SATU laporan dari Microsoft Research, berdasarkan 200,000 perbualan Bing Copilot mengesahkan bahawa kecerdasan buatan (AI) generatif kini menguasai kerja-kerja berasaskan pengetahuan seperti mengumpul maklumat, menulis, mengajar dan memberi nasihat dalam pelbagai bidang. Peralihan ini membawa cabaran yang besar, terutamanya bagi universiti yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan generasi akan datang untuk pasaran kerja.
Goldman Sachs menganggarkan bahawa AI generatif berpotensi menaikkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global sebanyak tujuh peratus, atau kira-kira AS$7 trilion, dalam tempoh sedekad. Pertumbuhan ini juga dijangka meningkatkan produktiviti buruh sebanyak 1.5 mata peratus. McKinsey merumuskan bahawa AI generatif dapat menyumbang antara AS$2.6 hingga 4.4 trilion setiap tahun melalui 63 kes penggunaan merentasi pelbagai fungsi perniagaan, terutamanya dalam kerja berasaskan pengetahuan, membuat keputusan dan kolaborasi.
Namun, manfaat ekonomi ini akan diiringi oleh perubahan ketara dalam pasaran kerja yang akan menjejaskan kebanyakan graduan dari universiti. Forum Akademi Dunia menjelaskan bahawa tidak semua pekerjaan mempunyai risiko yang sama terhadap penggantian oleh AI dimana pekerjaan rutin lebih mudah digantikan, manakala kerja berkemahiran tinggi berkemungkinan lebih terjamin. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) turut menjelaskan bahawa kira-kira satu daripada empat pekerjaan di seluruh dunia berisiko disebabkan oleh transformasi AI dengan beberapa sektor dikategorikan sebagai berisiko tinggi.
AI akan mengubah cara kita bekerja dalam banyak sektor dan dijangka akan mengurangkan penglibatan manusia. Ini bermakna, universiti harus menyediakan graduan bukan untuk pekerjaan tradisi yang di era AI adalah tidak relevan lagi. Graduan perlu bekerja bersama mesin pintar di zaman ini. Jika universiti terus menilai pelajar berdasarkan tugasan yang kini boleh dilakukan oleh AI, mereka berisiko menghasilkan graduan yang akan diganti oleh mesin, atau tidak diperlukan oleh industri.
Dalam mengemudi landskap baharu ini, universiti harus melihat kepada pendekatan bersepadu yang menggabungkan literasi teknologi dengan nilai-nilai berpusatkan manusia. Nilai Madani, seperti yang digariskan oleh Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, menyediakan kerangka untuk integrasi ini.
Nilai-nilai ini menekankan keharmonian antara manusia-Tuhan (hablumminallah) dan manusia-manusia (pemeliharaan hubungan manusia sesama manusia) dengan fokus pada saling memahami (tafahum), saling mengenali (ta′aruf), saling menghormati (ihtiram), kerjasama (ta′awun) dan berlumba-lumba dalam kebaikan (tasabuq). Walaupun AI meningkatkan kecekapan, nilai-nilai ini boleh berfungsi sebagai pelindung penting terhadap risiko kehilangan sentuhan manusia dalam kehidupan.
AI DALAM PENDIDIKAN
Untuk menyediakan graduan dalam dunia yang didorong oleh AI, universiti mesti menggunakan pelbagai strategi melalui pendekatan holistik bagi mengintegrasikan AI di dalam pendidikan. Pertama, literasi AI mesti disemai dalam semua bidang. Graduan perlu memahami kejuruteraan prompt (prompt engineering), mengkritik hasil AI dan menggabungkannya dengan kepakaran manusia dengan hasilan AI. Literasi baharu ini melangkaui kemahiran teknikal semata-mata dan melibatkan pemahaman kritikal dan kontekstual tentang cara AI beroperasi dan implikasinya.
Kedua, pendidik perlu sedia untuk mentransformasikan penilaian pelajar untuk membolehkan pengukuran keupayaan unik manusia dengan membezakan keupayaan yang telah di kuasai oleh AI. Daripada menumpukan pada hafalan dan penulisan standard yang dikuasai AI, universiti harus menekankan kreativiti, sintesis dan penyelesaian masalah mengikut konteks. Perubahan ini akan menggalakkan pelajar untuk membangunkan kemahiran berfikir aras tinggi yang sukar ditiru oleh mesin.
Ketiga, universiti mesti memperkasakan kemahiran insani yang tidak mampu digantikan oleh AI. Empati, komunikasi interpersonal dan kepekaan budaya adalah penting dalam dunia yang semakin saling berhubung. Kemahiran ini boleh dipupuk melalui program pendidikan yang berlandaskan prinsip Madani.
Keempat, program merentas disiplin boleh merapatkan jurang antara teknologi dan nilai-nilai manusia. Contohnya, kursus seperti AI dalam Kewangan Islam atau AI untuk Pemuliharaan Alam Sekitar akan menggabungkan teknologi dengan nilai dan prinsip bidang tertentu. Begitu juga integrasi etika dan perspektif rohani seperti modul etika AI berasaskan maqasid syariah dapat membantu pelajar memahami implikasi sosial dan moral teknologi.
Kelima, seiring dengan perubahan kaedah pengukuran, transformasi kaedah pedagogi juga mesti dijalankan oleh pendidik. AI sebagai rakan pendidik boleh digunakan untuk tugasan rutin untuk menyokong pembelajaran, membolehkan pendidik menumpukan pada peranan mereka sebagai pembimbing moral dan intelektual. Pendidik akan menjadi mentor kepada pelajar, membimbing mereka melalui dilema etika yang kompleks dan memupuk pemikiran kritikal, yang merupakan peranan yang tidak dapat dipenuhi oleh AI.
Yang paling penting, universiti dan industri harus menjalin kerjasama untuk meningkatkan persekitaran kerja dan membolehkan transformasi aliran kerja yang menggabungkan manusia dan AI yang akan meningkatkan produktiviti. Prasarana sedemikian akan memberi pelajar konteks pasaran dan fleksibiliti kerja, memastikan mereka bersedia untuk tuntutan tenaga kerja moden.
Penyelidikan yang dijalankan di universiti juga ditumpukan untuk kebaikan ummah secara lebih luas dan merangkumi aplikasi yang memberi manfaat kepada semua tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan. Bidang teknologi yang selari dengan prinsip maqasid syariah seperti dalam bidang kesihatan awam, kelestarian alam sekitar, pendidikan inklusif dan pengurusan bantuan kemanusiaan adalah antara yang perlu diberikan tumpuan.
Penemuan ILO bahawa 25 peratus pekerjaan global berisiko transformasi menuntut universiti untuk membuat persiapan sekarang. Potensi ekonomi yang besar yang diserlahkan oleh Goldman Sachs dan McKinsey harus diterjemahkan ke dalam strategi pendidikan. Bahagian pekerjaan yang lebih berisiko yang dikenal pasti oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) menuntut strategi khusus.
Dengan bertindak sekarang melalui pendekatan Madani, universiti dapat melahirkan generasi pemimpin yang akan memimpin teknologi dengan hati dan akal yang memastikan bahawa “tinta penulisan masa depan masih di tangan manusia,” dipandu oleh semangat moral, keharmonian sosial, dan nilai-nilai manusia. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarah Prinsipal (Akademik dan Pengantarabangsaan), Pejabat Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak.










