Bukan semua biru itu ‘nila’ - Utusan Malaysia

Bukan semua biru itu ‘nila’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELASA lalu, ketika memandu dalam perjalanan ke tempat kerja dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya, pada waktu tengah hari, saya melepasi seorang anggota polis trafik yang berhenti di tepi jalan bersama motosikalnya.

Beberapa meter di hadapan, tiba-tiba seorang lelaki yang pembonceng motosikalnya, seorang budak perempuan berpakaian sekolah rendah berhenti di persimpangan.

Saya lihat budak itu, tangannya menunjukkan sesuatu ke arah tengah jalan raya dan kemudian dia seperti mahu turun dari motosikal itu. Mungkin ada barang penting terjatuh daripada beg sekolahnya.

Saya memperlahankan kenderaan kerana benda yang terjatuh seakan-akan bulat bentuknya itu, berada tidak jauh dari depan kereta saya.

Saya berteriak seorang diri di dalam kereta. Jangan turunlah bahaya! Manakala lelaki itu yang mungkin bapanya kelihatan menoleh kiri dan kanan.

Tiba-tiba polis trafik bermotosikal yang saya lihat tadi, datang menghampiri anak beranak itu dan dia segera memberi isyarat tangan kepada kenderaan lain untuk memperlahankan kenderaan dan polis itu melintas dan mengambil barang tersebut.

Nasib baiklah ada polis, getus hati saya.

Sebenarnya, kita sudah biasa melihat pemandangan seperti ini. Maksud saya, kita sudah selalu melihat sendiri kegigihan anggota polis trafik dalam membantu dan memudahkan urusan orang ramai. Mereka ini bekerja dalam keadaan tidak menentu – cuaca panas terik atau berhujan.

Ada yang membantu menolak kereta rosak, menukar tayar, menolong warga emas melintas jalan, menyelamatkan haiwan daripada dilanggar kenderaan dan macam-macam lagi.

Paling terkesan, ada juga yang terkorban semasa menjalankan operasi atau sekatan jalan raya, dirempuh pemandu yang melulu atau mabuk. Tentu pengorbanan seperti ini memberi impak mendalam kepada ibu, bapa, isteri dan anak yang ditinggalkan.

Peranan dan jasa polis trafik juga besar jika hendak disamakan dengan anggota polis lain – di Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9), Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Komersial, Jenayah Dadah, Interpol (D12) dan lain-lain.

Tetapi itulah, kebaikan yang sering disaksikan oleh rakyat ini selalunya tiba-tiba bagaikan lenyap begitu saja apabila ada kes salah laku, jenayah, penyelewengan dan rasuah yang dilaporkan dilakukan oleh anggota PDRM ini. Ibaratnya bukan setakat disebabkan setitik nila habis susu sebelanga, tetapi berkawah-kawah perginya setitik nila itu!

Dan masih ada lagi persepsi dari dulu sehingga kini, apabila nampak anggota polis menahan kereta atau motosikal di tepi jalan – laju saja membuat andaian atau tuduhan – anggota polis tersebut sedang mencari duit sampingan atau duit kopi walhal sedang bekerja.

Dilaporkan, hanya 86 atau 1.28 peratus daripada keseluruhan 6,696 aduan diterima Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun lalu, berkaitan rasuah.

Dalam pada itu, seramai 59 daripada 492 pegawai dan anggota PDRM yang dikenakan tindakan tatatertib telah dibuang kerja dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Kebanyakan atas kesalahan berkaitan dadah, selain integriti, jenayah, rasuah dan syariah.

Bagaimanapun kata bekas Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad, walaupun bilangannya sangat kecil iaitu kurang daripada 0.1 peratus berbanding kekuatan semasa anggota kira-kira 125,000 ia tetap memberi kesan kepada imej polis.

Dalam pada itu, banyak rungutan terutamanya dalam media sosial tentang polis lambat bertindak apabila sesuatu aduan dibuat di balai polis atau kes yang tiada tindakan lanjut (NFA) juga sedikit sebanyak menyuramkan lagi imej pihak berkuasa ini.

Tetapi itulah, ada waktunya kita begitu kagum dengan kecepatan dan kecekapan polis kita mengesan suspek kes bunuh, rogol atau perompak dalam masa tidak sampai 24 jam, tetapi pada masa sama ramai mempertikaikan dalam kes-kes kontroversi atau berprofil tinggi seperti pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim pula pelakunya tidak dapat dikesan langsung atau tiada petunjuk dan diumumkan NFA. Orang ramai juga masih menunggu siapa yang menyuntik anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli. Sudah lebih seminggu kejadian yang menimbulkan kemarahan orang ramai ini berlalu.

Dan ramai sedang menantikan tindakan terhadap pegawai penyiasat (IO), adakah benar dia dikatakan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam menyiasat kematian adik Zara Qairina? Kenapa ia boleh berlaku?

Ini semua memberi persepsi pelbagai dan ‘bukan-bukan’ dalam kepala orang ramai yang berlegar dalam media sosial.

Ditambah pula dengan ramai yang kononnya serba serbi tahu dan tiba-tiba mahu menjadi pakar dalam menganalisis sesuatu isu. Kadang-kadang boleh bertukar mengikut isu menjadi pakar undang-undang, pakar perubatan atau pakar forensik! Tetapi sebenarnya pakar fitnah.

Dan yang suka jadi ‘penunggang isu’ untuk jadi popular dan menarik sokongan orang ramai juga tidak mahu kalah. Menyibuk juga.Tiada keikhlasan. Hanya menangguk di air keruh!

Menulis tentang PDRM bukan bermakna kita mahu mencari salah atau menjadi seorang yang buta terhadap kelemahan yang ada.

Pada saya, ia sepatutnya tentang memberi hormat kepada mereka yang berada di barisan hadapan, sanggup mempertaruh nyawa, masa dan tenaga demi keamanan dan kesejahteraan kita.

Namun pada masa sama, kita juga berhak menuntut sistem yang terbuka dan berintegriti, di mana salah guna kuasa tidak sepatutnya ada dan apa jua siasatan jenayah ditangani tanpa pilih bulu sesuai dengan beberapa motto PDRM iaitu ‘Sedia Berkhidmat’ dan ‘Cepat dan Betul’.

Dan paling penting pasukan pengaman yang disandarkan harapan oleh jutaan rakyat Malaysia ini, bebas daripada ‘gangguan’ pihak-pihak yang berkepentingan.

Ini penting untuk mendapatkan keadilan bagi mana-mana mangsa dalam apa-apa jua kes jenayah. Keadilan biarlah ditegakkan di dunia ini, bukan dengan membiarkan mangsa menunggu adil itu hanya di akhirat.

Dan dalam kita menuntut keadilan, jangan memukul rata semua pasukan di bawah bendera Sang Saka Biru tiada integriti. Kuat rasuah. Bukan semua biru itu nila.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN