AKHIR-AKHIR ini, rakyat Malaysia semakin resah dengan berita kes bunuh yang berlaku hampir setiap minggu. Lebih memilukan apabila pelakunya terdiri daripada remaja, pelajar sekolah, malah kadangkala ahli keluarga sendiri.
Apakah yang sedang berlaku kepada nilai kemanusiaan? Mengapa seolah kehilangan empati dan sanggup mengakhiri nyawa orang lain hanya kerana perselisihan kecil?
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), purata lima kes bunuh dilaporkan setiap minggu sepanjang 2023, manakala Jabatan Perangkaan Malaysia mencatat peningkatan daripada 240 kes pada 2022 kepada 258 kes pada 2023. Walaupun angka ini kecil berbanding populasi 30 juta, setiap satu mewakili nyawa yang hilang, keluarga yang hancur dan masyarakat yang trauma.
Punca gejala ini pelbagai daripada tekanan sosial, ekonomi dan psikologi, kos sara hidup yang tinggi, konflik keluarga, pengabaian emosi, buli serta pengaruh media sosial yang memaparkan keganasan sebagai sesuatu yang biasa.
Sistem pendidikan yang menekankan kecemerlangan akademik tetapi kurang memberi perhatian kepada pembangunan sahsiah dan kemahiran emosi turut menyumbang. Remaja tahu mengejar markah A tetapi tidak belajar sabar, empati atau cara menangani kemarahan.
Persekitaran sosial juga menyumbang kepada normalisasi kekasaran. Budaya memaki, mencaci dan menyelesaikan masalah dengan kekerasan menjadi norma dalam media maya mahupun dunia sebenar.
Anak-anak yang sering menyaksikan konflik orang dewasa akan menganggap keganasan sebagai penyelesaian. Jika sistem sokongan emosi dan kesedaran mental masyarakat diperkuat, banyak nyawa dapat diselamatkan.
Keluarga harus menjadi benteng pertama nilai kemanusiaan, mendidik anak bahawa nyawa adalah anugerah Tuhan.
Pendidikan moral, agama dan kemahiran sosial perlu diintegrasikan dalam sekolah. Kaunseling perlu diperkukuh di sekolah, kolej dan universiti serta melatih kaunselor mengesan tanda awal risiko kekerasan.
Di peringkat masyarakat, peduli dan prihatin harus dikembalikan. Jangan tunggu tragedi berlaku sebaliknya hulurkan bantuan kepada jiran atau rakan yang menunjukkan tanda tekanan emosi.
Pencegahan dan pendidikan akhlak lebih penting daripada hukuman semata-mata.
Kes bunuh yang semakin berleluasa adalah cerminan hilangnya empati dan kasih sayang dalam masyarakat. Setiap nyawa yang hilang adalah peringatan yang kita semua bertanggungjawab memulihkan nurani bangsa.
Malaysia mesti menjadi negara yang mendidik sebelum tragedi berlaku, bukan hanya bersimpati selepas darah tertumpah. – UTUSAN
MUHAMMAD AHMADINEJAD BAHARUDIN
SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong, Johor










