Semarak Jalur Gemilang melangkaui tarikh 31 Ogos

Semarak Jalur Gemilang melangkaui tarikh 31 Ogos

SAMBUTAN Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang mencerminkan semangat patriotisme, penghargaan terhadap sejarah kemerdekaan serta usaha memperkukuh perpaduan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 JALUR Gemilang mula berkibar dengan rancaknya di tepi jalan raya, sekolah, kenderaan awam atau persendirian, dan bangunan kerajaan serta swasta. 

Mungkin ketika ini juga ialah masa sesuai untuk menggantikan Jalur Gemilang dengan fabrik baharu bagi memelihara kesempurnaan rupa bentuk dan warna yang menjadi lambang kedaulatan negara.

Seiring dengan kerancakkan kibaran Jalur Gemilang, sudah pasti kita dapat merasakan kehangatan sambutan bulan kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang yang diraikan dengan meriah dan penuh pengertian yang sejarah negara harus diulang sebut serta disampaikan kepada generasi demi generasi agar tidak luput daripada ingatan selain tidak lenyap dalam lembaran catatan.

Ini bukan tentang sebuah rindu dendam terhadap penaklukan silam tetapi usaha kita dalam meneguhkan identiti dan jati diri bangsa dengan membina kefahaman kolektif rakyat tentang pengorbanan, perjuangan dan kemenangan rakyat terdahulu untuk keluar daripada dasar kolonialisme selama 446 tahun, satu tempoh yang menjadikan negara antara yang terlama dijajah di dunia.  

Tanpa mengulang sebut, sejarah mudah dilupakan. Apabila lupa, kita cenderung untuk mengulangi kesilapan yang sama. Kini, setelah 68 tahun, dari zaman baby boomers ke generasi alpha, penghayatan terhadap kisah sejarah ini masih mendirikan bulu roma dan membarakan semangat patriotik dalam sanubari setiap warganegara. Justeru dengan menyebut-nyebut sejarah, bukan hanya mengenang sebuah kenangan, tetapi untuk dijadikan panduan agar masa hadapan dibina dengan lebih bijaksana.  

Dasar kolonialisme yang diamalkan kuasa asing membentuk satu demografi yang unik ke atas Tanah Melayu. Komuniti Melayu, Cina dan India membuktikan kita dapat hidup bersama secara aman dan damai dalam satu gabungan Persekutuan Tanah Melayu yang seterusnya bergabung dengan Sabah dan Sarawak dalam membentuk Malaysia yang kita ada pada hari ini.

Keunikan Malaysia diakui dunia sebagai contoh terbaik dari aspek perpaduan dalam kepelbagaian rakyatnya yang acap kali menjadi sorotan masyarakat antarabangsa. Namun, usaha untuk mempertahankan penyatuan rakyat ini menuntut tidak sedikit pengorbanan daripada setiap individu.

Di alaf baharu, kacau-bilau tidak lagi datang dari luar semata-mata tetapi ganggu-gugat ini boleh tercetus dari dalam oleh faktor seperti ketidaksamarataan, perpecahan dan buruk sangka sehingga menghilangkan nilai-nilai kemanusiaan yang akhirnya akan membawa ancaman lebih besar.

Namun, situasi yang dikhuatiri ini masih ‘jauh api daripada panggang’. Ini berdasarkan kepada kedudukan Malaysia di tangga ke-13 negara paling selamat dalam Kedudukan Indeks Keamanan Global 2025 (GPI 2025). Ini menjadi bukti komitmen kerajaan pada untuk membawa Malaysia ke tahap lebih baik.

Hasil permuafakatan antara rakyat dicapai melalui pembentukan Perlembagaan yang disempurnakan dengan lafaz ikrar lima prinsip Rukun Negara, dan dipererat menerusi Dasar Perpaduan Negara (DPN) telah melestarikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

 

BULAN KEBANGSAAN

 

Menyedari usaha memperkukuh perpaduan  mempunyai kesan snowball dalam menjamin kestabilan dan pertumbuhan negara untuk jangka panjang. Maka usaha menggelorakan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat tidak harus tertumpu pada tanggal 31 Ogos sahaja. 

 Peluncuran bulan kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang yang menjadi ritual bagi sambutan hari kebangsaan pada asalnya sekadar menaikkan bendera sebagai simbolik kemerdekaan negara. Kini, sambutannya lebih besar dengan pengisian pelbagai aktiviti yang melibatkan seluruh rakyat di peringkat negeri, daerah dan komuniti.

Program yang dijalankan sekitar bulan Julai setiap tahun untuk membangkitkan semangat cinta kepada negara dan memperingati perjuangan pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan.

Dalam hal ini, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, menggerakkan pasukan serta rakan strategiknya dalam Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) untuk menterjemahkan makna sambutan program ini.

Penganjuran acara ini menandakan permulaan penting kepada pelaksanaan program dan aktiviti kenegaraan yang menyemai semangat patriotisme dalam jiwa anak bangsa di seluruh pelosok tanah air. Inilah yang menjadi teras utama JAPEN dalam usaha memperluas penyebaran maklumat kenegaraan demi memperkukuh semangat patriotisme dan jati diri rakyat.

Lokasi sambutan juga berlainan negeri pada setiap tahun sebagai manifestasi hubungan harmoni antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri selain turut memberi pengalaman serta peluang kepada rakyat setempat untuk terlibat dalam menjayakan program berskala besar ini. 

Bertempat di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 diadakan pada 25 hingga 27 Julai, lalu. Majlis ini disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Pada hari itu, diadakan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 yang membabitkan aset pengangkutan darat dan air daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), JAPEN, Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, jabatan dan agensi kerajaan negeri Johor, Kelab Permotoran BMW K16 Johor dan lain-lain.

Selari dengan tema sambutan HKHM 2025, ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’, pelbagai program dan aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung. Antaranya Karnival Kita Madani yang membawakan Jualan Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani, Jualan Kasih Johor, diskaun saman trafik sehingga 30 peratus, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma,. Perkhidmatan kerajaan ini dibawakan terus kepada rakyat. 

Turut diadakan ialah Permukiman Komuniti Madani yang menghimpunkan 2,300 ahli dari seluruh negara. 

Komuniti Madani merupakan penggerak komunikasi khususnya dalam menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar negara serta mengumpulkan maklum balas rakyat, selain bertanggungjawab memupuk nilai-nilai murni dan perpaduan di peringkat komuniti. 

Tidak hanyamenumpukan kepada sesi percambahan minda, khidmat melalui program Bakti Komuniti Madani akan diberikan ke kawasan yang ditetapkan.-UTUSAN

 

 PENULIS ialah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN