MENGURUSKAN kewangan peribadi dengan cekap merupakan satu cabaran besar dalam kehidupan masyarakat moden. Menyedari hakikat ini, amat penting bagi setiap individu untuk mempunyai kemahiran merancang belanjawan bulanan dengan bijak dan efektif. Namun, realiti hari ini menunjukkan bahawa ramai pengguna masih gagal mengurus kewangan secara sistematik, menyebabkan mereka sentiasa terperangkap dalam tekanan kewangan.
Perancangan belanjawan bulanan sebenarnya bukan sekadar merekodkan perbelanjaan sahaja, tetapi ia lebih luas meliputi strategi menetapkan matlamat kewangan, memahami aliran tunai, serta memastikan simpanan dan pelaburan dapat dilakukan secara konsisten. Belanjawan yang baik bukanlah sekadar dokumen statik, tetapi ia seharusnya fleksibel dan responsif terhadap perubahan situasi kewangan pengguna.
Dalam konteks ini, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah memahami dengan jelas sumber pendapatan bulanan. Pendapatan boleh terdiri daripada gaji tetap, pendapatan sampingan seperti sewaan hartanah, perniagaan kecil, atau sebarang pendapatan pasif lain. Apabila pendapatan telah dikenal pasti secara jelas, barulah pengguna dapat menentukan kapasiti kewangan mereka untuk berbelanja dan menyimpan.
Selepas mengenal pasti pendapatan, langkah seterusnya adalah mengklasifikasikan perbelanjaan kepada dua kategori utama iaitu perbelanjaan tetap dan berubah. Perbelanjaan tetap termasuklah bayaran rumah, ansuran kereta, insurans, yuran persekolahan anak-anak, dan bil utiliti bulanan.
Perbelanjaan berubah pula termasuklah makanan harian, hiburan, pakaian, dan perbelanjaan luar jangka seperti pembaikan kenderaan atau kos perubatan.
Dalam merancang belanjawan, pengguna perlu memastikan perbelanjaan tetap tidak melebihi 60 peratus hingga 70 peratus daripada jumlah pendapatan bersih bulanan. Sekiranya ia melebihi had ini, pengguna berisiko tinggi untuk menghadapi masalah kewangan jangka panjang. Oleh itu, pengguna perlu membuat pelarasan seperti mengurangkan hutang atau berjimat dalam gaya hidup sendiri dan keluarga.
Teknik mudah tetapi berkesan yang boleh dipraktikkan adalah mencatat setiap perbelanjaan harian. Catatan ini amat penting kerana ia membantu pengguna mengenal pasti corak perbelanjaan yang tidak perlu, sekali gus membolehkan mereka membuat pelarasan segera. Misalnya, jika didapati perbelanjaan makan di luar terlalu tinggi, pengguna boleh mengambil langkah proaktif dengan menyediakan makanan di rumah yang jauh lebih menjimatkan.
Satu lagi strategi penting dalam merancang belanjawan bulanan adalah dengan menetapkan matlamat simpanan secara spesifik. Setiap bulan, pengguna perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus hingga 20 peratus daripada pendapatan mereka untuk simpanan kecemasan atau pelaburan jangka panjang seperti Amanah Saham, deposit tetap, atau simpanan Tabung Haji. Langkah ini penting bukan sahaja sebagai persediaan menghadapi waktu kecemasan, tetapi juga bagi memastikan kestabilan kewangan pada masa hadapan dan juga untuk menunaikan ibadah haji.
Selain itu, pengguna juga perlu menilai secara berkala belanjawan yang telah disusun. Penilaian ini boleh dibuat setiap bulan atau setiap tiga bulan atau sekurang-kurangnya setahun sekali untuk memastikan belanjawan sentiasa relevan dengan situasi kewangan semasa. Jika berlaku sebarang perubahan besar dalam pendapatan atau perbelanjaan, pengguna perlu segera membuat pelarasan belanjawan agar kewangan peribadi kekal stabil.
Penting juga bagi pengguna mengamalkan konsep disiplin kewangan secara konsisten. Tanpa disiplin, belanjawan yang dirancang sebaik mana pun akan gagal dilaksanakan. Oleh itu, pengguna perlu mendisiplinkan diri dengan mengelak perbelanjaan impulsif, berbelanja mengikut kemampuan sebenar dan sentiasa mengutamakan simpanan sebelum membuat perbelanjaan lain. Ini amat memerlukan ketahanan diri terutama di dalam era pembelian boleh dibuat di atas talian melalui talian media sosial dan e-dagang. Ada sahaja produk dan perkhidmatan yang ditawarkan yang membuatkan kita berbelanja secara impulsif.
Dalam era digital ini, pengguna juga boleh memanfaatkan teknologi untuk membantu mereka merancang dan menguruskan belanjawan. Pelbagai aplikasi mudah alih kini tersedia secara percuma atau berbayar, yang menawarkan fungsi-fungsi canggih seperti peringatan pembayaran bil, rekod perbelanjaan automatik, serta analisis kewangan yang komprehensif. Penggunaan teknologi ini bukan sahaja memudahkan pengurusan kewangan tetapi turut membantu pengguna memahami situasi kewangan mereka dengan lebih jelas.
Akhir sekali, pengguna harus sentiasa melibatkan ahli keluarga dalam perancangan kewangan bulanan. Penglibatan keluarga akan memastikan semua pihak memahami objektif kewangan keluarga, sekali gus memupuk semangat kerjasama dalam mengurus perbelanjaan secara bijak. Ini amat penting terutamanya bagi keluarga yang mempunyai tanggungan tinggi.
Kesimpulannya, perancangan belanjawan bulanan yang bijak adalah kunci kepada kestabilan kewangan. Dengan pendekatan teratur, disiplin tinggi dan penggunaan teknologi serta melibatkan ahli keluarga secara aktif, pengguna bukan sahaja mampu mengawal kewangan peribadi mereka tetapi juga berupaya mencapai matlamat kewangan yang lebih besar dalam jangka masa panjang. Dalam hal ini, pengguna tidak boleh memandang ringan peranan belanjawan kerana ia adalah asas kepada kehidupan yang lebih selesa dan bebas daripada tekanan kewangan. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali ialah profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Penyelidik di Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI), Exco Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Bendahari Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) dan Timbalan Pengerusi, Persatuan Muamalat Malaysia (MMA).










