PADA 8 hingga 9 Julai lalu, saya bersama Hafiz Hisan, 39, menyewa sebuah rumah kampung yang dijadikan inap desa di Bota Kiri, Perak. Juruterbang komersial itu berasal dari sana dan kini menetap di Ipoh menjadi pemandu pelancong kepada saya.
Selain melawat beberapa tempat untuk menikmati ciri-ciri tradisional yang masih kekal dan menikmati masakan kampung, kami juga mengunjungi Hamil Don (Achik Amin) dan Kartiniwati Shaari (Achik Itam).
Achik Itam merupakan sepupu kepada emak Hafiz, di mana emak kedua-dua wanita itu adalah adik-beradik.
Selepas puas menikmati rambutan dari pokok di depan rumah, saya dan Hafiz duduk berbual dengan Achik Itam. Apabila diminta berkongsi cerita-cerita lama, dia pada mulanya mengatakan tiada apa-apa yang menarik.
Maka, saya bertanya tentang pelbagai barangan antik yang dijadikan hiasan.
Serta-merta dia teruja untuk berkongsi cerita tentang barang-barang tembaga yang merupakan harta pusaka daripada moyang.
“Tidak tahulah berapa tahun usianya. Selepas mak cik berkahwin, emak memberi sebahagian daripadanya sebagai hadiah kenang-kenangan dan barang perhiasan di rumah,” katanya.
Sambil membelek-belek sebuah tabak atau tetampan yang terletak di atas meja, Achik Itam menceritakan ia digunakan semula apabila anak-anak bertunang.
“Memang menjadi tradisi kami isi tabak ini dengan dodol dan hias bahagian luar dengan kain untuk dijadikan bekas hantaran. Isinya diberi kepada tuan rumah manakala bekas dibawa pulang untuk digunakan semula,” ceritanya dalam bahasa Melayu dialek Perak tengah.
Menurut Achik Itam, di rumah pusaka milik moyangnya dahulu memang ada beberapa almari khas untuk menyimpan dan mempamerkan pelbagai barangan antik Melayu. Kesemuanya turut digunakan khasnya pada majlis pertunangan dan perkahwinan.
“Barangan tembaga lama ini, apabila dicuci, ia terus menjadi berkilat. Berbeza dengan barangan tembaga model sebab ia cepat menjadi hitam walaupun apabila dicuci. Barangan lama juga ada ukiran penuh seni,” katanya sambil menambah koleksi ini akan diwariskan pula kepada anak-anak.
Bercakap tentang rumah pusaka, Achik Itam menceritakan dia memang lahir dan membesar di rumah itu. Malah, selepas berkahwin, dia dan suami terus tinggal di rumah agam berkenaan sebagai sebuah keluarga bersekutu atau gabungan.
“Adik mak cik kumpul duit dan ubah suai rumah pusaka itu supaya menjadi lebih cantik sambil mengekalkan ciri-ciri tradisional pada tiang, tingkap, lantai, bumbung dan sebagainya.
Malangnya, rumah kayu dua lapis itu terbakar dan musnah sepenuhnya dalam kejadian pada 1996,” wanita itu berkongsi cerita.
Saya dan Hafiz memandu sekeliling Bota Kiri untuk melihat pelbagai rumah tradisional Melayu yang masih ada. Tentulah Hafiz terkenang rumah pusaka tempat dia membesar dahulu.
Kebanyakan rumah tradisional yang kami kunjungi masih mengekalkan struktur asal. Misalnya, kami masih nampak papan manis berjurai, kayu tunjuk langit, bendul, bumbung lima dan pasak asal masih ada.
Walau bagaimanapun, pelbagai kerja baik pulih sudah dibuat pada kebanyakan rumah kerana tiang dan dinding mula reput. Bahagian bawah rumah yang secara tradisi dibiarkan kosong, kini sudah dibangunkan dengan dinding batu untuk menambah ruang tamu dan bilik.
“Dulu-dulu, nenek-moyang turun-naik tangga setiap hari tanpa masalah.
Sekarang, ramai yang sakit lutut dan lebih suka tinggal di bilik bawah sebab tak perlu panjat tangga,” kata Tok Manaf, salah seorang warga emas yang kami kunjungi.
Menurut Achik Itam pula, semasa kanak-kanak, beliau bersama adik-beradik, sepupu-sepapat dan kawan-kawan biasanya bermain di halaman dan bahagian bawah rumah yang bertanah.
“Kami korek lubang pada tanah untuk bermain congkak. Di halaman rumah pula dibuat tempat bermain badminton. Tradisi itu diteruskan oleh anak-anak mak cik semasa mereka membesar di rumah pusaka kami. Sedih juga kerana cucu-cicit tidak berpeluang menikmati suasana itu,” katanya penuh nostalgia.
Kami meneliti beberapa album foto lama untuk mendapatkan gambaran tentang rumah pusaka berkenaan. Sayangnya, tidak ada rakaman foto yang menunjukkan sepenuhnya keunikan rumah itu. Achik Itam menunjukkan bahagian dinding, lantai, ukiran tiang dan sebagainya yang kelihatan pada beberapa foto lama.
“Dulu-dulu, rumah pusaka itulah tempat semua saudara mara berkumpul pada hari raya. Sehingga kini, apabila bertemu, kami pasti akan bercerita tentang kenangan lama yang penuh nostalgik. Semua kenangan itu segar dalam ingatan kami tapi sayangnya mungkin tidak dapat dinikmati cucu-cicit sebab tiada foto dan video,” katanya dengan suara tersekat-sekat kerana tidak dapat mengawal kesedihan.
Buat masa ini, masing-masing adik-beradik sudah ada rumah sendiri. Tanah rumah pusaka itu pula diberi kepada abang dan adik. Buat masa ini, tanah berkenaan masih kosong.
“Kalau ada rezeki nanti, mak cik harap akan ada anak-anak saudara atau cucu-cicit yang cuba membangunkan semula rumah mengikut reka bentuk rumah pusaka kami,” ujarnya penuh harapan sambil merujuk Rumah Kutai Bota berusia lebih seratus tahun yang dipindahkan ke Alor Setar, Kedah pada 2020.
Berbalik kepada kenangan sambutan Aidilfitri, Achik Itam berkongsi cerita tentang resepi masakan yang dinanti saudara mara.
“Resepi daging rendang masak hitam diperturunkan daripada moyang kepada opah (nenek) dan emak, serta kemudian kepada mak cik. Sampai sekarang, rendang masak hitam ini menjadi lauk tradisi dalam keluarga. Setiap Aidilfitri, kalau tak masak rendang masak hitam, memang tak sah sebab hampir semua orang mahu rasa,” Achik Itam menceritakan dengan gembira.
Moyang yang bernama Puteh Bandar memang pandai memasak dan membuat kerja menekat serta sulam-menyulam. Bakat memasak, menyulam dan menjahit diwarisi pula oleh anaknya, iaitu nenek kepada Achik Itam.
“Hiasan pelamin semasa mak cik berkahwin dulu juga dibuat oleh opah. Mak cik ada simpan baik-baik sebab sangat berharga. Sayangnya, semua itu juga hangus dalam kebakaran rumah pusaka,” ujarnya.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










