“KETIKA bangsa tersilap tanggapan bahawa dirinya telah begitu ke hadapan dalam era modenisasi dan globalisasi, ada baiknya diingatkan untuk mereka kembali ke pangkal jalan dan pesanan orang tua-tua, ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.’ Bangsa jangan hendaknya hilang kearifan, menjadi pandir, hingga terlihat mencari bayang ketika malam, menyalakan pelita ketika rembang, berakhir dengan senario ‘menang sorak kampung tergadai’.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Titah Sultan Nazrin ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) Ke-73 kedengaran lantang dan pedas tanpa berselindung. Di sebalik titah ini, tergambar seribu satu kebimbangan, bukan sahaja oleh baginda-baginda sultan sebagai ketua agama Islam di peringkat negeri-negeri, tetapi lebih jelas kerungsingan rakyat juga. Persoalan yang wajar diperhalusi kini: Adakah benar orang Melayu Islam itu sudah menjadi pandir?
Dalam tradisi Melayu, menjadi orang Melayu itu adalah mengamalkan seni majlis agar apa yang dikerjakan membuahkan manfaat kepada orang ramai. Maka orang Melayu harus kemas, cantik dan elok pada sifatnya. Apabila Melayu dipasakkan kepada Islam sebagai jati diri, amalan seni itu menjadi lebih elok lagi, bukan hanya majlis tetapi berpendirian kerana orang Melayu yang beragama Islam kenal akan baik dan jahat dalam perilaku seharian.
Persona Melayu Islam itu dididik sebagai seorang yang berwatak santun yakni mempunyai adab dan halus budi pekerti. Itulah yang diajarkan dalam tradisi Melayu Islam yang kekal sebagai bangsa tinggi toleransi dan kuat menundukkan nafsu diri. Dukacita sekali, setelah berpuluh tahun orang Melayu mentadbir negara ini, semakin banyak yang porak daripada yang rapi.
Tanah Rizab Melayu sudah berelung-relung terjual kepada kapitalis, adat budaya sudah tidak dikenal anak muda, bahasa Melayu dan agama diperlekehkan saban hari tanpa rasa malu. Tetapi dek kerana pucuk kepimpinan masih dihuni persona-persona Melayu Islam, maka kita bersorak dalam pada kampung sudah lama tergadai.
Gadaian ini sudah jelas. Bukan sahaja ramai orang Melayu Islam tidak segan membuat onar, malah ada yang angkuh mencabar setiap satu garisan sempadan yang dilukis bagi mengekang yang jahat daripada menyentuh yang baik. Maka tidak pelik apabila ada kes rasuah melibatkan majlis-majlis agama di peringkat negeri.
Misalnya, awal 2025 membuka tirai dengan penyaksian seorang pegawai di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) direman tujuh hari selepas dipercayai menerima suapan berjumlah lebih RM13,000.
Saya pasti insiden sebegini bukan terpencil. Tahun lalu, tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), imam sebuah masjid di Kangar bersama anak lelakinya, direman bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan RM1.183 juta untuk menguruskan pendaftaran pernikahan di Perlis.
Majlis agama yang sepatutnya menjadi wadah pemerkasaan umat Islam, kini tiada beza dengan organisasi lain, habuan untuk mengenyangkan tembolok masing-masing. Tidak peduli wang yang menjana majlis agama adalah wang zakat, amanah antara pemberi dan penerima yang dijalin dengan nama Allah.
Apabila ‘orang agama’ sendiri kalah dengan nafsu dunia, apa yang boleh diharapkan dengan rakyat jelata? Hasilnya, agama dilihat sebagai alat permainan berpolitik semata-mata. Sehinggakan fatwa digelar pendapat sahaja, diheret ke pintu mahkamah untuk dicabar. Perintah mahkamah syariah juga dianggap hal enteng yang boleh dikorek, dibedah dan diuji keabsahan. Tiada satu pun yang suci daripada cabaran. Yang paling menjengkelkan, cabaran-cabaran ini datang daripada orang Islam sendiri.
Orang Melayu bayar cukai di samping orang Islam membayar zakat. Sayangnya, anak orang Melayu Islam makin ramai yang membesar untuk menjadi Pak Pandir dan Mak Andeh semata-mata. Duit yang mengalir tidak membina pendidikan yang holistik. Maka, anak-anak Melayu Islam diajarkan bahasa yang nil adab kerana lebih global sehinggakan bahasa pertuturan yang diajar ibu bapa Melayu Islam ini menyaksikan pelbagai insiden biadab dengan bangga diwar-warkan di media sosial.
Jika dulu, seni majlis diterapkan sehinggakan timbul rasa malu yang tinggi menjadi pemisah antara yang muda dan yang tua, antara lelaki dan perempuan.
Namun kerana mengemis arus kemodenan, kini Melayu diajar kononnya semua orang sama rata dan nilai manusia hanya pada merit. Ajaran ini diulang-ulang dengan harapan orang Melayu nanti maju. Malangnya, yang kita dapat hanyalah orang muda tidak malu menghalau yang tua dari surau tempat si tua berbicara dengan Tuhannya sendirian.
Masyarakat Melayu Islam sudah lama mengejar bayang sendiri di pekat malam yang paling gelap. Kita dimomokkan kononnya bangsa lain akan mencabar seni majlis orang Melayu sehingga nanti kita tidak lagi perlu menundukkan nafsu diri dan harus melakukan amuk untuk membuktikan nilai bangsa.
Yang jahat itu bangsa-bangsa lain yang menjarah tanah ini.
Mungkin kita perlu diingatkan: Bukan bangsa lain yang curi duit zakat dan bukan agama lain yang cabar fatwa mufti. Golongan yang masih segan dengan tradisi Melayu dan didikan Islam perlu bangkit dan berhenti menjadi Pak Pandir dan Mak Andeh yang menghalalkan semua perilaku jelik dalam bangsa kita sendiri. Kalau tidak malu dengan jati diri bangsa, malulah dengan anak-anak yang melihat kelakuan kita. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang.










