DALAM usaha Malaysia menjadi negara maju yang inklusif dan berdaya saing, enam teras utama nilai madani telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri: Kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan. Nilai-nilai ini bukanlah perkara baharu, malah telah diterapkan oleh pentadbiran terdahulu. Namun, dalam dunia digitasi dan digitalisasi yang semakin pesat, di manakah letaknya nilai-nilai madani ini?
Digitasi merujuk kepada proses pengautomasian tugasan harian menggunakan teknologi, manakala digitalisasi pula ialah penukaran keseluruhan proses kerja kepada sistem teknologi. Berdasarkan takrif ini, bagaimana nilai madani dapat terus disematkan dalam transformasi teknologi ini?
Perubahan teknologi dunia memerlukan nilai daya cipta untuk memastikan kelestarian sistem yang mampan, keyakinan dalam penggunaan teknologi agar dapat mensejahterakan rakyat, serta penerapan nilai ihsan dan hormat agar tiada pelanggaran terhadap hak individu.
Sebenarnya, nilai-nilai madani wujud dalam pelbagai aspek pekerjaan harian termasuk dalam dunia digitasi dan digitalisasi. Banyak proses kerja inovatif telah dibangunkan oleh kerajaan demi memastikan kemampanan negara dalam era digital. Sebagai contoh, penggunaan sistem seperti Enterprise Resource Planning (ERP), Pengurusan Perhubungan Pelanggan (CRM), dan kaedah perbankan tanpa tunai telah banyak menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
Sebagai perbandingan, Pelan Tindakan Digital di Singapura telah berjaya mengintegrasikan nilai-nilai Asia dengan teknologi melalui pendekatan Citizens First dalam reka bentuk perkhidmatan. Singapura turut melabur besar dalam pembangunan keupayaan tempatan melalui sistem maklum balas yang sistematik antara rakyat dan kerajaan.
Estonia pula membangunkan model Masyarakat Digital Estonia, membuktikan bagaimana negara kecil boleh menjadi kuasa digital. Hari ini, 99 peratus perkhidmatan awam di Estonia tersedia dalam talian, dengan sistem identiti digital yang menyeluruh serta budaya kepercayaan digital yang tinggi dengan 89 peratus rakyatnya menggunakan perkhidmatan digital kerajaan.
Kecerdasan buatan (AI) melalui aplikasi seperti analisis data, internet pelbagai benda (IoT), rantaian blok (blockchain), media sosial, pengkomputeran awan, dan biometrik telah membantu kerajaan beroperasi dengan lebih pantas, telus dan efisien. Sebagai contoh, sistem e-perolehan dan pembayaran tuntutan bagi penjawat awam dan pembekal, yang kini lebih cepat, mudah dan telus sekaligus meningkatkan nilai keyakinan rakyat terhadap kecekapan perkhidmatan kerajaan.
Nilai madani daya cipta membangkitkan kesedaran tentang keperluan kerajaan untuk bergerak ke arah pemodenan menyeluruh proses kerja. Antara inisiatif yang dirancang ialah penggunaan Pusat Data Fizikal dan Awan, yang menyelaras dan menyatukan sistem dalam talian kerajaan kepada satu pusat maklumat yang terurus bagi mengurangkan kebergantungan kepada penyedia perkhidmatan luaran dan meningkatkan keselamatan data. Pemprograman dan pembangunan sistem-sistem rangkaian akhirnya akan memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Nilai kemampanan dapat dilihat dalam konteks latihan dan pembangunan modal insan, teknologi dimanfaatkan melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) yang membolehkan akses pembelajaran secara fleksibel. Platform Integrated Event Management Gateway (IEMG) pula dibangunkan bagi membolehkan penjawat awam memilih dan memohon kursus, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian. Ini memberi kebebasan pembelajaran keperluan individu.
Analisis Keperluan Latihan (TNA) juga dapat dilaksanakan lebih mudah dan efisien apabila data tersedia secara digital. Sumber daya organisasi adalah aset negara yang paling utama dan bagi memastikan negara terus mampan, sumber daya organisasi perlu diperkukuhkan.
Walaupun transformasi digital membawa banyak manfaat, namun cabaran seperti kesenjangan digital dan kebimbangan privasi data perlu ditangani.
Kerajaan mesti memastikan tiada pihak yang tercicir, selari dengan nilai kesejahteraan. Program literasi komputer di luar bandar serta inisiatif Celik Digital harus diteruskan supaya semua lapisan masyarakat dapat mengikuti arus teknologi dan mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi.
Nilai ihsan dan dan hormat madani pula terletak pada etika penggunaan teknologi, terutamanya AI. Pelanggaran dan penyalahgunaan AI semakin menular. Penyuntingan wajah, penyebaran maklumat dan berita palsu kini semakin berleluasa yang boleh membawa kesan dan persepsi buruk kepada masyarakat. Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memantau isu ini dengan serius bagi memastikan rasa hormat dan ihsan sesama masyarakat dapat dipelihara.
Integrasi nilai madani dalam transformasi digitalisasi dan pendigitalan Malaysia bukanlah sekadar retorik, tetapi suatu keperluan pragmatik untuk memastikan pembangunan teknologi yang beretika, telus, adil dan saksama. Nilai-nilai ini bukan sekadar slogan atau fahaman politik, sebaliknya cara hidup yang telah lama wujud dalam budaya kerja dan kehidupan seharian kita.
Kejayaan sebenar transformasi digital Malaysia bukan diukur hanya melalui pencapaian teknologi, tetapi sejauh mana ia meningkatkan kualiti hidup rakyat sambil mempertahankan nilai-nilai murni sedia ada Malaysia.
Teknologi tanpa nilai adalah seperti kapal tanpa kompas mungkin bergerak pantas, tetapi tidak semestinya ke arah yang betul. Masa depan digital Malaysia bergantung pada keupayaan kita untuk menyeimbangkan aspirasi teknologi dengan realiti sosial, memastikan tiada yang tercicir dalam perjalanan transformasi ini. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air; yang lama dikelek, yang baharu didukung. – UTUSAN
AKMAL Ariff Zainul Ariff ialah Timbalan Ketua Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan di INTAN Bukit Kiara.