RMK13 perlu jadi nafas baharu bangunkan ekonomi negara

RMK13 perlu jadi nafas baharu bangunkan ekonomi negara

RMK13 bukan sahaja perlu menjadi pelan tindakan ekonomi, tetapi juga perlu mencerminkan harapan rakyat untuk hidup dalam negara yang maju, adil, sejahtera dan mampan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangka dasar pembangunan Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang, dari 2026 hingga 2030. RMK13 merupakan pelan terakhir dalam kerangka untuk melonjak Malaysia sebagai status negara maju berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan.

Dalam ekonomi global yang semakin kompetitif dan cabaran domestik seperti ketidaksamarataan pendapatan, perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan dan tekanan geopolitik serantau, RMK13 perlu memberi tumpuan khusus kepada transformasi ekonomi secara menyeluruh untuk meningkatkan daya saing negara.

Pelaksanaan dasar-dasar seperti Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) telah menyediakan landasan yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Transformasi Ekonomi
Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada sektor tradisional dan kos buruh rendah serta beralih kepada sektor-sektor baharu yang berteraskan pengetahuan, inovasi dan teknologi. Ini termasuk memperkukuh sektor ekonomi digital, bioteknologi, aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.

Dalam tempoh RMK13, transformasi ini mestilah menekankan pembangunan rantaian nilai tempatan agar penglibatan syarikat tempatan dan PKS dalam ekosistem ekonomi negara lebih meluas. Penyertaan dalam industri berteknologi tinggi bukan sahaja menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi tetapi turut membantu Malaysia menjadi destinasi pelaburan utama di rantau ASEAN.

Daya Saing Negara
Malaysia masih berada di kedudukan yang kompetitif, namun memerlukan pembaharuan struktur yang lebih agresif bagi mengukuhkan kelebihan daya saing.

Oleh itu, RMK13 perlu mempercepatkan pembaharuan struktur ekonomi termasuk memperkukuh sistem pendidikan dan latihan kemahiran, memperbaiki kecekapan pasaran buruh, serta menambah baik infrastruktur digital dan logistik. Pelaksanaan dasar fiskal yang mampan dan persekitaran perniagaan yang mesra pelabur juga perlu diutamakan.

Ekonomi Bernilai Tinggi dan Inovatif
Malaysia perlu memberi penekanan kepada pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), menggalakkan pemindahan teknologi serta menyokong ekosistem pemula dan inovasi sosial. Di sinilah RMK13 perlu memperuntukkan perbelanjaan pembangunan yang lebih strategik untuk memupuk ekosistem ekonomi berasaskan pengetahuan.

Sebagai contoh, insentif fiskal kepada syarikat yang melabur dalam automasi dan kecerdasan buatan (AI) harus diperluaskan, manakala kerjasama antara universiti, industri dan kerajaan perlu diperhebat. Malaysia juga perlu memanfaatkan sepenuhnya potensi Ekonomi Digital yang dijangka menyumbang lebih RM300 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Justeru, pelaburan dalam infrastruktur digital dan keselamatan siber merupakan keperluan mendesak.

Tenaga Kerja
RMK13 perlu memberi penekanan kepada pembangunan tenaga kerja masa depan melalui reformasi sistem pendidikan dan latihan kemahiran. Penekanan kepada Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kemahiran digital harus dipertingkatkan bagi memastikan graduan mampu memenuhi keperluan industri yang berubah.

Kerajaan juga perlu menggalakkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan memperluas akses kepada pembelajaran dalam talian serta pensijilan profesional. Malaysia memerlukan bakat yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal, tetapi juga mempunyai kemahiran insaniah, pemikiran kritikal, dan keupayaan menyelesaikan masalah kompleks – ciri penting dalam ekonomi moden.

Sektor Swasta dan PKS
RMK13 perlu merangka dasar dan insentif yang dapat merangsang pelaburan swasta dan memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar mereka mampu bersaing di pasaran global.

Sokongan kepada PKS haruslah merangkumi akses kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti, digitalisasi serta integrasi ke dalam rantaian nilai global. Kerajaan boleh memperluas program seperti Geran Padanan Digitalisasi, Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan serta Bantuan

Automasi Industri agar PKS tidak ketinggalan dalam arus transformasi.

Keseimbangan Pembangunan
Pembangunan yang tertumpu di Lembah Klang sahaja tidak dapat menjamin kemakmuran jangka panjang sekiranya negeri-negeri lain seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak terus ketinggalan. Oleh itu, perlu ada pendekatan pembangunan berasaskan potensi setempat bagi merancakkan aktiviti ekonomi di luar bandar.

Sebagai contoh, Sabah dan Sarawak mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, agrikomoditi dan tenaga boleh baharu. RMK13 perlu mempercepat pembangunan infrastruktur asas, capaian internet berkelajuan tinggi, serta sistem logistik yang lebih cekap di kawasan luar bandar agar peluang ekonomi dapat dikembangkan secara inklusif.

Alam Sekitar
Malaysia perlu mempercepat peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan menstruktur semula insentif subsidi tenaga agar lebih efisien.

Pelaksanaan konsep ekonomi sirkular dan penggunaan sumber yang bertanggungjawab harus digalakkan dalam industri pembinaan, pembuatan dan pertanian. Penanaman semula hutan, pemuliharaan ekosistem dan pengurusan air yang lestari perlu dijadikan agenda utama, bukan sahaja untuk melindungi alam sekitar tetapi juga untuk memastikan kelangsungan sumber ekonomi masa depan.

Tadbir Urus
RMK13 perlu menjadi titik tolak kepada pelaksanaan reformasi institusi secara menyeluruh. Ini termasuk memperkukuh ketelusan dalam perolehan awam, meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan, dan memperluas penggunaan digital dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Peningkatan kepercayaan rakyat dan pelabur kepada institusi kerajaan amat penting bagi menjamin kestabilan politik dan ekonomi. Oleh itu, agenda anti-rasuah, reformasi fiskal dan penyusunan semula subsidi perlu dilakukan dengan penuh integriti, keberanian dan ketelusan.

RMK13 merupakan peluang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang kompetitif, progresif dan inklusif. Dalam menghadapi realiti ekonomi global yang pantas berubah, transformasi ekonomi adalah keperluan yang tidak boleh ditangguhkan lagi.

Malaysia perlu berani melakukan pembaharuan struktur, memanfaatkan sepenuhnya kekuatan domestik, membina ekosistem inovasi dan memperkukuh daya saing nasional.

Tumpuan kepada pembangunan ekonomi bernilai tinggi, pembangunan bakat, digitalisasi, kelestarian alam dan tadbir urus berintegriti adalah asas kepada daya saing masa depan. RMK13 bukan sahaja perlu menjadi pelan tindakan ekonomi, tetapi juga perlu mencerminkan harapan rakyat untuk hidup dalam negara yang maju, adil, sejahtera dan mampan. Transformasi ekonomi yang berpaksikan rakyat akan menjadikan Malaysia bukan sahaja lebih berdaya saing, tetapi juga lebih dihormati di persada dunia. – UTUSAN

PROFESOR Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN