Jadikan empati sebagai bahasa sejagat

Jadikan empati sebagai bahasa sejagat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini sedang diuji dari segi kewarasan akal budi masyarakat akibat pelbagai kisah menyayat hati yang berlaku dalam kalangan rakyat. 

Peristiwa-peristiwa ini menimbulkan persoalan besar dalam kalangan masyarakat dan pada masa sama membangkitkan nilai ihsan yang menjadikan kita lebih peka terhadap golongan rentan, khususnya kanak-kanak, remaja dan wanita dalam kes buli dan penderaan.

Dalam era moden ini, kecanggihan dunia milenium mendorong kita menjadi semakin pantas dan cerdas, namun ia juga memberi kesan terhadap kemerosotan nilai budi dalam masyarakat. Dalam perbincangan sosial, dua istilah sering disebut apabila berdepan dengan penderitaan orang lain iaitu simpati dan empati.

Simpati ialah rasa belas kasihan yang timbul apabila kita melihat orang lain berada dalam kesusahan. Ia lahir daripada pengamatan luar, sekadar merasakan sedih terhadap nasib orang lain tanpa benar-benar menyelami keadaan mereka. Walaupun ikhlas, simpati sering berakhir dengan ucapan atau doa, tanpa gerakan yang lebih konkrit.

Empati, sebaliknya, menuntut kita melangkah lebih jauh. Ia bukan sahaja memahami penderitaan, malah berusaha membayangkan diri berada di tempat mangsa. Empati bermaksud membayangkan bagaimana seorang kanak-kanak kecil bedpan trauma, ketakutan, dan kehilangan rasa selamat. 

Empati mendorong tindakan dengan menyediakan sokongan psikologi, memastikan perlindungan undang-undang, mendidik masyarakat agar lebih peka dan menggerakkan perubahan sistemik supaya penderaan tidak berulang.

Perbezaan asasnya ialah simpati berhenti pada rasa, manakala empati bergerak ke arah tindakan. Di sinilah terletaknya nilai kemanusiaan sejati bukan sekadar menaruh kasihan tetapi mengubah rasa itu menjadi tanggungjawab sosial. 

Seperti peribahasa Melayu menyebut, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ , penderitaan seseorang perlu dirasai bersama, agar kita semua terpanggil untuk mencari jalan penyelesaian.

Sejauh manakah kita dan generasi hari ini serta masa hadapan memahami menjadi warganegara berakal budi adalah tanggungjawab khusus bagi merealisasikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang aman damai kepada rakyatnya mahupun  yang melawat, berurusan mahupun tinggal di dalam negara ini.

Kami yakin, kelak akan menjelma  keadilan bagi mangsa-mangsa serta keluarga atau waris yang dizalimi oleh pengalaman buli, dera, kekejaman mental dan fizikal pada detiknya yang tepat. Cepat atau lambat, undang-undang itu akan sentiasa diiktikadkan sebagai langkah berdepan dengan situasi sedemikian.

Pengalaman kita berdepan dengan kisah kezaliman seseorang kepada orang lain sehingga terhenti nafas insan lain melambangkan kecederaan sosial dan kegagalan kolektif sebagai masyarakat yang sepatutnya melindungi, bukan menyakiti apatah lagi berlaku zalim kepada insan lain.

Ironinya kita semakin kehilangan sentuhan insani dalam era hidup era millenium. Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 2,240 kes penderaan dilaporkan sehingga Ogos 2024. Jumlah tertinggi dilaporkan melibatkan penderaan seksual dengan 1,260 kes, diikuti kejadian fizikal (897 kes) dan emosi (83 kes). 

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, sebanyak 354 kes penderaan kanak- kanak yang membawa kepada kematian dilapor dalam tempoh lima tahun hingga 2024.

Penderaan tidak berlaku dalam ruang kosong sebaliknya berakar daripada ketandusan nilai empati dalam komunikasi seharian  sama ada di rumah, sekolah atau institusi masyarakat.

Di sinilah perlunya kita menelusuri dan mengangkat seni komunikasi insani sebagai asas kehidupan sosial.

 

DALAM laju hidup era milenium, kita perlahan-lahan kehilangan sentuhan insani.

 

KOMUNIKASI

Komunikasi bukan sekadar pertukaran maklumat tetapi hubungan jiwa ke jiwa. Seni ini menjadikan empati bukan sekadar simpati tetapi sebagai bahasa yang merentasi latar belakang, budaya, status dan generasi. 

Komunikasi insani ialah pendekatan berasaskan kasih sayang, penghormatan dan kejujuran dalam berinteraksi. Ia berakar daripada falsafah kemanusiaan yang menitikberatkan nilai murni dan memperjuangkan suara golongan rentan seperti  kanak-kanak, wanita, orang kurang upaya, warga emas dan sebagainya.

Dalam situasi sedemikian, kita mungkin tertanya-tanya, di mana jiran, guru atau  anggota keluarga lain? Jika komunikasi insani diamalkan sebagai budaya, sudah tentu ada seseorang yang peka terhadap isyarat penderitaan itu sama ada melalui perubahan tingkah laku, raut wajah atau renungan mata seorang anak kecil yang minta diselamatkan.

Komunikasi insani membuka ruang untuk mendengar dengan hati, bukan sekadar telinga serta memperdalam refleksi ihsan seperti yang digariskan dalam prinsip Madani.

Menurut pakar psikologi komunikasi, pendekatan ini memerlukan kehadiran sepenuhnya, empati aktif dan pengesahan emosi. Ketiga-tiga elemen ini boleh dilatih dalam kalangan ibu bapa, guru, kaunselor, pemimpin organisasi dan penjawat awam.

Sekolah bukan hanya tempat menuntut akademik tetapi ruang memupuk peradaban. Komunikasi insani boleh dimulakan dengan mengajar pelajar untuk mendengar tanpa menghakimi, berkongsi rasa dengan rakan yang sedang bergelut dan melaporkan jika berlaku penderaan.

Pendidikan nilai seperti ini harus menjadi teras kurikulum, bukan sekadar subjek elektif. Guru pula harus dilatih untuk membaca isyarat bukan lisan dengan memantau pelajar yang selalu diam, mudah terkejut, atau menunjukkan luka-luka misteri. Komunikasi guru-murid yang mesra dan terbuka mampu menjadi saluran penyelamat.

Lebih penting, kita mesti memperkasa ekosistem perlindungan yang melibatkan kerjasama antara sekolah, keluarga, pertubuhan masyarakat sivil dan agensi penguatkuasaan. Sistem pengesanan awal dan tindak balas bersepadu dapat mengelakkan tragedi berulang.

Teknologi boleh menjadi jambatan atau jurang, bergantung bagaimana kita menggunakannya. Pada satu sisi, media sosial boleh menjadi ruang kesedaran, seperti yang berlaku dalam kes yang dilaporkan. Namun, tetap juga berisiko jika disalah guna untuk menyebarkan trauma atau mengaibkan mangsa.

Komunikasi insani dalam ruang digital menuntut etika empati digital menyantuni emosi, menjaga privasi dan menghindari komen yang boleh mencetuskan tekanan psikologi. Pihak media harus memainkan peranan penting dengan melaporkan secara sensitif dan membina, bukan sekadar sensasi.

Kita tidak perlukan lebih banyak kemarahan tetapi lebih banyak tindakan berasaskan kasih dan cakna. Empati bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan yang membina tamadun. 

Dalam masyarakat yang berjiwa, tidak akan ada ruang untuk penderaan kerana setiap individu dipandang sebagai insan dan dan objek. Dalam membina masyarakat yang beradab dan penuh ihsan, kita tidak boleh hanya bersimpati dari jauh. 

Empati harus dijadikan bahasa sejagat, agar setiap tangisan yang tersembunyi seperti yang dilalui oleh mangsa tidak lagi dipandang sepi, tetapi ditangani dengan hati dan tindakan.

Marilah kita bergerak ke arah Menuju ‘Masyarakat Berjiwa’ dan  mewujudkan budaya komunikasi insani, bermula dari rumah ke sekolah, dari media ke tempat kerja, dari pentadbiran ke dasar negara. Bahasa empati harus menjadi bahasa sejagat, bukan hanya dalam tragedi, tetapi dalam kehidupan seharian.

Mangsa mungkin tidak dapat bersuara, tetapi kita masih boleh bersuara untuknya dan untuk ribuan lagi kanak-kanak, remaja mahupun mangsa yang sedang menunggu dunia yang lebih penyayang. –UTUSAN

 

PROFESOR  Madya  Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felo  Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×