MUKADIMAH
BERADA dalam barisan penggerak parti PKR sejak mula ditubuhkan pada 1999, DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL antara nama yang tidak ‘tenggelam’ dalam arena politik walaupun ada menang dan kalah ketika memasuki gelanggang pilihan raya umum.
Beliau dilihat antara pemimpin yang mengutamakan keharmonian antara anggota dan pemimpin parti apabila memberi laluan kepada Nurul Izzah Anwar bertanding sebagai Timbalan Presiden dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Mengemudi kementerian utama dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, Menteri Dalam Negeri itu turut berkongsi isu-isu keselamatan terutama berkaitan warga asing, integriti pasukan penguat kuasa dan Akta Perhimpunan Aman ketika wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR bersama jurufoto, FAISOL MUSTAFA serta juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI di pejabat beliau, baru-baru ini.
PRESTASI KERAJAAN MADANI
Apakah prestasi Kerajaan Madani setelah tiga tahun memerintah cukup yakin untuk menghadapi PRU16?
Kita boleh berbangga kerajaan ini berjaya mengekalkan kestabilan politik. Ada ‘jiran’ kita, tiga kali tukar kerajaan. Ada jiran kita juga, demonstrasi rakyat berlaku. Ada yang sedang berlaku pertikaian sempadan. Tetapi, kita alhamdulillah boleh dianggap stabil.
Hendak ukur performance kerajaan, kestabilan politik yang pertama, yang kedua, kemakmuran ekonomi. Kemakmuran ekonomi, ada kayu ukur dia pula. Angka inflasi. Siapa pun naik jadi kerajaan, Jabatan Perangkaan itulah kerja dia.
Setelah politik stabil, ekonomi boleh dijana dengan baik, sampai atau tidak ke rakyat? Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan SARA, nelayan, petani, pekebun kecil, warga emas, orang kelainan upaya, semua dapat.
Penilaian terhadap Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden parti?
Semua jawatan saya sudah pegang. Naib Presiden, Ketua Pemuda, Setiausaha Agung, Pengarah Strategi, Pengarah Pilihan Raya sekarang saya pegang, yang saya tidak pegang hanya Timbalan Presiden dengan Presiden. Jadi, saya memang boleh bercakap isu ini. Pemilihan parti ini, ia memberi kesan berbeza. Tapi orang kata, masa adalah penyembuh yang baik. Jadi, semakin proses itu berjalan, saya fikir pimpinan dan anggota itu, saya tengok mereka semakin boleh bersama, orang kata, biduk berlalu, kiambang bertaut.
Saya akui ada dua tiga perkara berlaku, antaranya parti kehilangan Datuk Seri Rafizi Ramli, dia seorang yang sangat hebat, unik pada saya.
Kami juga kehilangan Nik Nazmi Nik Ahmad, walaupun di peringkat ini, saya terus kekal hubungan dengan mereka, masih berkomunikasi dengan mereka. Insiden anak dia kena serang itu, saya antara orang paling awal bercakap dengan dia, bagi semangat, bagi jaminan polis akan menyegerakan siasatan. Maklumkan perkembangan kepada dia apa yang berlaku.
Saya masih berhubung dan bercakap telefon dengan dia, masih berhubung mesej. Saya posisikan diri saya begitu dengan Rafizi. Soal perbedaan, gaya politik, dia kritikal dengan Presidenkah, dia sangat outspoken, itu style orang itulah dan saya tiada kaitan.
Soalnya, apakah dia kekal sebagai ahli parlimen PKR? Jawapannya ya. Apakah dia terus memberikan pandangan, menyampaikan suara rakyat? Jawapannya ya. Apakah semua pandangan dia itu dianggap sebagai kritikal? Ya, tetapi konstruktif. Ada.
Saya ikuti komennya tentang BUDI95. Dia sebut apakah point of failures yang mungkin berlaku. Apakah kerajaan patut mitigate? Berapa unjuran keuntungan kerajaan? Dia sebut. Dan saya ingat itu pandangan yang saya fikir wajar.
Jadi, sebab itu saya tidak mahu point-point performance Izzah macam mana, termasuk Datuk Seri Amirudin Shaari macam mana, Datuk Seri Aminuddin Harun, Chang Lih Kang, Kamil Abdul Munim sebagai Ketua AMK atau Fadhlina Sidek.
Saya lebih hendak tengok kalaulah PKR itu sebagai satu kenderaan, every single part itu ada peranan atau skru kecil yang memegang tayar. Kalau tayar itu cabut, kena skru itu rosak, bas yang hebat pun tidak boleh berjalan walaupun pemandu dia bagus.
Adakah parti terkesan dengan kehilangani seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin dan sekarang ‘hilang’ Rafizi dan Nik Nazmi?
Parti politik dinamik, ia bukan statik. Ia ada beza, parti pernah hilang Azmin dan Zuraida, itu khianat. Parti tidak hilang Rafizi, beliau cuma tidak berada pada kedudukan sebagai Timbalan Presiden, dan dia masih dalam satu kapal. Dia masih ada, dan kapal terus berlayar. Sementara Azmin dulu lompat terus. Dia tebuk kapal segala macam, itu tidak sama.
Jadi, dalam PKR ini bukan sahaja Azmin dan Zuraida. Kami pernah hilang Marina Yusof, Zainur Zakaria, Chandra Muzaffar, Ezam Mohd. Nor, ramai. Tetapi masa kami mula buat parti dulu, tahun 1999, sembang ajak orang masuk parti pun orang cakap, ini orang gila mana? Tetapi sekarang keanggotaan kami 1.1 juta.
Kayu ukur parti ini apa? Masuk pilihan raya, rakyat sokong atau tidak. Kalau sokong, berapa bilangan kerusi menang? Kekal jadi pembangkang atau sudah jadi kerajaan? Jadi, yang kita susah hati pemimpin lari dan sebagainya? Itu lumrah dalam perjuangan. Ada ditulis ada golongan yang gugur di jalan dakwah, tak dapat kekal istiqamah, itu biasa.
Kalau setakat beralih kedudukan, dia masih dalam bahtera perjuangan sama. Itu yang saya tengok pada sosok Rafizi. Yang lain itu akan dikenang dalam sejarah politik sebagai khianat.
TIDAK KENAL RAPAT FARHASH
Berhubung isu dakwaan salah laku Datuk Farhash Wafa Salvador yang menjadi perhatian masyarakat kini dan dikaitkan juga dengan PKR dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Saya tidak kenal dia sangat rapat seperti mana saya kenal Rafizi, saya kenal Nurul Izzah dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin. Masa saya Setiausaha Agung, dia pernah jadi Pengerusi PKR Perak sekejap, saya ingat dalam sepenggal begitulah.
Jadi, hubungan saya begitu sahaja dalam pimpinan parti setakat itu. Saya tidak mengenali latar belakang dia seperti mana saya kenal Rafizi atau lain-lain. Nampaknya orang ramai lebih kenal Farhash daripada saya. Saya tidak boleh komen lebih daripada itu.
KERJASAMA PH-BN-GRS
Mengenai PRN Sabah, adakah PH masih sedia bekerjasama dengan GRS setelah BN memuktamadkan untuk tidak bekerjasama dengan GRS?
Sebagai Pengarah Pilihan Raya, tugasan yang diberi oleh Presiden adalah sangat spesifik. Saya mesti ikut membantu parti, saya dan Nurul Izzah Anwar adalah pengarah bersama. Pertamanya kami kena selesaikan rundingan kerusi secepat mungkin, itu tasking yang sangat spesifik.
Dan tasking itu membawa pertemuan saya dengan BN. Kami lalui beberapa siri rundingan. Kami sudah ada jumlah kerusi yang kami tidak bertembung dengan BN, cuma ada satu dua lagi kita belum muktamadkan.
Semalam pun saya dengan Presiden UMNO memperhalusi lagi butiran kerusi. Bincang pun sudah banyak kali, saya yakin kami boleh tamatkan itu, dan tentu ideanya adalah kerjasama di antara PH,BN dan GRS. Tetapi jika ada elemen di luar kawalan kami. Kami tidak boleh buat keputusan. Kami usahakan, tetapi kalau tidak kesampaian, kita kena hormati. Itu proses yang selamat.
Posisi kami PH, kami hendak berkawan dengan semua gabungan dan bersedia untuk meningkatkan potensi kebolehmenangan dan seterusnya membentuk kerajaan di Sabah.
TIDAK HILANG DARI RADAR POLITIK
Surival politik Datuk Seri sendiri memandangkan sebelum ini tewas di peringkat Parlimen, jadi bagaimana ingin memenangi hati pengundi selepas ini?
Saya dalam PKR sejak 1999, kemudian saya masuk pilihan raya bulan 11 tahun 1999. Saya bertanding di Padang Serai. Saya kalah dengan Datuk Lim Bee Kau, Naib Ketua Wanita MCA. Saya kalah tidak banyak, lebih kurang 19,000 undi. Selepas itu saya bertanding kali kedua pada 2004, lawan Lim Bee Kau juga. Saya kalah 21,000. Okay lah, tetapi saya tidak hilang dari radar politik pun.
Kemudian saya bertanding pula, parti hantar saya di Machang tahun 2008. Saya menang dengan Sazmi Miah, saya menang 1,400 sahaja. Jadi Ahli Parlimen. Kemudian 2013, parti kata sebab Datuk Dzulkefly Nordin, dia pernah menang tiket PKR 2008, kemudian dia khianat. Kemudian saya balik bertanding di Kulim, saya kalah dengan Datuk Aziz Sheikh Fadzir. Kemudian, mereka kata lawan sekali lagi, saya menang pula.
Jadi, menang kalah, ini biasa dalam politik. Saya tidak hilang dari radar politik, masih sama juga. Saya tolak jika ada mengatakan kalah pilihan raya, tenggelam. Ia bergantung macam mana kita bawa diri.
LAMBAKAN WARGA ASING
Adakah kerajaan menjejaki secara sistematik warga asing yang tinggal lebih masa di negara ini?
Kita mempunyai rekod kemasukan dan rekod keluar. Perbezaan antara kedua-dua rekod ini menunjukkan mereka yang tinggal lebih masa dan perkara itu jelas. Langkah pertama adalah melalui rekod Jabatan Imigresen. Jika seseorang masuk menggunakan pas lawatan atau pas lawatan sosial, mereka wajib mengisi Malaysian Digital Arrival Card (MDAC). Kad ini perlu diisi semasa ketibaan dan di situ tercatat semua maklumat penting untuk tujuan pengesanan.
Daripada rekod ini, kita boleh mengesan sama ada individu itu keluar dalam tempoh ditetapkan. Contohnya, jika dia mendapat kemudahan visa bebas selama 30 hari, pada hari ke-31 kita boleh semak sama ada dia sudah meninggalkan negara atau tidak. Angka itu dapat dikenal pasti dengan tepat melalui data.
Bagaimana pula warga asing yang masuk tanpa melalui pintu masuk yang sah?
Sempadan darat dan laut negara kita sepanjang lebih 4,000 kilometer ini tetap berisiko dibolosi walaupun dikawal pelbagai agensi keselamatan. Dalam kes ini, tiada rekod disimpan kerana mereka masuk secara tidak sah.
Selain itu, ada juga yang masuk secara sah tetapi menyalahgunakan pas, contohnya menggunakan pas lawatan untuk bekerja di kilang tetapi menjalankan kerja di ladang. Semua ini dikategorikan sebagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
SISTEM PEMETAAN HOTSPOT WARGA ASING
Memandangkan isu ini sudah lama berlarutan, Imigresen telah membangunkan sistem pemetaan dengan mengenal pasti 224 ‘hotspot’ di seluruh negara yang menjadi penempatan utama warga asing. Melalui pemetaan ini, penguatkuasaan dapat dipertingkat dari semasa ke semasa bagi memastikan yang melanggar undang-undang dapat dikesan dan diambil tindakan.
Apabila warga asing ditahan kerana melanggar undang-undang imigresen, mereka akan ditempatkan di depot imigresen. Dari situ, kita akan menguruskan urusan dengan kedutaan masing-masing bagi mendapatkan dokumen perjalanan sementara sebelum dihantar pulang. Itulah tugas hakiki bahagian penguatkuasaan imigresen. Kita juga mengenal pasti lokasi atau hotspot warga asing, sama ada di Klang, Selayang, Jalan Silang, mahupun di Sabah dan Sarawak. Kawasan ini dikenal pasti secara tepat untuk memudahkan penguatkuasaan.
ISU COUNTER SETTING
Bagaimana KDN dapat menangani individu warga asing yang terlepas masuk, khususnya akibat kelemahan dalam penguatkuasaan di lapangan?
Pertama sekali, kita harus mengakui isu ini memang wujud. Saya tidak akan menafikan hakikat itu kerana jika kita menolak realiti, kita tidak akan mampu memperbaiki keadaan. Yang penting, kita terima ia berlaku dan benarkan pihak penguat kuasa jalankan tugas.
Dalam hal ini, SPRM diberi ruang sepenuhnya untuk menyiasat, mengesahkan maklumat, mengambil tindakan dan menghebahkan hasil siasatan. Ini menunjukkan KDN memberi kerjasama penuh serta tidak akan melindungi mana-mana pihak.
Kedua, persoalannya apa langkah pembetulan? Kita tidak boleh hanya berharap keadaan berubah tanpa tindakan. Perdana Menteri sendiri sering menegaskan prinsip utama beliau, jangan terlibat rasuah, jangan seleweng, jangan boros berbelanja, dan jangan berlaku ketirisan dalam projek.
Jika nilai ini dihayati, kedudukan kewangan kerajaan lebih selamat. Namun, kerana manusia berbeza dalam penghayatan nilai itu, pelanggaran masih berlaku.
Isu counter setting masih berulang. Mengapa ia terus berlaku meskipun langkah penguatkuasaan telah dijalankan?
Saya tidak pernah menafikan isu ini. Jika saya menolak, itu namanya bersikap penafian dan ia tidak membantu kita memperbaiki keadaan. Sebaliknya, kita harus mengakui masalah ini memang berlaku dan persoalannya, apa tindakan yang kita ambil. Saya juga ingin jelaskan pentadbiran ini tidak pernah mempertahankan salah laku pegawai.
Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan SPRM terhadap pegawai imigresen. Malah, kita beri laluan penuh kepada SPRM untuk mengambil tindakan, menahan dan mendakwa sesiapa sahaja yang bersalah. Itu adalah sebahagian daripada proses penguatkuasaan, dan kita tidak berhenti setakat itu sahaja.
Apa yang lebih penting adalah usaha pembaikan sistem. Kita mahu masyarakat memberi tumpuan kepada langkah pembaharuan, bukan sekadar siri tangkapan. Jika hanya menekankan isu itu, ia boleh menimbulkan gambaran seolah-olah keseluruhan pasukan bermasalah, sedangkan majoriti pegawai penuh dedikasi.
CABARAN ANCAMAN SIBER
Bagaimana pula kesiapsiagaan KDN menghadapi ancaman jenayah siber?
KDN melalui Polis Diraja Malaysia bersama beberapa agensi lain termasuk Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah membentuk jawatankuasa khas tertinggi bersama. Dalam konteks jenayah siber, ada dua kategori. Pertama, yang bersifat enabler. Kedua, yang berlaku secara langsung seperti online scam.
Perubahan utama yang dibuat adalah di Bahagian Jenayah Komersial Bukit Aman. Mereka kini diberikan peranan untuk mengetuai agensi untuk menguruskan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC). Pusat ini akan beroperasi sepenuhnya di Cyberjaya pada suku keempat tahun ini. Buat masa ini, ia sudah beroperasi dengan kerjasama Bank Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan polis.
Bezanya, sebelum ini operasi berpecah kepada tiga agensi dan tiada siapa ambil peranan sebagai peneraju. Sekarang kerajaan putuskan polis sebagai peneraju, dibantu agensi lain.
Purata panggilan yang diterima sekitar 500 sehari. Itu adalah rakyat Malaysia yang membuat aduan kerana ditipu melalui jenayah siber. Bukan kes hacking atau phishing, tetapi kes penipuan sebenar.
Keutamaan kita, bila ada aduan, kita segera maklumkan kepada pihak bank untuk membekukan akaun. Tujuannya supaya duit tidak dipindahkan berlapis-lapis. Itu langkah pertama.
Kedua, panggilan yang masuk ke pusat ini dan dijawab oleh polis, kita terus anggap sebagai laporan polis. Sebelum ini, jika orang telefon pusat itu, pegawai hanya catat nama, alamat dan nombor akaun. Kemudian mangsa diminta pergi ke balai polis berhampiran untuk buat laporan rasmi. Sekarang tidak perlu. Panggilan itu terus dikira laporan.
Banyak perubahan dibuat. Kerugian akibat jenayah ini juga semakin meningkat. Contohnya, menurut laporan yang dibentangkan oleh Datuk Seri Nancy Shukri dalam Mesyuarat Majlis Sosial Negara, kerugian tahun lepas mencecah RM1.2 bilion.
PINDAAN AKTA PERHIMPUNAN AMAN
Mahkamah baru-baru ini memutuskan Akta Perhimpunan Aman bercanggah dengan Perlembagaan. Bagaimana KDN mengimbangi hak rakyat untuk berhimpun dengan aspek ketenteraman awam?
Kerajaan kekal menghormati hak individu untuk berkumpul secara aman seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan. Itu tidak berubah. Pada masa sama, Perlembagaan juga membenarkan kerajaan menggubal undang-undang, maka lahirlah Akta Perhimpunan Aman.
Dulu, di bawah Akta Polis Seksyen 27, yang menghendaki penganjur perlu mohon permit. Jika tiada permit tetapi perhimpunan tetap diteruskan, polis boleh gunakan kekerasan.
Namun zaman berubah, sikap kerajaan juga berubah. Tahun 2012, lahir Akta Perhimpunan Aman yang menetapkan tiga tanggungjawab iaitu polis, penganjur dan peserta. Terbaru, Mahkamah Persekutuan menyatakan Seksyen 9(5), iaitu kewajipan penganjur memberi notis kepada polis, sebagai tidak berperlembagaan. Jadi, kerajaan akur dan KDN kini meneliti semula akta itu secara menyeluruh untuk cadangan pindaan.
Apakah bentuk pindaan yang sedang dipertimbangkan?
Antara yang sedang dilihat adalah mengetepikan Seksyen 11, iaitu kewajipan penganjur mendapatkan izin pemilik premis untuk berhimpun. Selain itu, menyeragamkan umur peserta perhimpunan.
Semalam saya bertemu dengan antara kumpulan aktivis perhimpunan. Mereka membangkitkan tentang tempoh notis lima hari kepada polisi itu juga adalah tempoh panjang.
Mereka menuntut ia dikaji semula yang mencadangkan notis 48 jam, contohnya untuk isu segera seperti Gaza. Saya terbuka untuk mendengar pandangan. Engagement seperti ini penting untuk kita bentangkan pindaan Akta Perhimpunan Aman menyusul keputusan Mahkamah Persekutuan tempoh hari dengan lebih menyeluruh bukan hanya terhad kepada fasal peruntukan berkaitan keputusan mahkamah itu.
Adakah notifikasi kepada polis benar-benar membebankan?
Tidak. Sepanjang wujudnya Kerajaan Madani, purata notifikasi perhimpunan kepada polis setahun sekitar 10,000 perhimpunan, besar dan kecil. Daripada jumlah itu, 98 peratus dapat fasilitasi penuh daripada polis.
Setelah pemberitahuan kepada polis, adakah dikenakan sekatan? Jawapannya tidak. Saya sebut kepada kumpulan aktivis yang berjumpa saya, mereka mengakui banyak perubahan positif di bawah tajuk perhimpunan aman ini berbanding dahulu. Namun, mereka cadangkan supaya lebih jelas sempadan tanggungjawab polis (contoh: Balai Polis Dang Wangi dan Sentul). – Mingguan Malaysia









