Isu Gaza dedah sisi sebenar El-Sisi

Isu Gaza dedah sisi sebenar El-Sisi

IMEJ Mesir di mata masyarakat antarabangsa sangat buruk kerana menggunakan pelbagai alasan untuk menghalang kemasukan ke Gaza, Palestin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA masyarakat antarabangsa memberi pelbagai tekanan terhadap Israel supaya menghentikan genosid terhadap penduduk Palestin di Gaza dan membenarkan penyaluran bantuan kemanusiaan memasuki wilayah itu dengan segera, nama sebuah lagi negara yang turut berkongsi sempadan dengannya iaitu Mesir seakan-akan terlepas pandangan.

Ia kembali berada dalam tumpuan selepas Freedom Flotilla Coalition pada Jun lepas apabila pihak berkuasa negara itu enggan membenarkan para aktivis melepasi sempadannya untuk memecah kepungan yang dibuat ke atas wilayah berkenaan.

Dalam perkembangan terkini, Mesir juga menjadi tumpuan apabila Presiden Abdel Fattah El-Sisi mengarahkan Imam Besar Universiti Al Azhar, Syeikh Ahmed Al Tayeb menurunkan kenyataan genosid kelaparan yang dilakukan rejim pengganas zionis ke atas penduduk Palestin.

Imej Kaherah dalam membantu menghentikan pembersihan kaum di Gaza sejak 22 bulan lalu di mata masyarakat antarabangsa sangat buruk kerana negara itu menggunakan pelbagai alasan untuk menghalang kemasukan serta laluan dengan menggunakan pelbagai alasan termasuk ancaman daripada kumpulan anti kerajaan yang dikatakan berpusat di Sinai.

Sikap ketuanan ‘firaun’ yang digunakan Presiden Abdel Fattah El-Sisi bukan perkara pelik kerana itulah realiti yang berlaku selepas pemimpin sebelumnya menormalisasi hubungan diplomatik dengan Israel.

Mesir sebuah negara besar dan mempunyai kehebatan sejarah silam tetapi pada zaman moden, ia tidak mempunyai kekayaan sumber alam untuk pergi lebih jauh dan menjadi lebih maju seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Iran.

Keadaan itu digunakan anasir zionis melalui proksinya, Amerika Syarikat (AS) dan Barat dengan menawarkan pelbagai bentuk bantuan.

Menurut pejabat Senator Chris Murphy, sejak 1978 sehingga ke hari ini, Rumah Putih telah memberikan bantuan ketenteraan berjumlah AS$50 bilion.

Angka itu tidak termasuk bantuan makanan berjumlah AS$4.1 bilion pada fiskal 2023/2024.

Mesir pada mata penduduk Malaysia dilihat hebat kerana di situ wujudnya institusi pendidikan tertua dunia Islam, Universiti Al-Azhar tetapi tidak lagi pada hari ini kerana dalam banyak perkara, ulama atau sheikh yang berada di situ bukan lagi dihormati.

Lihatlah apa yang berlaku kepada Sheikhul Islam, Sheikh Yusof Al-Qaradawi yang mempunyai pendirian telah diancam bunuh sehingga terpaksa berada dalam buangan di Qatar sehingga ke akhir hayat beliau.

Acuan yang dibentuk oleh pentadbiran Presiden Hosni Mubarak selama hampir tiga dekad telah menukar polisi yang tidak lagi bersama rakyat Palestin untuk membebaskan tanah air yang dikuasai Israel dan menubuhkan negara sendiri berdaulat di mana Baitulmaqdis menjadi ibu negaranya.

Sepanjang 1981 hingga 2011, dasar-dasar keras di bawah pentadbiran diktatornya dilihat sebagai melindungi kepentingan Mesir dan mempamerkan keselesaan sebagai seorang yang pro-AS dan Barat serta mesra Israel.
Segalanya dibuat untuk mengekalkan kuasa beliau.

Jadi tidak menghairankan, sepanjang tiga dekad, tiada pencapaian pembangunan mega yang dilaksanakan untuk memperbaiki ekonomi supaya taraf hidup rakyat dan sosio ekonomi mereka setanding dengan negara baharu di dunia Arab seperti Kuwait, UAE, Qatar, Oman dan Bahrain.

Persepsi positif masyarakat antarabangsa terhadap negara berkenaan banyak dibantu oleh rakyatnya yang merata khususnya di negara Teluk yang memberi imej baik kerana keramahan dan senang ‘berkira’. Tetapi jika ditanya daripada hati ke hati, banyak perkara tidak puas hati yang diluahkan.

Menurut Kementerian Migrasi, dianggarkan 14 juta warganya tinggal dan bekerja di luar negara dan menyumbang AS$32 bilion kepada pendapatan sepanjang 2021 dan 2022.

Mesir yang terperangkap dengan keadaan ekonomi yang tidak berkembang, inflasi, hutang luar negara, pengangguran telah menjadi cabaran kepada kerajaan.

Faktor itu telah menyumbang kepada kejatuhan Presiden Hosni melalui tunjuk perasaan berdarah pada 11 Februari 2011.

Selepas lebih 31 juta rakyat Mesir memilih Muhammad Morsi sebagai presiden dalam pemilihan yang paling telus dalam sejarah negara itu pada 2012, puak yang sekular khususnya kepimpinan tentera, merencana agenda yang mengkhianati impian rakyat.

Bertunjangkan ideologi Ikhwanul Muslimin, beliau serta kepimpinan yang dipilih telah ditumbang dan Presiden Morsi sendiri dipenjara dan meninggal dunia ketika perbicaraan di mahkamah pada 2019.

Kejatuhan itu tidak mengejutkan kerana dalam artikel diterbitkan akhbar Maariv, salah seorang pegawai kanan tentera Israel, Brigadier Jeneral, Aryeh Eldad mendakwa negaranya telah terbabit dalam rancangan jahat berkenaan kerana percaya Presiden Morsi berniat membatalkan perjanjian damai Kem David yang ditandatangani pada 1978 selain ingin menghantar lebih ramai anggota tentera Mesir ke Semenanjung Sinai.

Susulan itu, ia dikatakan mula merancang untuk menggulingkannya dan menggantikannya dengan El-Sisi yang berkhidmat sebagai menteri pertahanan sebelum rampasan kuasa itu berlaku.

Bahkan, ia dikatakan mendapat sokongan daripada pentadbiran AS yang ketika itu berada di bawah bekas Presiden Barack Obama untuk menyokong langkah berkenaan.

Ketidakadilan terhadap Morsi, barisan menteri, ulama dan mereka yang seprinsip perjuangan dengan beliau kemudian mendedahkan sisi sebenar El-Sisi.

Akhbar Al Watan dari Algeria mendakwa yang ibu kepada presiden berkenaan adalah berketurunan Yahudi bernama Mulaika Titani dan saudara lelaki kepada wanita berkenaan adalah salah seorang anggota pertubuhan pengganas zionis, Haganah yang bertanggungjawab membunuh dan mengusir penduduk Palestin pada zaman awal penubuhan Israel.

Meskipun kenyataan itu disanggah serta dinafi keras namun terdapat rakyat Mesir yang melihat pendirian sosok tubuh yang merampas hak demokrasi mereka lebih menjaga negara yang selama ini dianggap seteru.

Berbanding empat presiden Mesir sebelumnya, El-Sisi mendapat pujian meluas di Israel kerana telah memulihara tapak warisan Yahudi dan Synagog di negara itu yang sebelum ini terbiar atau dimusnahkan.

Bukan tiada penentangan terhadap dasar-dasar beliau yang mengkhianati perjuangan dunia Arab dan Islam berhubung isu Palestin tetapi beliau menggunakan pelbagai cara menutup kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat sendiri.

Ramai yang tidak tahu terdapat lebih 60,000 tahanan politik di Mesir di mana beribu diseksa.

Itu belum lagi mereka yang hilang begitu sahaja tanpa berita.

Kalau Presiden Bashar Al-Assad dipanggil penjenayah kerana didakwa membunuh pengikut Ahlu Sunnah, mengapa tidak kepada El-Sisi yang melakukan perbuatan yang sama kepada mereka yang semazhab dan seakidah dengannya?

Semoga apa yang berlaku di Gaza ketika ini dengan dasar tidak berperikemanusiaan menyekat kemasukan dan penghantaran bantuan antarabangsa melalui Rafah ke wilayah itu akan membuka sisi El-Sisi. – UTUSAN

PENULIS ialah Perunding Media Alkhair Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN