Mahkamah tolak petisyen Warisan, DUN Tanjong Kapor kekal milik GRS

Mahkamah tolak petisyen Warisan, DUN Tanjong Kapor kekal milik GRS

GABUNGAN RAKYAT SABAH (GRS)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak petisyen pilihan raya yang mencabar kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Kapor.

Hakim Mahkamah Tinggi, Amelati Parnell membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Datuk Chong Chen Bin serta dua responden lain.

Mahkamah turut memerintahkan calon Parti Warisan, Terence Au Soon Fui yang memfailkan petisyen itu membayar kos RM20,000 kepada Chen Bin serta RM10,000 kepada responden kedua dan ketiga.

“Saya dengan ini memutuskan bahawa responden pertama, Chong Chen Bin dipilih dengan sah sebagai wakil rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Kapor,” katanya.

Pada 23 Disember tahun lalu, Soon Fui memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa Chen Bin tidak dipilih secara sah sebagai ADUN Tanjung Kapor dan keputusan pilihan raya pada 29 November 2025 adalah terbatal, selain memohon perintah kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam petisyen itu, beliau menamakan Chen Bin, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tanjung Kapor dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Dalam petisyennya, Au mendakwa pilihan raya tersebut terbatal kerana berlaku rasuah secara umum seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 32(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang didakwa berlaku secara meluas sehingga munasabah dianggap menjejaskan keputusan pilihan raya.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 November tahun lalu, Chen Bin memenangi kerusi DUN Tanjung Kapor dalam pertandingan 11 penjuru dengan memperoleh 6,171 undi.

Au memperoleh 4,737 undi; Verdon Bahanda (Bebas) 5,812; Muhammad Affan Jumahat (PN) 1,262; Kevin Lee Sip Kim (BN) 1,455; Shawn Davey Lee (STAR) 434; Jetol Dangin (Parti Impian Sabah) 184; A Halim @ Abdul Halim Yussof (Parti Bumi Kenyalang) 166; Abdul Rahim Madtaip (Bebas) 105; Awang Karim Abdul Kadir (Anak Negeri) 63 dan Bonny Berman (Parti Damai Sabah) 52.

Au pula diwakili oleh peguam Hairul V. Othman.

Chen Bin yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah diwakili Shahlan Jufri, Rizwandean Bukhary M. Borhan, Datuk Ram Singh, Farrah Nasser dan Mohd. Luqman Syazwan Zabidi.

Responden kedua dan ketiga pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin dan Zulyana Zollkapli serta Peguam Persekutuan Mohd. Ashraf Abd. Hamid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN