MALAYSIA komited dengan pemuliharaan Harimau Malaya yang populasinya terus kurang dengan drastik di habitat liar.
Antara sebab-sebab pengurangan populasi yang dikenal pasti adalah aktiviti pemburuan haram, perdagangan organ-organ berasaskan harimau, pengurangan habitat, keadaan ekologi yang tidak seimbang seperti nisbah mangsa dan pemangsa, kemalangan jalan raya serta konflik dengan manusia.
Komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan Harimau Malaya sudah lama melalui pelbagai inisiatif termasuk mewartakan kawasan hutan simpan seperti Taman Negara, Taman Negeri dan koridor ekologi.
Komitmen diperkasakan lagi selepas persidangan di St. Petersburg, Russia pada 21 hingga 24 November 2010, dengan ketua-ketua negara Bangladesh, Bhutan, Cambodia, China, India, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Russia, Thailand dan Vietnam bersama-sama bersetuju memulihara harimau di habitat liar.
Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) merupakan subspesies penting yang hanya ada di Semenanjung Tanah Melayu.
Harimau Malaya sebagai pemangsa utama boleh menjadi petunjuk penting kepada kesihatan ekosistem hutan. Kehilangan harimau di habitat semula jadi akan menjadikan keadaan ekologi yang tidak stabil dan memberikan kesan langsung kepada kepelbagaian biologi.
Berasaskan sumbangan haiwan pemangsa ini kepada kesihatan planet, semua negara peserta pemuliharaan harimau belang dalam persidangan di St. Petersburg 2010, bersetuju menggandakan populasi harimau di habitat liar menjelang 2022.
Usaha pemuliharaan Harimau Malaya yang unik di Semenanjung Tanah Melayu melibatkan semua pihak, termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan orang awam.
Harimau Malaya yang menjadi simbol kebanggaan nasional dan kini sangat terancam memerlukan perhatian seluruh rakyat Malaysia. Inisiatif kerajaan melalui Projek Harimau Malaya bertujuan melindungi dan memulihara haiwan berkenaan mesti mendapat sokongan semua pihak.
Pelbagai inisiatif kerajaan melibatkan sektor swasta dan awam untuk pemuliharaan Harimau Malaya yang berkesan diumumkan setiap tahun sempena Sambutan Hari Harimau Antarabangsa pada setiap 29 Julai.
Berasaskan perjanjian pada 2010 di St. Petersburg, Malaysia gagal untuk menggandakan bilangan Harimau Malaya pada 2022.
Pada 2010, bilangan harimau dianggarkan sebanyak 500 ekor. Bilangan Harimau Malaya dilaporkan berkurangan sejak 1950-an yang dianggarkan sebanyak 3,000 ekor. Tinjauan dilakukan antara 2010 dan 2013 menunjukkan bilangan Harimau Malaya terus berkurangan kepada antara 250 dan 340 ekor. Terkini dikatakan populasi Harimau Malaya hanya tinggal 150 ekor sahaja.
Bilangan ini kritikal dan membimbangkan walaupun populasinya tersebar luas dalam hutan-hutan di Pahang, Perak, Johor, Terengganu dan Kelantan.
KERJASAMA ANTARABANGSA
Pengisytiharan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah seluas 134,183 hektar di Pahang dan Penubuhan Pusat Konservasi Harimau Malaya di Lanchang merupakan inisiatif baharu dalam kesungguhan kerajaan memulihara Harimau Malaya. Kerjasama strategik antara Pahang dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) untuk melindungi Harimau Malaya merupakan usaha yang baik.
Kerjasama antarabangsa seperti ini juga dibincangkan sejak hampir 15 tahun dahulu dalam persidangan 13 negara yang mempunyai harimau. Kerjasama Pahang dan UAE terhadap kelestarian alam sekitar, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha global melindungi hidupan liar yang semakin terancam.
Selain penguatkuasaan undang-undang, penyediaan polisi, organisasi yang mantap serta infrastruktur sesuai, aspek pendidikan dan penyelidikan turut memainkan peranan sangat penting.
Negara memerlukan ramai bakat baharu dan pakar berkaitan harimau. Untuk mendapat seorang bakat baharu yang boleh berfungsi dengan baik dalam pemuliharaan harimau secara menyeluruh memerlukan masa tiga hingga lima tahun. Latihan bakat baharu perlu berterusan memandangkan program pemuliharaan harimau adalah untuk jangka panjang. Peruntukan kewangan yang cukup juga perlu disediakan untuk membangunkan bakat dalam penyelidikan dan pendidikan.
Dalam memperkasakan bakat dan kepakaran berkaitan pemuliharaan harimau, perlu beri fokus kepada perlindungan, pemuliharaan dan pemulihan habitat, memerangi aktiviti penebangan hutan secara haram, ekologi, kelakuan, makanan serta pembiakan harimau. Juga perlu fokus terhadap mengurangkan konflik manusia-harimau, memerangi pemburuan dan permerdagangan haram serta mempromosikan pemuliharaan berasaskan komuniti.
Dengan kepakaran dan tumpuan kepada bidang-bidang berkenaan harapan untuk menambah populasi harimau lebih meyakinkan. Penggunaan teknologi terkini yang sistematik dalam penyelidikan, pendidikan dan kesedaran awam sangat penting.
Pendekatan Sambutan Hari Harimau Antarabangsa tahun ini perlu berbeza dengan fokus kepada kesedaran awam dan sokongan. Komitmen yang lebih dalam penyelidikan, pendidikan serta kerjasama antarabangsa dan pihak korporat penting disamping meneruskan secara efektif usaha pemantauan mahupun pemuliharaan.
Isu pengetahuan tentang perubahan iklim, genetik populasi, penyakit, pencemaran dan penggunaan serta pemulihan habitat perlu ditambah baik.
Peranan pemangsa dan mangsa perlu difahami dengan lebih luas. kekurangan haiwan mangsa seperti babi hutan, rusa, kijang dan pelanduk perlu diuruskan di habitat semula jadi dengan berkesan.
Penyelidikan berkualiti tinggi penting untuk menyediakan asas sains bagi pemuliharaan harimau yang berkesan. Dengan pengetahuan asas sains yang tinggi, dapat membantu pihak bertanggungjawab membuat strategi dan keputusan tepat dalam pemuliharaan Harimau Malaya.
Melalui kajian saintifik yang berterusan akan menjanjikan kemandirian Harimau Malaya serta kepelbagaian biologi dan ekosistem amnya.
Program pendidikan dan kesedaran awam memerlukan pendekatan baharu. Latihan berkaitan anti pemburuan haram perlu lebih meluas melibatkan penduduk tempatan, peringkat sekolah dan dewasa dengan menggunakan kaedah terbaik serta berkesan termasuk teknologi komunikasi yang cekap.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










