KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Urusan Syarikat V Telecoms Berhad, Datuk Ranjeet Singh Sidhu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi suapan RM8 juta kepada bekas presiden sebuah bank, 14 tahun lalu.
Ranjeet, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Dia didakwa memberi suapan itu kepada bekas presiden dan pengarah urusan bank tersebut melalui seorang individu sebagai upah untuk membantu meluluskan permohonan pinjaman RM400 juta oleh Syarikat V Telecoms Berhad.
Pinjaman itu bagi membiayai projek pembangunan rangkaian gentian optik pesisir pantai yang merangkumi keseluruhan Semenanjung Malaysia.
Ahli perniagaan itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail dekat sini pada 29 Jun 2012.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Ranjeet turut berdepan pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan Joint Completion Guarantee sebagai memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman berjumlah RM400 juta untuk membiayai projek sama, pada masa dan di tempat serupa.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di ibu pejabat SPRM sehingga kes selesai.
Peguam bela Datuk Gobinath Mohanna, yang mewakili tertuduh, bagaimanapun memohon jumlah jaminan rendah dan memaklumkan pasport anak guamnya kini dalam simpanan SPRM.
Mahkamah kemudian membenarkan Ranjeet diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










