Jaga nama, imej penjawat awam di media sosial

Jaga nama, imej penjawat awam di media sosial

PENJAWAT awam perlu celik digital, berintegriti dan sentiasa peka terhadap implikasi komunikasi di alam maya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDIA sosial memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat moden sebagai medium komunikasi, penyebaran maklumat dan pembentukan pendapat umum.

Ia membolehkan interaksi pantas tanpa sempadan, perkongsian ilmu yang semakin mudah, dapat mempromosikan perniagaan dengan lebih luas serta bebas untuk menyuarakan pandangan dan pendapat.

Dalam konteks pendidikan dan kerjaya, media sosial boleh menjadi platform untuk membina jaringan profesional dan mengakses peluang baharu. Namun begitu, penggunaan yang bijak dan bertanggungjawab amat penting bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu, penyalahgunaan data peribadi serta ketagihan digital yang boleh menjejaskan kesejahteraan individu dan masyarakat.

Penjawat awam tidak terkecuali daripada menjadi pengguna aktif media sosial dalam era digital ini. Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melalui Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat menegaskan penjawat awam tidak boleh aktif bermain media sosial seperti TikTok dan Facebook sewaktu sedang bertugas.

Ini kerana persepsi masyarakat banyak dipengaruhi oleh tingkah laku penjawat awam, termasuk yang ditampilkan di media sosial. Kepentingan imej positif penjawat awam tidak dapat dinafikan dalam memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara sentiasa utuh.

Penjawat awam membawa nama baik kerajaan dan mereka memainkan peranan sangat penting dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti, telus dan berintegriti.

Imej penjawat awam yang positif bukan sahaja meningkatkan kepercayaan masyarakat, malah memberi kesan langsung terhadap keberkesanan dasar dan pelaksanaan program kerajaan.

Kerana itu, penting menampilkan etika kerja yang profesional, berdisiplin dan mesra rakyat, kerana ia bukan sahaja memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat, tetapi juga dapat menyemai budaya kerja yang cemerlang dalam sektor awam keseluruhannya.

Walaupun media sosial banyak manfaatnya, ia juga membawa cabaran serius seperti penyebaran maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik dan konflik serta risiko kenyataan peribadi yang mencemarkan nama baik organisasi dan perkhidmatan awam.

Penggunaan media sosial untuk meluahkan rasa negatif terhadap majikan atau dasar kerajaan serta ketagihan media sosial berisiko menjejaskan kesihatan mental, fokus kerja dan hubungan sosial penjawat awam.

Penyalahgunaan media sosial seperti buli siber penyamaran identiti dan penipuan dalam talian mengancam keselamatan pengguna. Oleh itu, penjawat awam perlu mengamalkan etika bertanggungjawab, menilai maklumat dengan bijak serta menjaga privasi dan keselamatan dalam platform digital.

ETIKA
Prinsip beretika dalam penggunaan media sosial penting untuk memastikan interaksi yang bertanggungjawab, menghormati polisi organisasi dan menjaga kerahsiaan maklumat.

Antara prinsip utama ialah mengesahkan kesahihan maklumat, mengelak fitnah, menghormati privasi serta pandangan orang lain. Pengguna juga perlu beradab, sopan dan mematuhi undang-undang serta polisi platform.

Garis panduan ini bukan sahaja melindungi pengguna daripada risiko undang-undang dan sosial tetapi juga membantu mewujudkan persekitaran digital yang positif, harmoni serta selamat untuk semua lapisan masyarakat.

Dengan etika yang tinggi, kita dapat mengekalkan profesionalisme dan kesopanan dalam setiap interaksi di alam maya.

Media sosial boleh digunakan secara strategik serta beretika untuk menonjolkan pencapaian penjawat awam dan agensi kerajaan dalam membina imej positif. Dalam masa sama, ia juga bagi menyampaikan maklumat perkhidmatan dengan cara mesra rakyat serta mudah difahami.

Individu boleh membina jenama profesional, manakala organisasi memperkukuh reputasi dan kepercayaan melalui perkongsian kandungan yang telus serta berimpak.

Bagi kerajaan dan penjawat awam, media sosial penting untuk menyampaikan maklumat tepat selain mendekati rakyat serta memupuk persepsi positif mahupun keyakinan umum.

Pentingnya imej positif penjawat awam di media sosial tidak boleh dipandang ringan kerana mereka merupakan duta kepada integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam.

Dalam era digital yang serba pantas ini, setiap perkongsian atau komen yang dibuat penjawat awam di media sosial boleh memberi kesan langsung terhadap persepsi masyarakat terhadap institusi kerajaan.

Tindakan tidak beretika atau bersifat kontroversi bukan sahaja boleh menjejaskan kredibiliti individu tetapi boleh menimbulkan keraguan terhadap kecekapan dan kejujuran sistem pentadbiran. Oleh itu, penjawat awam perlu sentiasa berhati-hati, beretika dan bijak menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyampaikan mesej positif, memupuk kepercayaan rakyat serta menonjolkan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan.

Sebagai kesimpulannya, penjawat awam boleh menjadi ejen perubahan dan penyebar nilai murni melalui amalan komunikasi digital yang beretika tanpa mengira platfom.

Penggunaan media sosial secara beretika amat penting dalam membina kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan dan kesemua penjawat awam.

Hubungan penjawat awam dan media sosial yang ideal mestilah seimbang antara kebebasan bersuara dengan tanggungjawab profesional dalam ruang digital.

Seorang penjawat awam yang ideal di media sosial ialah individu yang mampu menggunakan platform ini secara bijaksana untuk menyampaikan maklumat sahih, menyebar nilai positif dan mempromosikan dasar kerajaan tanpa melanggar etika atau menjejaskan imej jabatan dan diri sendiri.
Mereka berupaya mengelak daripada terlibat dalam perbincangan berunsur fitnah, politik kepartian atau isu sensitif yang boleh menimbulkan konflik kepentingan.

Penjawat awam hendaklah mematuhi Etika Penggunaan Media Sosial Dalam Sektor Awam dan Peraturan- Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U (A) 395/1993) serta menunjukkan sikap profesional dalam setiap hantaran. Langkah ini bukan sahaja dapat memelihara reputasi diri dan organisasi, malah turut menyumbang pembinaan persepsi awam yang positif terhadap perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Penjawat awam perlu celik digital, berintegriti dan sentiasa peka terhadap implikasi komunikasi di alam maya. Kawalan perlu ada agar diri tidak dibelenggu dan di dominasi media sosial dalam kehidupan seharian.

Latihan dan kesedaran berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan media sosial menjadi alat pemerkasaan, bukan pemusnah imej perkhidmatan awam.-UTUSAN

 

MOHD. Khairulzain Abdul Rahman ialah Pengarah Pentadbiran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan.

Norazilee Abd. Aziz ialah Timbalan Pengarah Kanan di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN