BAGI segelintir orang, RM100 mungkin sekadar harga makan malam di restoran mewah atau sepasang kasut berjenama. Namun, bagi golongan yang hidup di hujung tali kewangan, jumlah itu mampu menjadi bekalan beras sebulan, susu anak, atau minyak masak dan telur untuk mengisi dapur.
Nilai yang dianggap kecil bagi sesetengah pihak inilah yang cuba dihulurkan kerajaan melalui peluasan program bantuan tunai, demi memastikan tiada rakyat tercicir dalam perjuangan mengharungi kos sara hidup yang semakin menekan.
Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peluasan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan pemberian sekali beri sebanyak RM100 kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Langkah yang dijangka memberi manfaat kepada 22 juta rakyat Malaysia itu melibatkan peruntukan besar mencecah RM2 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat kepada RM15 bilion pada 2025, berbanding RM13 bilion sebelumnya.
SARA memberi nilai tambah menerusi penggunaan MyKad untuk pembelian barangan keperluan di kedai terpilih. Setakat April 2025, bilangan kedai runcit dan pasar raya yang berdaftar di bawah program SARA sudah meningkat kepada 3,700 buah di seluruh negara, berbanding hanya 700 pada tahun sebelumnya.
Jumlah penerima SARA turut meningkat drastik, daripada 700,000 orang kepada 5.4 juta, menunjukkan keperluan dan keberkesanan program ini dalam menyokong isi rumah berpendapatan rendah.
Penggunaan bantuan melalui MyKad juga menunjukkan prestasi memberangsangkan, terutamanya di Sabah (84 peratus), Perlis (82 peratus), dan Kedah (80 peratus). Bagi tahun ini, kadar maksimum SARA ditingkatkan kepada RM2,100, berbanding RM1,200 pada 2024.
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Dr. Mohamad Reeduan Mustapha menyifatkan, tindakan kerajaan memperluaskan pemberian tunai RM100 kepada setiap orang dewasa tanpa mengira latar belakang pendapatan memastikan manfaat bantuan ini dapat dirasai secara menyeluruh oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Walaupun dari segi jumlahnya, pemberian ini mungkin dilihat kecil bagi golongan M40 atau T20, ia sebenarnya amat bermakna kepada golongan B40, yang berdepan tekanan kewangan harian yang jauh lebih tinggi.
“Tambahan pula, bantuan tunai ini memberikan fleksibiliti kepada penerima untuk menggunakannya mengikut keperluan sebenar mereka,” katanya.
Dari sudut ekonomi, beliau berpendapat, inisiatif ini merancakkan ekonomi domestik dalam jangka pendek kerana setiap rakyat yang menerima bantuan perlu membelanjakannya di pasaran tempatan terpilih, sekali gus merangsang aktiviti ekonomi khususnya dalam sektor runcit bagi pembelian barangan keperluan asas.
Ini selaras dengan teori ekonomi Keynes, yang menyatakan bahawa perbelanjaan pengguna memainkan peranan penting sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, terutamanya dalam fasa pemulihan atau kelembapan ekonomi.
“Bantuan ini juga boleh dilihat sebagai satu bentuk penghargaan atau hadiah daripada kerajaan kepada rakyat sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 negara. Ia membawa mesej bahawa kerajaan prihatin dan komited dalam memastikan rakyat dapat menyambut Hari Kebangsaan dalam keadaan yang lebih sejahtera dan bermaruah,” katanya.
Namun, adakah bantuan tunai kaedah terbaik dalam jangka panjang? Dengan jumlah peruntukan mencecah belasan bilion ringgit setahun, kerajaan perlu menanggung beban fiskal yang besar, khususnya ketika negara berhadapan defisit belanjawan dan hutang awam yang tinggi.
Walaupun bantuan tunai seperti SARA dan STR tetap relevan dalam situasi ekonomi mencabar, namun ia sepatutnya menjadi pelengkap kepada dasar pembangunan jangka panjang, bukan sebagai jalan utama menyelesaikan masalah kemiskinan.
Bagaimanapun, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menggunakan pendekatan bantuan tunai langsung sebagai salah satu bentuk intervensi ekonomi dan sosial. Sejak 2003, Brazil melaksanakan program bantuan tunai bersyarat dikenali sebagai Bolsa Família (kini dikenali sebagai Auxílio Brasil).
Bantuan ini disasarkan kepada keluarga miskin dengan syarat tertentu seperti menghantar anak ke sekolah dan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala. Kajian menunjukkan program ini berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar dan meningkatkan kadar celik huruf serta kesihatan kanak-kanak di Brazil.
Amerika Syarikat (AS) juga memperkenalkan kaedah bantuan tunai. Semasa pandemik Covid-19, AS memberikan stimulus checks atau Economic Impact Payments kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
Singapura juga tidak ketinggalan menggunakan pendekatan lebih bersasar dan berfasa seperti Baucar GST (pampasan untuk cukai barangan) dan Baucar Community Development Council (CDC) yang boleh dibelanjakan di kedai tempatan. Bantuan disalurkan berdasarkan gaji, status pekerjaan dan keperluan semasa. Model Singapura ini menggalakkan perbelanjaan domestik secara bersasar, menyokong peniaga kecil sambil mengekalkan disiplin fiskal kerajaan.
Kerajaan Jepun juga memberikan pembayaran tunai sekali beri (100,000 yen) kepada semua penduduk ketika pandemik. Namun, kerana budaya rakyat Jepun yang lebih cenderung menyimpan berbanding berbelanja, impak ekonomi tidak sekuat yang diharapkan.
Negara-negara yang lebih maju dari segi dasar sosial mengimbangi bantuan tunai dengan kaedah jangka panjang untuk memperkukuh daya tahan rakyat. Antaranya pelaburan dalam pendidikan dan latihan kemahiran seperti di Jerman yang menumpukan pada latihan teknikal melalui sistem dual education.
Perumahan mampu milik dan sistem kesihatan universal seperti di Skandinavia (Sweden, Norway) yang menjadikan kesejahteraan asas sebagai hak, bukan bantuan. Pendapatan asas sejagat (UBI) masih dalam peringkat percubaan di beberapa bandar seperti di Finland dan Kanada, UBI dilihat sebagai solusi masa depan kepada gangguan ekonomi akibat automasi.
Malaysia sedang berada di tengah-tengah dilema antara keperluan membantu rakyat secara segera dengan keperluan mengekalkan kedudukan fiskal negara. Bantuan tunai seperti STR dan SARA memang membantu dalam jangka pendek, tetapi tanpa dasar jangka panjang yang membina pendapatan, kemahiran dan peluang pekerjaan rakyat, ia berisiko menjadi ketagihan berpanjangan terhadap bantuan.
Malaysia boleh mempertimbangkan gabungan pendekatan seperti bantuan tunai bersyarat. Pengukuhan sistem data rakyat untuk memastikan bantuan hanya disalurkan kepada yang benar-benar layak. Ini termasuk membuat pelaburan dalam infrastruktur sosial dan ekonomi, termasuk pendidikan teknikal, penjagaan kanak-kanak dan kesihatan komuniti. Ia adalah talian hayat masa depan generasi akan datang. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia di Putrajaya.










