Merdekakan diri daripada jerat jenayah kewangan siber

Merdekakan diri daripada jerat jenayah kewangan siber

JIKA satu masa dahulu pejuang kemerdekaan kita berjuang dengan senjata dan semangat yang kental, kita hari ini perlu membina benteng pertahanan digital kita sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA telah mencapai kemerdekaan penjajah lebih daripada enam dekad yang lalu.

Namun di sebalik kemewahan teknologi dan kecanggihan digital yang kita nikmati hari ini, satu bentuk “penjajahan” baharu sedang mengancam kita semua.

Ia bukan penjajahan yang datang dengan meriam atau askar, tetapi satu ancaman senyap yang merampas kebebasan kewangan dan ketenteraman jiwa kita, iaitu jenayah kewangan siber.

Kemerdekaan sejati bukan hanya tentang kebebasan daripada penjajahan fizikal. Ia juga melibatkan kebebasan ekonomi, kebebasan berfikir dan kebebasan untuk hidup tanpa rasa takut dalam menguruskan kewangan.

Dalam era di mana setiap transaksi, komunikasi dan maklumat peribadi kita berada di hujung jari, kita seolah-olah berhadapan dengan satu perjuangan baharu. Perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan digital daripada pencerobohan musuh yang berlegar di ruang siber.

Jenayah kewangan siber bukan lagi isu kecil. Ia adalah isu nasional dan memberi ancaman serius yang merugikan jutaan ringgit setiap tahun.

Berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia merekodkan kerugian mencecah RM1.22 bilion akibat jenayah siber dalam tempoh Januari hingga Oktober 2024. Angka ini sahaja menunjukkan betapa besarnya skala masalah ini.

Pada tahun 2024, sebanyak 35,368 kes penipuan dalam talian telah dilaporkan dengan nilai kerugian mencecah hamper RM1.6 bilion. Ini adalah peningkatan yang signifikan berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan yang paling membimbangkan adalah dalam laporan kebocoran data yang melonjak sebanyak 1,100 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut data dari CyberSecurity Malaysia.

Statistik terkini menunjukkan, sepanjang tiga bulan pertama 2025, sebanyak lebih 12,000 kes dilaporkan melibatkan kerugian melepasi angka RM573 juta. Ini menunjukkan penjenayah kini tidak hanya menyasarkan wang, tetapi juga maklumat peribadi kita yang sangat berharga.

Apabila kita bercakap tentang jenayah kewangan siber, ramai yang membayangkan penggodam berwajah misteri yang mahir memecah masuk sistem komputer.

Tetapi hakikatnya, modus operandi utama penjenayah kewangan siber hari ini adalah jauh lebih halus dan berbahaya. Mereka tidak hanya menyerang sistem komputer kita, malahan mereka turut menyerang jiwa kita melalui taktik yang dikenali sebagai kejuruteraan sosial.

Kejuruteraan sosial adalah satu seni memanipulasi manusia untuk mendedahkan maklumat sulit atau melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan mereka. Penjenayah ini bermain dengan emosi dan psikologi mangsa.

Mereka mewujudkan satu naratif yang meyakinkan, membuatkan kita percaya bahawa kita sedang berhadapan dengan pihak berkuasa atau seseorang yang kita kenali. Mereka menyamar sebagai pegawai polis, ejen kastam, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), atau malah rakan terdekat kita.

Salah satu taktik yang masih berleluasa ialah penipuan Macau Scam. Kaedah ini ialah dengan menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa. Modus operandi mereka adalah dengan menakut-nakutkan mangsa dengan dakwaan bahawa mangsa terlibat dalam kes jenayah dan memaksa mereka memindahkan wang ke “akaun keldai”.

Ironinya, jika satu masa dahulu pejuang kemerdekaan kita berjuang dengan senjata dan semangat yang kental, kita hari ini perlu membina benteng pertahanan digital kita sendiri.

Pertahanan ini tidak datang dalam bentuk teknologi canggih semata-mata, tetapi ia bermula dari dalam diri kita iaitu dengan ilmu, kesedaran dan kewaspadaan.

Pertama dan terpenting, jangan mudah panik. Sekiranya anda menerima panggilan atau mesej yang mendesak, bertenang seketika. Tarik nafas dan berfikir dengan waras.

Ingat, pihak berkuasa tidak akan sesekali meminta butiran peribadi atau kewangan anda melalui telefon. Dalam hal ini, sikap skeptikal juga amat penting. Soal setiap tawaran yang terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, setiap pautan yang tidak dikenali dan setiap permintaan yang pelik.

Jika hati kecil anda berbisik “ini tidak betul”, dengarinya dan fikir untuk beberapa kali dengan sewajarnya. Jangan ambil keputusan singkat tanpa berfikir panjang. Bertanya dan berbincang dengan pihak yang lebih tahu untuk mengesahkan maklumat yang diterima.

Lebih mendalam lagi, benteng pertahanan paling utuh adalah literasi kewangan dan perancangan kewangan syariah. Jenayah kewangan siber sering kali bersembunyi di sebalik janji palsu tentang pulangan lumayan dan skim pelaburan yang tidak masuk akal.

Seseorang yang memiliki literasi kewangan yang baik akan mampu menghidu taktik penipuan ini dengan mudah. Mereka akan tahu bahawa pelaburan yang sah memerlukan masa untuk matang dan tiada jalan pintas untuk menjadi kaya. Pemahaman ini menjadikan kita kebal daripada taktik yang menyasarkan kerakusan dan ketamakan kewangan semata-mata.

Dalam konteks Malaysia, perancangan kewangan syariah pula memberikan satu lapisan perlindungan tambahan yang amat bernilai.

Prinsip-prinsip syariah mengajar kita untuk menghindari gharar (ketidakpastian yang berlebihan) dan maysir (unsur perjudian). Skim pelaburan palsu sering kali sarat dengan gharar, di mana janji pulangan tidak disokong oleh sebarang aset atau aktiviti perniagaan yang jelas, menjadikannya seperti perjudian.

Dengan berpegang pada prinsip kewangan syariah, seseorang secara semula jadi akan menjauhi skim yang meragukan dan memastikan setiap transaksi kewangan adalah sah dan telus. Ia bukan sahaja melindungi kita dari segi kewangan, tetapi juga dari segi moral dan spiritual, menjadikan ia satu perisai yang amat kukuh.

Tuntasnya, kemerdekaan yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan yang berterusan. Dalam konteks moden, perjuangan itu berlanjutan di ruang siber.

Ia adalah perjuangan untuk melindungi diri kita, keluarga kita dan maruah negara daripada ancaman yang tidak kelihatan.

Mari kita pastikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada kali ni bukan sahaja diraikan dengan bendera dan perarakan, tetapi dengan kesedaran bahawa kita perlu menjadi penjaga yang berani. Penjaga kepada kedaulatan digital kita.

Jadikan “Kemerdekaan di Hujung Jari” satu realiti, bukan hanya slogan. Dengan jiwa yang merdeka, minda yang celik dan hati yang waspada, kita mampu menangkis serangan siber dan memastikan kebebasan kewangan kita terus terpelihara, “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”!

Biarlah jiwa kita benar-benar merdeka dari jerat jenayah kewangan siber dan minda kita sentiasa selamat daripada manipulasi kejuruteraan sosial yang penuh tipu muslihat. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah Felo Bersekutu, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK)/Pensyarah Kanan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×