USAH terkejut jika sebahagian besar mangsa gangguan seksual di tempat kerja tidak menyedari mereka sebenarnya sedang diganggu secara seksual.
Hal ini berlaku kerana budaya normalisasi yang telah lama tertanam dalam suasana kerja.
Ramai pekerja, khususnya wanita muda atau kakitangan baharu, gagal mengenal pasti gurauan, lirikan atau sentuhan yang tidak diingini sebagai gangguan seksual kerana ia dianggap sebagai ‘perkara biasa’, ‘usikan bos’, atau ‘budaya kerja’.
Keadaan ini menyebabkan ramai mangsa tidak melaporkan kejadian, walaupun mereka berasa tidak selesa dan tertekan. Fenomena ini dikenali sebagai toleransi tanpa sedar (unconscious tolerance), iaitu penerimaan tanpa sedar terhadap tingkah laku toksik.
Gangguan seksual bukanlah isu baharu, namun ia kekal sebagai barah yang menjejaskan kesejahteraan mental, emosi dan kerjaya seseorang. Lebih membimbangkan, terdapat individu yang masih memandang remeh perkara ini, menganggapnya sekadar gurauan atau main-main sahaja.
Hakikatnya, dari sudut undang-undang, perlakuan tersebut boleh membawa seseorang ke muka pengadilan malah ke penjara.
Dalam dunia profesional yang semakin terbuka dan inklusif, batas antara gurauan dan gangguan bukanlah sesuatu yang kabur. Ia jelas, dan perlu difahami serta dihormati oleh semua pihak.
APA ITU GANGGUAN SEKSUAL?
Gangguan seksual merujuk kepada sebarang perlakuan bersifat seksual yang tidak diingini oleh individu sasaran serta menyebabkan rasa tidak selesa, terancam, terhina atau terganggu. Ia boleh berlaku secara fizikal, lisan, bukan lisan, visual atau psikologi.
Contohnya termasuk gurauan berbaur lucah, mesej atau gambar seksual tanpa izin, menyentuh tubuh tanpa kebenaran atau lirikan yang menimbulkan ketidakselesaan.
Malangnya, masih ramai yang menganggap perbuatan mengusik, melawak secara seksual atau memberi komen terhadap fizikal seseorang sebagai sesuatu yang normal. Sikap ini membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, penindasan emosi dan akhirnya tindakan undang-undang.
LIMA FAKTA PENTING
Pertama, ramai mangsa enggan melapor kerana takut dituduh memburukkan imej tempat kerja. Budaya ‘tutup mulut demi nama baik’ menjadikan mangsa memilih berdiam diri. Mereka sering diugut secara halus bahawa melapor akan mencemarkan imej jabatan atau mengganggu keharmonian organisasi.
Kedua, mangsa gangguan seksual tidak semestinya wanita sahaja. Kes terhadap lelaki semakin meningkat, namun jarang dilaporkan kerana stigma.
Data Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan lebih 1,000 aduan lelaki diterima sejak pelancaran Program Anti-Gangguan Seksual, namun ramai masih bimbang dianggap lemah atau diperlekehkan.
Ketiga, gangguan seksual menjejaskan prestasi kerja secara langsung. Mangsa cenderung mengambil cuti, mengalami tekanan mental, bahkan berhenti kerja.
Kajian menunjukkan motivasi kerja boleh menurun 30 hingga 50 peratus dalam beberapa bulan selepas menjadi mangsa.
Keempat, gurauan lucah adalah bentuk gangguan paling kerap berlaku, namun paling kurang dilaporkan. Walaupun dianggap remeh kerana tidak melibatkan sentuhan fizikal, ia tetap gangguan jika berulang dan menimbulkan ketidakselesaan.
Kelima, tempat kerja tanpa polisi anti-gangguan berisiko berdepan tindakan undang-undang. Majikan boleh dipertanggungjawabkan melalui liabiliti vikarius jika gagal menyediakan tempat kerja yang selamat.
GURAUAN BOLEH MEMBAWA KE PENJARA
Seksyen 509 Kanun Keseksaan Malaysia (Akta 574) memperuntukkan sesiapa yang dengan niat menghina kesopanan orang lain melalui perkataan, bunyi, isyarat atau perbuatan lucah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.
Sebagai contoh, seorang pekerja lelaki yang menghantar mesej lucah kepada rakan sekerja atas alasan bergurau boleh disabitkan jika mangsa berasa terhina dan membuat aduan.
Begitu juga seorang penyelia yang kerap menyentuh bahu pekerja wanita tanpa izin boleh dikenakan tindakan kerana menyalahgunakan kuasa. Alasan tidak berniat atau sekadar bergurau tidak boleh dijadikan pelindung di sisi undang-undang.
KESAN KEPADA MANGSA
Gangguan seksual, walaupun kelihatan kecil pada pandangan sesetengah pihak, boleh memberi kesan besar kepada mangsa. Antara kesan yang sering dilaporkan termasuk tekanan perasaan, kemurungan, kehilangan motivasi, penurunan prestasi kerja serta tercalarnya maruah diri.
Dalam sesetengah kes, mangsa terpaksa berhenti kerja atau bertukar jabatan semata-mata untuk mengelak berdepan pelaku.
Dalam jangka panjang, suasana tempat kerja boleh menjadi toksik dan tidak selamat. Semangat berpasukan merosot, kepercayaan sesama rakan sekerja menurun dan reputasi organisasi terjejas.
PERANAN MAJIKAN DAN PEKERJA
Majikan berperanan penting mencegah gangguan seksual, bukan sahaja atas dasar moral tetapi juga undang-undang. Antara langkah penting termasuk menggubal dasar anti-gangguan, menyediakan saluran aduan selamat, memberi latihan kesedaran secara berkala dan mengambil tindakan tegas terhadap aduan berasas. Kegagalan majikan bertindak boleh mengundang tuntutan sivil dan liabiliti undang-undang.
Namun, tanggungjawab bukan hanya pada majikan. Setiap pekerja perlu menyedari batas interaksi, berani berkata tidak kepada perlakuan tidak wajar serta menyokong rakan sekerja yang menjadi mangsa.
Budaya normalisasi gangguan yang sering diselindungi sebagai gurauan mesti ditolak. Persekitaran kerja yang sihat hanya dapat dibina dengan kesedaran bersama.
Gangguan seksual bukan isu remeh. Ia adalah bentuk penganiayaan yang merosakkan emosi dan maruah seseorang. Gurauan berbaur seksual yang dianggap biasa boleh membawa akibat serius termasuk hukuman penjara.
Batas antara gurauan dan gangguan itu jelas dan setiap daripada kita bertanggungjawab menjaganya. Ingatlah, gurauan hari ini mungkin membawa padah esok.-UTUSAN
PENULIS ialah Ketua, Pejabat Perundangan & Pematuhan Tadbir Urus, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC) @ Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Kuantan.










