SAYA tertarik untuk mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, semasa merasmikan Perhimpunan Agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) kali ke-46, berhubung isu penagihan dadah yang sejak sekian lama melanda negara. Masalah ini bukan sahaja belum menemui titik noktah, malah dilihat semakin membimbangkan.
Beliau berkata perubahan strategi amat penting kerana trend penyalahgunaan dadah kini amat merisaukan berikutan peningkatan penggunaan dadah sintetik serta modus operandi pengedaran dadah melalui platform media sosial.
Kerajaan berbelanja lebih RM50 bilion untuk melakukan pencegahan, penguatkuasaan dan rawatan, namun kesannya penyalahgunaan dadah tetap meningkat.
Laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati 68 peratus daripada keseluruhan penyalahguna dadah merupakan pemuda berumur 19 hingga 39 tahun termasuk golongan profesional. Beliau menyarankan agensi penguatkuasaan berkaitan serta Pemadam supaya mengambil pendekatan meningkatkan komunikasi dua hala dengan golongan sasar bagi mengurangkan gejala terbabit.
Pelik bukan? Segala usaha dilakukan, cegah, rawat dan pulih telah diusahakan, masalah dadah tidak mengurang tetapi terus meningkat. Kita kata dadah musuh nombor satu negara, perangi dadah habis-habisan tetapi masalah dadah terus menghantui. Kajian demi kajian telah, sedang dan akan dilakukan, sama ada peringkat AADK dan institusi penyelidikan, namun masalah dadah tetap sama, makin serius. Kenapa?
Satu sahaja jawapan utama saya, rasuah. Inilah ibu segala masalah. Bukan sahaja pada dadah tetapi kepada agama, bangsa dan negara. Untuk dadah, sudah tentulah pasti, kerana rasuah inilah, yang menyebabkan usaha pencegahan, perawatan dan pemulihan gagal.
Baca berita saban hari, berkilo-kilo, malah ber tan, dadah yang diseludup masuk. Kenapa begitu mudah masuk ke dalam negara, sedangkan kawalan ketat sudah dilakukan, di sempadan, darat, air dan udara. Jawapan mudah, rasuah.
Sempadan negara begitu mudah dibolosi, sedangkan kawalan ketat telah dibuat. Siapakah sikitol dan mandaliar itu? Orang politik kena jawab semua ini.
Inilah perkara yang perlu dipandang serius. Lebih dahsyat lagi, kerajaan meluluskan lesen vape. Hari ini baharu sedar betapa bahayanya vape apabila disalah gunakan. Ketika libat urus vape, satu ketika dahulu, keputusannya tidak diendahkan. Kini, baharu sedar menarik lesen vape. Kenapa tidak dahulu, ketika libat urus dilakukan?
Kita hanya fikirkan soal keuntungan, berapa banyak boleh ‘masuk’. Akhirnya, siapa yang menjadi mangsa? Bangsa apa? Fikirlah sendiri. Berhentilah dekat lampu isyarat, tengok sebahagian anak muda bermotosikal dan penunggang motosikal hisap vape. Budak sekolah usah cerita. Kalau tidak dicampur dadah, boleh tahan lagi, kalau ada dadah di dalam vape itu, bagaimana? Itulah kenyataannya.
Tangkapan demi tangkapan dadah dilakukan. Dapat tangkap satu, bolos 10. Inilah yang rata-rata berlaku. Tangkapan yang satu ini diberikan publisiti secara besar-besaran, menunjukkan betapa hebatnya, kita buat kerja. Yang bolos 10 macam mana? Pernah kita buat publisiti besar-besaran?
Siapa yang jaga pelabuhan? Ketua pelabuhan siapa? Siapakah yang jaga sempadan? Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen? Bolehkah mereka ini sebahagiannya diharapkan? Selagi kesemua badan ini tidak dipantau dengan tegas, dihukum dengan seberat-beratnya, selagi itulah, perangi dadah habis-habisan hanya satu impian.
Sebab itu, di negara lain, mereka yang terlibat dengan rasuah ini, dihukum mati. Di negara kita, perasuah terlepas, penerima rasuah terkena. Sedangkan, pemberi rasuah itulah, bapa segala kejahatan.
HIDUPKAN SEMULA PERANAN PEMADAM
Pada saya ini semua sindiket untuk menjahanamkan anak-anak muda kita, terutama Melayu.
Belajarlah daripada Perang Candu I dan II. Bagaimana usaha British mengalahkan China dilakukan, setelah segala usaha tidak berjaya. Akhirnya, gunakan bahan penagih. Bermulalah kejatuhan China di tangan British. Apakah perkara ini tidak mustahil berlaku di Tanah Melayu? Belajar daripada sejarah. Malangnya, kita tidak pernah belajar dari sejarah.
Pemadam? Sebenarnya sudah lama padam. Lebih-lebih lagi Pemadam dipimpin oleh orang politik. Pemimpin sibuk dengan politiknya bukan usaha untuk banteras dadah.
Sudah sampai masanya, orang yang mahir dalam selok belok dadah, seperti bekas Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Dr. Sabri Zainuddin Zainul dilantik menjadi pemimpin tertinggi AADK atau Pemadam.
Cadangan ini ekoran perkara berkaitan dadah, ibarat macam poket dia sahaja, dari segi segi cegah, rawatan dan pulih. Itulah Dr. Sabri yang saya kenal. Jika ada orang seperti ini, baharulah usaha dadah boleh dipadamkan.
Akhirnya, saya sarankan, berilah kuasa yang lebih banyak kepada pemegang taruh terutama kepada AADK. Mereka yang berada di AADK mesti dalam kalangan yang benar-benar pakar dan ikhlas untuk membanteras dadah.
Ini tidak, kepimpinan tertinggi AADK silih bertukar ganti. Baharu sahaja kerusi nak panas, nak belajar dan mahir sedikit, terutama Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), sudah perlu tukar. Datang pula yang baharu, ganti, dan perlu belajar semula.
Jawatan ketua pengarah AADK, seolah-olah seperti tempat buangan sementara bagi pegawai kerajaan yang ‘tidak diperlukan’. Sedangkan AADK inilah sepatutnya diletakkan pegawai yang terbaik dalam perkhidmatan, tidak kira awam, badan berkanun atau swasta.
Orang dalam AADK yang sekian lama bergelumang dengan dadah atau mereka yang terlibat dalam penyelidikan, tidak diberikan peluang untuk menjawat jawatan paling tinggi dalam AADK.
Apapun, AADK sahaja tidak cukup. Bagus mana pun AADK, sekiranya semua kementerian tidak memberikan kerjasama, tidak ada gunanya. Polis buat cara polis, Kementerian Kesihatan buat cara mereka, begitu juga Imigresen , JKDM dan pemadam. Tanpa kerjasama dan masih berkeras mahu lakukan secara silo hanya menyebabkan usaha membanteras dadah gagal untuk selamanya.-UTUSAN
DR. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Profesor di Pusat Pengajian Teras (PPT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).










