Penderaan secara psikologi: Keganasan emosi yang senyap

Penderaan secara psikologi: Keganasan emosi yang senyap

LEBIH membimbangkan, laporan terbaru menunjukkan 51 peratus rakyat Malaysia kini berisiko tinggi mengalami cabaran kesihatan mental.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANUSIA, makhluk ciptaan-Nya yang paling sempurna dan kreativiti yang ada pada manusia mempengaruhinya memiliki pelbagai nuansa pro dan kontra. Pada setiap satunya, sudah tentu mengandungi pelajaran dan pendidikan yang wajar kita mengertikan atau fikirkan dengan signifikan untuk kemajuan manusia secara lahiriah dan batiniah.

Manusia dalam pelbagai liku kehidupannya mendepani hal yang boleh mencabar kebijaksanaan diri dalam berfikir yang akan mempengaruhi psikologi dan tingkah laku. Manusia, segolongannya pula melalui fasa yang mencabar tingkat kebijaksanaannya yang boleh menyebabkannya tidak dapat mengawal akal dan emosi dalam situasi tertentu. Manakala segolongan yang lain pula dapat melewati fasa tersebut dengan mengambil kira pendekatan kepercayaan, kerohanian, budaya dan juga sokongan orang terdekat.

Bersumberkan laman Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia (2019), bahawa psikologi ialah kajian tentang akal manusia berserta fungsi dan pengaruhnya yang pelbagai. Psikologi juga akan membawa kita memahami bagaimana fenomena keinsanan seiring dengan emosi, personaliti, kecerdasan, ingatan, persepsi, kognisi, perhatian, motivasi manusia serta proses fitrah (biologi) yang mendorong fungsi dan tingkah laku manusia.

Kehidupan serba kompleks dan mencabar era kini, menjelmakan kita impak yang menggugat psikologi keinsanan dalam kalangan kita. Dari buli siber, keganasan rumah tangga, eksploitasi insan dan lain-lain, masyarakat mengalami pelbagai perkara yang menjejaskan keinsanan mereka. Marilah kita sama-sama meneliti dan cakna akan perkara ini agar kita bersama-sama bertanggungjawab dalam membina masyarakat madani yang cerdas dan cemerlang.

Kita sering mengaitkan keganasan dengan kesan fizikal seperti lebam, luka atau jeritan. Namun, ada satu bentuk penderaan yang lebih senyap, tidak kelihatan, tetapi meninggalkan kesan mendalam iaitu keganasan emosi yang senyap, atau cold violence.

Keganasan ini berlaku apabila seseorang dipulau, didiamkan atau diabaikan secara sengaja tanpa sebarang sentuhan fizikal atau kata-kata kesat. Ia sering berlaku dalam hubungan rapat seperti dengan pasangan, keluarga atau rakan sekerja. Mangsa dibiarkan keseorangan dalam sunyi yang menyakitkan, seolah-olah kewujudannya tidak penting.

Pelaku sering menggunakan bahasa yang menyemai rasa bersalah, keliru dan mangsa dipengaruhi sebagai seseorang yang tidak cukup baik, sentiasa menjadikan dirinya dibelenggu kelemahan demi kelemahan. Ini menyebabkan mangsa mempersoalkan kewarasan dan harga diri sendiri. Dalam jangka panjang, mangsa boleh mengalami kemurungan, kecemasan, dan kehilangan identiti emosi. Bukan sahaja bahasa tubuh yang memainkan peranan dalam keganasan senyap ini, tetapi juga termasuk tutur kata. Bersama-sama kita menilai semula peranan bahasa dalam komunikasi.

Bahasa yang mendiamkan, memulau atau memperlekeh adalah bentuk keganasan yang mesti kita fahami dan bagaimana caranya untuk kita hentikan. Pendidikan awam perlu menekankan literasi emosi, supaya kita bukan sahaja bercakap dengan sopan, tetapi juga dengan empati. “Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu.”

Luka paling parah adalah yang tidak kelihatan yang dibina oleh kata-kata, disenyapkan oleh diam. Ahli falsafah, Jean-Paul Sartre pernah menegaskan bahawa manusia membina makna hidup melalui pandangan dan interaksi dengan orang lain. Apabila seseorang diasingkan secara emosi, maknanya juga mula pudar. Ia meruntuhkan harga diri, kestabilan emosi dan semangat hidup perlahan, dalam diam.

Antara bentuknya termasuk mendiamkan diri sebagai hukuman (silent treatment), menanam keraguan atau menimbulkan perasaan ragu-ragu dalam diri seseorang atau istilahnya perdayaan mental (gaslighting) untuk menafikan emosi mangsa, serta sindiran halus yang bertujuan menyakitkan maruah. Bentuk komunikasi toksik sebegini wujud dan akan merosakkan kestabilan emosi dan kesihatan mental seseorang.

Ramai tidak menyedari bahawa bahasa yang digunakan secara manipulatif boleh menghancurkan keyakinan dan identiti seseorang, lebih dalam daripada luka fizikal. Budaya kita yang kaya membentuk kita bertutur sopan, tetapi belum cukup diajar untuk berbahasa dengan empati. Literasi emosi perlu diperkasakan agar masyarakat tahu membezakan antara komunikasi sihat dan penderaan terselindung.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati 5.9 peratus wanita di Malaysia pernah mengalami penderaan emosi, manakala satu daripada lima orang wanita dikawal tingkah lakunya oleh pasangan. Bagi remaja, 22.1 peratus pelajar sekolah menengah di Selangor turut melaporkan pengalaman penderaan emosi. Lebih membimbangkan, laporan Naluri Asia (2024) menunjukkan 51 peratus rakyat Malaysia kini berisiko tinggi mengalami cabaran kesihatan mental. Hanya 20 peratus daripada penghidap mendapatkan rawatan profesional. Stigma, kekurangan akses dan kurang kesedaran masih menjadi penghalang utama.

Keganasan emosi tidak boleh terus disenyapkan. Ia wajar diangkat sebagai isu kesihatan awam yang serius. Kita perlukan pendidikan kesedaran, dasar perlindungan, serta sistem sokongan emosi yang mudah dicapai oleh semua lapisan masyarakat. Keprihatinan terhadap penderaan emosi ini bukan sekadar menyelamatkan jiwa, tetapi memulihkan maruah yang telah lama dipendam dalam diam.

Segolongan yang terjejas ini perlu dibantu kerana mereka berhak meniti kehidupan mereka dengan citra positif dan dihargai. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat contohnya menyediakan Talian Kasih 15999 yang boleh dijadikan langkah awal membendung segala konflik yang dialami. Talian prihatin masyarakat ini boleh diakses orang awam melalui dua saluran iaitu talian bebas tol dan melalui aplikasi WhatsApp 019-2615999.

Anda tidak keseorangan melalui segala kesulitan yang anda hadapi, percayalah cahaya akan pasti menjelma di hujungnya. Sayangi diri anda, tingkatkan keyakinan, dalam setiap kesulitan pasti ada kemudahan. Malaysia Madani tinggi akal budi! – UTUSAN

PROFESOR Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN