Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Sabah ke-16 diadakan pada 26 September 2020. Kini penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 sudah di penghujung – mencapai tempoh matang.
Dengan itu, PRN ke-17 Sabah bakal diadakan dalam tempoh terdekat. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata, PRN hanya akan diadakan apabila waktunya sudah tiba berbuat demikian.
Selepas PRN ke-16, kerajaan Negeri Sabah diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) setelah menang 38 daripada 73 kerusi menewaskan Warisan Plus yang memperoleh 32 kerusi dan tiga kerusi lagi dimenangi oleh calon Bebas.
Sebagai pemerhati politik, saya melihat PRN Sabah kali ini paling epik dalam sejarah. Ini kerana ada beberapa perkara dan peristiwa yang boleh diperhalusi satu persatu telah mewarnai politik negeri di bawah bayu itu – turut boleh diperhati dari lensa landskap politik nasional.
Pertama, pertembungan blok dan pakatan yang lebih kompleks dari PRN ke-16 dahulu. GRS dan Pakatan Harapan (PH) – kerajaan negeri semasa dilihat kekal dalam konsensus membentuk kerjasama politik yang strategik bagi menghadapi PRN. Ini adalah petunjuk GRS dan PH menitikberatkan kepada kestabilan secara pakatan berbanding bergerak sendirian serta mengelak konflik dan memilih konsensus. Cuma perbahasannya mengenai pembahagian 73 kerusi, majoritinya memihak kepada siapa? Dengan kata lain, pola politik diambil GRS dan PH lebih kepada usaha untuk mengukuh keutuhan dinamika hubungan antara kerajaan Sabah dan pusat.
Dinamika hubungan GRS-PH tentu bakal ditentang hebat Warisan selaku pembangkang utama. Warisan pernah menerajui kerajaan Sabah pasca PRN ke-15, jadi keinginan untuk kembali berkuasa itu tetap tinggi. Agenda Warisan selaku pembangkang dengan membawa mesej identiti mahu pun autonomi Sabah yang kuat sebagaimana berjaya dibawa oleh Gabungan Parti Sarawak (PRS) dalam mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan Pusat.
Di sebalik pertembungan bakal disaksikan antara GRS-PH dengan Warisan, watak Perikatan Nasional (PN) jangan dipandang mudah. Watak PN merancakkan lagi pertembungan dalam PRN Sabah itu nanti yang membawa kepada potensi persaingan tiga penjuru – GRS-PH, Warisan dan PN.
Keupayaan GPS di Sarawak menuntut dan mendapatkan hak mereka daripada Kerajaan Pusat memperlihat kesan langsung rundingan MA63. Justeru, parti-parti politik di Sabah juga perlu cenderung ke arah itu agar tuntutan 40 peratus hasil petroleum diperoleh Sabah. Jadi, di sini membuka ruang kepada setiap parti politik Sabah bagi merunding segala tuntutan kepada Kerajaan Pusat.
Kedua, konflik politik yang terarah kepada perebutan kuasa dan jawatan Ketua Menteri dapat diselesaikan menerusi Akta Anti-Lompat Parti. Atas sebab itu selepas PRN ke-15, tiada lagi wakil rakyat yang melompat parti hingga menyebabkan parti pemerintah tumbang. Justeru, kini fokus mesti kepada keupayaan menguruskan kempen politik hingga PRN ke-17 dilangsungkan. Dengan potensi yang ada, maka kempen menjadi semakin sengit dan peluang untuk menang terbuka kepada mana-mana parti politik.
Disebabkan hal itu, apa sahaja isu di peringkat lokal mahu pun nasional pasti dijadikan polemik dan bahan kempen pilihan raya. Tentunya isu video rasuah, kes tanah, kematian Zara Qairina dan lain-lain pasti menjadi tumpuan kempen PRN itu nanti. Masalah infrastruktur melibatkan bekalan air, elektrik dan pengangkutan awam terus menghantui rakyat Sabah. Lihat sahaja kes gangguan air di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berterusan menunjukkan kelemahan pengurusan dan tadbir urus. Dalam isu ekonomi dan kebajikan rakyat, Sabah antara negeri mencatatkan kadar pengangguran tnggi dan kos hidup semakin meningkat.
Ketiga, PRN Sabah ke-17 adalah isyarat penting kepada kestabilan dan kesinambungan Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Bagaimanapun, keupayaan kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menjamin kestabilan politik dan kemampuan GRS untuk kekal berkuasa selepas PRN Sabah ke-17 nanti. Walaupun peranan GRS ibarat tali hayat kingmaker politik Kerajaan Perpaduan, tetapi suara tidak puas hati sesama sendiri dalam PH mahu pun GRS bukan petanda kerjasama politik antara kedua-dua parti berkekalan hingga PRN walaupun usaha terus dilakukan termasuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Justeru, dalam ruang masa semakin singkat sebelum DUN Sabah dibubarkan, Kerajaan Pusat menerusi pelaksanaan pelbagai dasar mesti memberi fokus kepada pembangunan di Sabah agar tidak ketinggalan berbanding jiran terdekatnya Sarawak.
Terakhir, perkara yang tidak boleh diketepikan adalah undi 18 tahun. Pengundi 18 tahun buat pertama kali terlibat dalam PRU-15, tetapi belum lagi dalam PRN Sabah. Jadi, dalam PRN ke-17 nanti, pengundi 18 yang pertama kali mengundi dan berulang bagi mereka yang mengundi dalam PRU-15, menjadi sasaran semua parti politik.
Kumpulan pengundi ini harus diberi pendidikan politik yang sempurna dan matang agar mampu memilih parti politik dan calon yang berkualiti. Atas sebab itu, kumpulan ini mesti didekati terutama di pusat asasi, matrikulasi, diploma, institut pendidikan guru dan lain-lain kerana mereka ini adalah pelaburan masa hadapan pemimpin dan parti politik yang bakal memerintah.
Justeru, pemilihan poster boy untuk jawatan Ketua Menteri juga boleh memberi impak kepada setiap parti politik kerana dari sudut pengundi ini, faktor umur dan kejayaan dalam membawa pembangunan di Sabah mungkin menjadi faktor memilih calon diyakini.
Dalam keadaan politik lokal dan nasional yang kelihatan belum cukup stabil, peranan dimainkan oleh pembangkang yang tidak berputus asa menekan kerajaan, maka PRN Sabah ke-17 nanti pasti menyaksikan persaingan sengit dan paling epik dalam sejarah pilihan raya di Sabah.
Pemimpin veteran, senior dan pelapis muda tentu membentuk gabungan barisan perang yang mantap bagi parti politik. Kemenangan bukanlah ditentukan kumpulan pengundi senior atau warga emas, tetapi bakal ditentukan pengundi 18 tahun dan ke atas.
Prof. Madya Dr. Malike Brahim, Universiti Utara Malaysia