Bebas politik belum cukup, rakyat mahu ‘merdeka’ ekonomi

Bebas politik belum cukup, rakyat mahu ‘merdeka’ ekonomi

MERDEKA hanya akan benar-benar bermakna jika setiap rakyat dapat hidup dengan maruah tanpa bimbang tentang kewangan untuk esok hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMERDEKAAN Malaysia sudah masuk tahun ke-68 namun rakyat masih berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, gaji yang naik terlalu perlahan dan impian untuk mencapai kestabilan kewangan yang terasa semakin jauh.

Persoalannya, bolehkah negara kita benar-benar melangkah ke hadapan jika dompet rakyat terus berada dalam tekanan?

Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan pada akhir 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan pelbagai langkah untuk membantu rakyat. Program Rahmah termasuk Jualan Rahmah di pasar raya, Menu Rahmah di kedai makan, serta bantuan tunai memberi sedikit kelegaan jangka pendek.

Kadar inflasi juga berjaya diturunkan daripada 4.7 peratus pada 2022 kepada 2.8 peratus pada 2024. Namun begitu, rakyat masih merasakan tekanan hidup. Sebanyak RM8.9 bilion diagihkan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah kepada 8.9 juta rakyat tetapi ramai pengkritik menyifatkannya sebagai ‘ubat penahan sakit’ semata-mata, bukan penyelesaian kekal.

REALITI DI LAPANGAN

Kajian menunjukkan, sebuah keluarga di Lembah Klang memerlukan sekurang-kurangnya RM6,500 sebulan untuk hidup dengan selesa. Namun, pendapatan median rakyat hanyalah sekitar RM2,600.

Tidak hairanlah hampir 7 daripada 10 isi rumah B40 masih bergantung kepada bantuan kerajaan.

Perumahan pula menjadi isu besar. Antara 2010 hingga 2024, harga rumah meningkat sebanyak 147 peratus, manakala gaji hanya naik 78 peratus. Bagi anak muda, memiliki rumah sendiri seakan satu mimpi jauh.

Ramai yang akhirnya terpaksa menyewa atau tinggal jauh dari bandar, menambah kos dan tekanan hidup harian.

 

LEBIH DARIPADA SEKADAR BANTUAN TUNAI

Bantuan kerajaan penting ketika keadaan sukar tetapi ia tidak boleh dijadikan satu-satunya jalan keluar.

Terlalu bergantung kepada bantuan boleh mewujudkan budaya kebergantungan.

Apa yang rakyat perlukan adalah pekerjaan yang lebih baik serta kemahiran yang lebih tinggi. Inilah sebabnya mengapa program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), latihan semula dan peningkatan kemahiran sangat kritikal.

Dengan kemahiran bernilai tinggi, rakyat boleh memperoleh gaji lebih baik, kurang bergantung kepada subsidi dan menyumbang lebih besar kepada ekonomi negara.

 

MEMBINA EKONOMI BERNILAI TINGGI

Malaysia juga perlu mengubah struktur ekonominya. Sektor pembuatan, yang suatu ketika dahulu menjadi tunjang ekonomi, menyusut daripada 23.4 peratus kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2010 kepada 20.1 peratus pada 2023.

Kebergantungan berlebihan kepada sektor perkhidmatan tidak mampu menjamin gaji yang lebih tinggi.

Masa hadapan terletak pada industri digital, automasi, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi. Sektor-sektor ini menawarkan gaji lebih lumayan dan peluang global kepada anak muda. Namun, latihan kemahiran mesti diselaraskan dengan keperluan sebenar industri agar tenaga kerja kita benar-benar bersedia.

GAJI ADIL & ILMU KEWANGAN BIJAK

Gaji minimum semasa RM1,700 adalah masih rendah, terutamanya di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Satu sistem gaji minimum progresif, yang disesuaikan mengikut kawasan, lebih mencerminkan kos hidup sebenar rakyat.

Dalam masa sama, rakyat perlu bijak mengurus wang. Hanya 36 peratus rakyat Malaysia mempunyai tahap literasi kewangan yang baik. Ramai anak muda terjerat hutang kad kredit, pinjaman peribadi atau skim pelaburan berisiko.

Pendidikan kewangan perlu diajar sejak di sekolah serta melalui platform digital merangkumi tabiat menabung, belanjawan asas dan pelaburan mudah. Ini penting agar rakyat dapat berdikari dan mengawal masa depan kewangan mereka.

MERDEKA SEBENAR ERTINYA KEBEBASAN EKONOMI

Merdeka tidak hanya bermaksud kebebasan politik tetapi juga kebebasan daripada kemiskinan, kos hidup melampau dan jurang ketidaksamaan.

Untuk mencapainya, Malaysia memerlukan:
– Cukai yang lebih adil, di mana golongan kaya menyumbang lebih bagi mengurangkan jurang kekayaan.
– Penjagaan kesihatan mampu milik, supaya tiada keluarga bimbang mengenai bil hospital.
– Rumah mampu milik yang benar-benar wujud, bukan sekadar janji di atas kertas.
– Pendidikan dan latihan yang lebih kuat agar rakyat Malaysia mampu bersaing di peringkat global.
– Konsep Kemakmuran Bersamamesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata, bukan sekadar slogan.

“Dompet Rakyat, Harapan Negara” bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi juga seluruh rakyat. Kerajaan perlu menyediakan dasar dan peluang, manakala rakyat harus bersedia menyesuaikan diri dengan meningkatkan kemahiran, mengurus wang dengan lebih bijak serta mengurangkan pergantungan kepada subsidi.

Dompet rakyat yang sihat bermakna keluarga yang lebih kuat. Dan keluarga yang kuat membawa kepada negara lebih kukuh.

Merdeka 2025 hanya akan benar-benar bermakna jika setiap rakyat Malaysia dapat hidup dengan maruah tanpa bimbang tentang cukup atau tidak wang untuk esok hari.

Dompet rakyat adalah cermin masa hadapan negara. Dengan menjaganya, kita memastikan Malaysia melangkah ke hadapan sebagai negara yang makmur, adil dan berdaya tahan.-UTUSAN

 

DATUK Seri Amir Hussien ialah bekas Pengerusi Perbadanan Labuan yang kini merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN