“SEKATAN berterusan dikenakan Israel terhadap kemasukan bantuan ke Gaza berserta serangan ketenteraan tanpa henti boleh dianggap penggunaan kebuluruan sebagai kaedah peperangan yang merupakan jenayah perang.” – Volker Turk, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Serangan ke atas Gaza sejak Oktober 2023 mencatat jumlah korban dan kecederaan yang amat tinggi dan terus meningkat saban hari. Lebih tragik, hampir dua juta penduduk Gaza berdepan ancaman kebuluran dan terperangkap dalam wilayah yang dikepung sepenuhnya oleh rejim Israel.
Sekatan darat, laut dan udara yang dikenakan sejak Jun 2007 bermula dengan pengambilalihan pentadbiran Gaza oleh Hamas, menjerumuskan rakyatnya ke dalam krisis kemanusiaan terburuk abad ini.
Lebih memilukan usaha penduduk Gaza mendapatkan bantuan melalui mekanisme Yayasan Kemanusian Gaza (GHF) yang diselaraskan Amerika Syarikat (AS) serta Israel seolah-olah permainan maut.
Program pengagihan bantuan beroperasi pada 27 Mei lalu dikritik pegawai PBB kerana berpotensi mencetuskan lebih banyak keganasan. Tidak hairanlah rakyat Gaza mengungkap risiko ke pusat bantuan lebih besar berbanding kebuluran itu sendiri.
Setiap langkah menuju pusat pengagihan bantuan berkemungkinan yang terakhir disebabkan mereka terdedah pada serangan udara dan tembakan penembak tepat Israel. Tambah menyedihkan, bantuan makanan yang diterima juga amat tidak mencukupi, menjadikan situasi ini bentuk kezaliman terang-terangan terhadap maruah manusia.
Sikap berdiam diri sebahagian besar pemimpin dunia terhadap kekejaman yang berterusan atas penduduk Gaza amat menjengkelkan. Dalam suasana suram inilah masyarakat awam dari seluruh dunia mula bangkit, bukan dengan senjata tetapi melalui tekad dan semangat untuk memecahkan pengepungan atas Gaza.
Antara simbol kebangkitan dan kesatuan masyarakat dunia demi pembebasan Palestin ialah misi kemanusiaan melalui laut, iaitu Freedom Flotilla. Pada 2008, dua buah bot daripada Free Gaza Movement berjaya sampai ke Gaza, menandakan kejayaan pertama memecahkan sekatan laut Israel. Gerakan yang diasaskan pada 2006 oleh aktivis semasa perang Israel ke atas Lubnan, melancarkan 31 buah bot antara 2008 hingga 2016 dengan lima daripadanya berjaya tiba di Gaza meskipun berhadapan sekatan ketat Israel.
Paling diingati ialah serangan berdarah ke atas kapal Mavi Marmara pada 2010 oleh komando Israel di perairan antarabangsa. Serangan yang mengorbankan 10 orang aktivis dan mencederakan puluhan yang lain, mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa. Sejak itu, misi seperti Freedom Flotilla II (2011), Freedom Flotilla III (2015), Just Future for Palestine (2018) dan yang terkini, Break the Siege Conscience (2025) serta Madleen Freedom Flotilla (2025) terus dilancarkan, menandakan kesungguhan masyarakat awam untuk meruntuhkan tembok kebisuan antarabangsa.
Kempen bagi menghancurkan sekatan Israel atas Gaza disemarakkan lagi oleh Konvoi Sumud (Soumoud). Sumud ialah perkataan Arab yang bermaksud keteguhan, iaitu nilai sinonim dengan semangat perjuangan rakyat Palestin yang tidak tunduk pada penjajahan.
Konvoi Sumud dilancarkan dari Tunisia dan berarak merentasi Afrika Utara disertai peserta dari Tunisia, Algeria, Mauritania, Libya dan Maghribi. Misi yang sama juga disasarkan oleh Global March to Gaza yang disertai lebih 4,000 orang aktivis daripada lebih 80 buah negara. Malang sekali aktivis Konvoi Sumud dan Global March to Gaza menghadapi penentangan yang sungguh menyedihkan.
Konvoi Sumud misalnya tidak diberikan kebenaran untuk melalui wilayah Libya Timur tanpa kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa Mesir. Sementara itu, aktivis Global March to Gaza bukan sahaja menghadapi sekatan oleh Kerajaan Mesir bahkan mereka juga ditahan atau dihantar pulang, disakiti dan dikasari warga tempatan sehingga mengalami kecederaan.
Meskipun menghadapi pelbagai rintangan, gabungan Freedom Flotilla, Konvoi Sumud dan Global March to Gaza berjaya menyalakan semula penyatuan global dan menyampaikan mesej kepada rakyat Gaza yang mereka tidak dibiarkan bersendirian. Setiap halangan yang ditempuh, membolehkan perancangan disusun dengan lebih rapi.
Sebagaimana ditegaskan Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penyelarasan Global March to Gaza, Saif Abukeshek, “Segala usaha untuk menghentikan genosid ini mesti diterokai, termasuk langkah yang mungkin kelihatan amat mencabar.”
Kobaran semangat aktivis di seluruh dunia jelas semakin besar. Hal ini terbukti melalui Inisiatif 1,000 Flotilla yang dilancarkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) pada 13 Jun lalu. Inisiatif berkenaan berhasrat menghimpunkan 1,000 kapal awam dari seluruh dunia untuk menentang sekatan laut Israel secara aman.
Kempen ini sedang menggerakkan penyertaan organisai kemanusiaan dan masyarakat sivil antarabangsa, komuniti keagamaan dan rangkaian antara agama, kesatuan sekerja, pekerja maritim, golongan pelajar dan pembela hak asasi manusia dari segenap benua.
Kebangkitan masyarakat sivil global ini merupakan reaksi langsung terhadap kegagalan sistem keadilan antarabangsa. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) lumpuh oleh penggunaan kuasa veto secara berulang.
AS tanpa segan-silu menggunakan kuasa vetonya lebih 42 kali untuk menolak resolusi yang mengecam Israel, iaitu daripada jumlah keseluruhan 83 kali kuasa veto itu pernah digunakan.
Selain itu, institusi kehakiman antarabangsa seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) juga cuba ditekan AS dan United Kingdom (UK), dengan mengenakan sekatan terhadap empat orang hakimnya. Tindakan itu dikatakan berkait secara langsung dengan keputusan ICC untuk menyiasat jenayah perang dan kemanusiaan yang berlaku di Palestin.
RAKYAT BANGKIT
Oleh itu, kebangkitan dan kesedaran masyarakat global merupakan benteng terakhir untuk membela keadilan.
Dalam dunia yang dipenuhi ketidakadilan, perjuangan rakyat biasa bebas daripada kepentingan kuasa serta sarat dengan nilai kemanusiaan sejati.
Pengalaman sejarah membuktikan kebangkitan masyarakat dunia dapat menewaskan rejim yang menindas. Demikianlah yang berlaku kepada perjuangan menentang aparteid di Afrika Selatan. Kerajaan yang menindas majoriti kulit hitam di negara berkenaan akhirnya dapat ditumbangkan melalui aktivisme jangka panjang pada peringkat tempatan dan antarabangsa.
Kebangkitan masyarakat dunia memberikan isyarat jelas Palestin tidak keseorangan. Di setiap pelosok dunia, jutaan manusia berdiri bersama mereka – dari jalan kota hingga ke ruang mahkamah antarabangsa dan dari mimbar khutbah hingga ke layar digital.
Selagi ada suara yang berani menentang kezaliman dan selagi ada tangan yang sedia membantu, harapan untuk pembebasan Palestin akan terus menyala, bukan sebagai impian tetapi sebagai janji sebuah kemenangan.-UTUSAN
PENULIS ialah Felo di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










