” Ahli keluarganya, Christina Wilson, kemudian meluahkan kekesalan bahawa sekiranya terdapat siren banjir atau sistem amaran awal, mereka pasti telah berpindah lebih awal.
Sementara itu, ribuan kilometer jauhnya di Amerika Selatan, ribut telah melumpuhkan Argentina dan Uruguay pada bulan Mac. Kawasan pinggir Buenos Aires mencatatkan 130 milimeter (mm) hujan dalam hanya 24 jam, hampir jumlah hujan sebulan. Jalan-jalan di Morón dan Mataderos menjadi seperti sungai.
Rumah-rumah tenggelam dan sistem pengangkutan lumpuh. Di seberang sempadan, Uruguay menyaksikan banjir bersejarah di Florida, apabila Sungai Santa Lucía Chico naik ke paras tertinggi yang pernah dicatat, menenggelamkan Jambatan Piedra Alta yang berusia 100 tahun. Hampir 5,000 orang dipindahkan dari rumah dan lebih 40,000 terputus bekalan elektrik.
Di Indonesia, Sumatera Barat dilanda hujan 300mm dalam enam jam pada bulan Mac, mengakibatkan banjir dan tanah runtuh yang meragut 26 nyawa dan memaksa lebih 80,000 orang berpindah. Jalan, sekolah, masjid dan rumah musnah dibawa arus. Di Pakistan, musim monsun telah meragut sekurang-kurangnya 46 nyawa, 13 daripadanya dari satu keluarga pelancong yang dihanyutkan di Sungai Swat.
Di Perancis pula, Ribut Monica membawa lebih 300mm hujan dalam dua hari ke wilayah selatan Gard, Ardèche, dan Var, menghanyutkan kenderaan dan keluarga, serta meninggalkan tujuh orang hilang. Di Afghanistan, di mana tahap kerentanan sangat tinggi, banjir kilat pada bulan Mei mengorbankan lebih 300 orang dan memusnahkan ribuan rumah. Bantuan kecemasan terhalang akibat jalan tidak dapat dilalui dan jambatan runtuh.
Walaupun kematian akibat banjir sering dikaitkan dengan lemas, di Malaysia sahaja, dua individu maut di Selangor pada April 2025 akibat renjatan elektrik di dalam rumah yang dinaiki air. Salah seorang mangsa ialah penghantar makanan di Kampung Padang Jawa, Klang, yang ditemui tidak bernyawa.
Telefon bimbitnya masih tersambung pada pengecas ketika terendam dalam air. Beberapa bulan sebelumnya, pada 27 November 2024, Tuan Mohd. Zakaria Tuan Ismail, 33 tahun, meninggal dunia ketika cuba mencabut palam mesin basuh di rumahnya yang dilanda banjir di Kelantan. Beliau terkena renjatan elektrik dan dihanyutkan arus.
Kes-kes ini adalah sebahagian daripada corak yang membimbangkan. Pada Disember 2021, seorang lelaki maut akibat renjatan elektrik semasa banjir dan tepat setahun kemudian, pada Disember 2022, tiga beradik perempuan kehilangan nyawa dalam kejadian serupa. Apa yang menyatukan tragedi-tragedi ini bukan sekadar nasib malang, tetapi peluang yang terlepas: Kekurangan kempen kesedaran awam, peraturan keselamatan yang tidak mencukupi dan ketiadaan sistem pemotongan kuasa automatik di kawasan berisiko tinggi.
Setiap bencana, sama ada di Asia mahupun di Hemisfera Barat mengukuhkan satu kebenaran mendesak: Perubahan iklim bukan lagi ancaman masa depan. Ia adalah darurat hari ini. Dunia kini menyaksikan taburan hujan yang semakin lebat, lautan yang lebih panas dan sistem ribut yang melangkaui pola sejarah. Namun alat untuk mengurangkan bencana ini bukanlah asing atau tidak dapat dicapai. Sistem amaran awal, zon larangan pembangunan di kawasan banjir, infrastruktur tahan lasak dan pendidikan komuniti bukan sekadar cadangan, ia adalah penyelamat nyawa.
Ketika kita meratapi wira seperti Julian Ryan dan mangsa seperti Tuan Zakaria, janganlah kita menjadikan mereka mangsa sia-sia akibat ketidakpedulian. Biarlah kisah mereka menjadi pencetus kepada komitmen global terhadap daya tahan iklim dan azam Malaysia untuk tidak lagi dibelenggu oleh ketidaksediaan.
Kita tidak dapat mengawal bencana. Tetapi kita boleh dan mesti mengawal sejauh mana kesiapsiagaan kita untuk menghadapinya. – UTUSAN
PENULIS ialah KAED, IIUM Alumna dan ahli jawatankuasa Institut Diraja Arkitek British (RIBA).










