ISTILAH Napoleon kecil merujuk kepada individu dalam hierarki pertengahan atau rendah yang bertindak seperti diktator. Walaupun kuasa sebenar mereka terhad, mereka bertindak seolah-olah memiliki kuasa mutlak, bahkan kadangkala menjadi pengawal pintu (gatekeeper) yang setiap keputusan penting perlu melalui mereka. Kehadiran mereka umpama virus yang meresap perlahan ke dalam budaya kerja, tidak membunuh segera, tetapi merosakkan dari dalam. Ini mencerminkan krisis integriti, disiplin dan kepimpinan dalam perkhidmatan awam mahupun organisasi swasta.
Asal-usul istilah ini dikaitkan dengan Napoleon Bonaparte, maharaja Perancis yang terkenal dalam abad ke-18, seorang yang angkuh dan gemar menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. Apabila seseorang dipanggil Napoleon kecil, ia bermaksud mereka adalah ‘diktator kecil’ dalam organisasi, campur tangan dalam keputusan tanpa persetujuan pihak atasan dan sering menegaskan kuasa palsu mereka.
Ini memberi kesan langsung kepada prestasi organisasi. Individu yang menonjolkan diri seolah memiliki kuasa besar dan mengawal setiap aspek kerja, walaupun hakikatnya kuasa mereka terhad, menyebabkan warga organisasi merasa tertekan. Tekanan ini menjejaskan motivasi kerja, meningkatkan stres dan akhirnya menurunkan prestasi keseluruhan.
Reputasi organisasi turut terjejas. Apabila warga atau orang awam mengalami kuasa berlebihan Napoleon kecil, mereka cenderung mengingati pengalaman buruk dan hilang keyakinan terhadap keupayaan organisasi melaksanakan fungsi secara telus dan berkesan.
Jika dibiarkan, sikap ini boleh berkembang menjadi budaya di mana kuasa kecil memberi pengaruh besar, merendahkan integriti dan menyukarkan perkhidmatan mesra rakyat.
Penyelesaian memerlukan pendekatan agresif dan bersepadu. Pertama, organisasi perlu meningkatkan pemantauan dan akauntabiliti untuk mencegah penyalahgunaan kuasa.
Latihan pembangunan kerjaya dan etika kerja harus disediakan bagi membina kesedaran mengenai tanggungjawab sebenar jawatan.
Kedua, budaya inklusif dan saling menghormati mesti diperkukuh. Setiap warga organisasi, tanpa mengira hierarki memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju dan kejayaan organisasi.
Ketiga, latihan kepimpinan beretika dan profesionalisme harus menjadi asas pembangunan sumber manusia.
Kuasa kecil yang disalahgunakan boleh meruntuhkan rasa hormat, menggugat motivasi dan mengekang bakat besar daripada berkembang.
Dalam organisasi, dominasi sementara Napoleon kecil menimbulkan budaya ketakutan, prestasi merosot, dan hilangnya arah.
Oleh itu, kita perlu menyingkap realiti ini demi menegakkan integriti, membangunkan budaya kerja berasaskan empati dan mengembalikan kuasa sebenar kepada amanah, bukannya keegoan.
Organisasi yang maju bukan dibina oleh mereka yang suka menunjuk kuasa tetapi oleh mereka yang berjiwa besar, ikhlas dan meletakkan kepentingan kerja berpasukan di atas kepentingan peribadi.
Dengan tindakan ini, Napoleon kecil dapat dilemahkan dan organisasi serta warga di dalamnya benar-benar ‘merdeka’ dari cengkaman kuasa palsu. – UTUSAN
PROFESOR DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
Dekan, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan(UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










