TAUHID merupakan pokok ajaran dalam Islam yang menegaskan tentang keesaan Allah. Peletakan tauhid sebagai asas seseorang sangat penting kerana memberi panduan dalam kehidupan dan membentuk akhlak mulia.
Dalam konteks ini, tauhid bukan sekadar bentuk keyakinan dalam hati tetapi perlu diterjemahkan dalam setiap aspek kehidupan seorang Muslim.
Tauhid memberi asas kukuh kepada iman seseorang. Dengan mengakui keesaan Allah, individu akan meninggalkan segala bentuk penyembahan selain-Nya. Ini membolehkan seseorang menjaga kesucian akidah dan menjauhi syirik yang boleh merosakkan keimanan.
Apabila seseorang meletakkan tauhid dalam hidupnya, dia akan sedar setiap yang berlaku adalah ketentuan Allah, dan ini akan menjauhkannya daripada bersikap sombong.
Selain itu, peletakan tauhid sebagai asas dalam kehidupan juga membentuk tingkah laku baik. Apabila seseorang menyedari setiap perbuatan dan amalannya diperhatikan Allah, dia akan lebih berhati-hati dan berusaha untuk melakukan perkara baik dan mengelakkan yang buruk.
Dalam konteks ini, tauhid memberi motivasi untuk menunaikan kewajipan agama seperti solat, puasa dan zakat dengan lebih ikhlas. Tanpa tauhid, seseorang mungkin akan melaksanakan ibadah hanya kerana paksaan atau adat, bukannya dengan penuh keikhlasan kerana Allah.
MENJADI BAIK
Tauhid mendidik kita untuk membina akhlak mulia dalam hubungan sesama manusia. Dengan menyedari Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Adil, seseorang akan berusaha mencontohi sifat-sifat ini dalam kehidupan harian. Sifat sabar, jujur, amanah, rendah hati dan adil akan terpancar dalam diri kerana dia yakin setiap perbuatannya sentiasa dalam pengawasan Allah.
Melakukan kebaikan bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi juga terhadap orang lain. Islam menganjurkan kita membantu mengikut kemampuan, agar manfaatnya dapat dirasai bersama. Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain. Bantuan bukan hanya dalam bentuk wang tetapi juga melalui nasihat, perhatian, simpati atau memudahkan urusan orang lain. Lihatlah sekeliling, mungkin ada yang memerlukan sokongan kita hari ini.
Tauhid juga memberi kestabilan hidup dengan menanamkan keyakinan yang Allah Maha Mengetahui, Maha Kuasa dan Maha Pengasih. Ia menjadikan seseorang lebih sabar, tenang dan tidak mudah berputus asa ketika diuji, kerana dia berserah dan bergantung sepenuhnya kepada Allah.
Tauhid juga mengajarkan kita untuk bersyukur dan sentiasa menghargai setiap nikmat yang diberikan Allah. Menyedari segala di dunia adalah pemberian Allah akan menjadikan kita lebih bersyukur. Sifat syukur ini mendorong keprihatinan terhadap orang lain dan memupuk semangat membantu, menjadikan individu yang berpegang pada tauhid lebih peka terhadap kesejahteraan masyarakat.
BERAKHLAK MULIA
Tauhid yang diamalkan melahirkan insan berakhlak mulia, bersifat jujur, amanah, ikhlas, penyayang, bertimbang rasa dan saling berkasih sayang dalam keluarga serta masyarakat. Ia mendorong sikap pemaaf, pemurah dalam kebajikan, berhemah dalam berbelanja dan sentiasa menjaga perpaduan, khususnya ketika umat berdepan cabaran. Tauhid juga menggalakkan kerjasama dalam kebaikan antara individu, masyarakat, pemimpin, ulama dan rakyat serta menanam semangat gigih untuk berbakti kepada sesama manusia.
Tauhid mendorong perpaduan dalam keluarga, melahirkan keluarga yang bahagia dan kuat, seterusnya membina masyarakat yang berilmu dan beradab. Hal ini selari dengan falsafah hidup masyarakat Minangkabau yang berpegang kepada ajaran Islam sebagai pedoman utama:, ‘Hidup bersendikan adat, adat bersendikan Syara’, Syara’ bersendikan Kitabullah’, yang mencerminkan kehidupan berteraskan wahyu yang berpadu dengan akal dan budaya.
Tauhid dalam amalan dizahirkan melalui ketaatan sepenuhnya kepada kehendak Allah, yang terjelma dalam kepatuhan kepada hukum syarak sama ada dalam ibadah, kehidupan berkeluarga, muamalah, kenegaraan, budaya, ilmu pengetahuan, sains, teknologi mahupun maklumat.
Ketaatan menyeluruh inilah yang menjadi manifestasi tauhid dalam tamadun manusia, melangkaui kehidupan peribadi, keluarga dan masyarakat. Perpecahan dalam masyarakat pula berpunca daripada kealpaan manusia yang lebih mementingkan dunia berbanding akhirat serta kelemahan diri yang gagal memandu kehidupan dengan nilai tauhid.
Sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran, “Tuhan tidak membebankan diri manusia melainkan setakat apa yang termampu olehnya.” Dalam konteks lain Allah berfirman, “Allah tidak membebankan sesuatu diri manusia melainkan daripada apa yang dikurniakan kepadanya (daripada Nikmat-Nya).”
Tauhid dalam amalan mendorong manusia membina kehidupan bertamadun berasaskan ajaran Tuhan dalam setiap aspek ilmu, politik, ekonomi, kemasyarakatan, kesenian, budaya, bahkan dalam situasi perang dan damai. Segala permasalahan yang timbul berpunca daripada kelemahan manusia, sama ada secara individu mahupun komuniti.
Islam hadir bukan untuk menyusahkan atau mengazabkan manusia, tetapi sebagai panduan dan pedoman untuk membimbing mereka keluar daripada kelemahan itu.
Peletakan tauhid sebagai asas dalam kehidupan juga membawa pembentukan masyarakat yang harmoni. Apabila setiap individu dalam masyarakat mempunyai pemahaman yang sama tentang tauhid, mereka akan hidup dalam suasana saling menghormati dan tolong-menolong. Ini kerana tauhid mengajarkan nilai-nilai seperti keadilan, kasih sayang dan amanah, yang merupakan teras kepada pembentukan hubungan positif dalam masyarakat baik di rumah, kawasan kejiranan, pejabat atau di mana jua.
Secara keseluruhannya, peletakan tauhid sebagai asas dalam kehidupan bukan hanya memberi kekuatan kepada individu dalam menghadapi ujian hidup tetapi juga membentuk akhlak yang baik dan menyumbang kepada keharmonian masyarakat. Oleh itu, penting bagi setiap Muslim untuk menguatkan tauhid dalam diri supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan diberkati Allah.
Tauhid bukan hanya membentuk hubungan kita dengan Allah tetapi juga membentuk peribadi yang baik.
Dengan mengamalkan tauhid dalam kehidupan sehari-hari, kita akan menjadi individu yang lebih baik, lebih peka terhadap keperluan orang lain dan lebih sabar dalam menghadapi dugaan hidup.
Tauhid membimbing kita untuk menjadi manusia yang berakhlak mulia, yang sentiasa mencari keredaan Allah dalam setiap perbuatan dan merealisasikan Rahmatan Lil-Alamin dengan penuh istiqomah demi reda Allah.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah Kanan di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Medical (SASMEC@IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.










