PADA 2 Ogos nanti, kita berpeluang melihat ramai kaum India keturunan Tamil mengadakan upacara khas di tepi pantai, tasik dan tebing sungai.
Golongan warga emas mungkin teringat upacara Mandi Safar atau Puja Pantai yang pernah popular dalam kalangan orang Melayu sehingga 1980-an.
Namun begitu, upacara Aadi Perukku yang masih diamalkan oleh orang Tamil tidak sama dan tidak ada kaitan dengan upacara Mandi Safar yang pernah diamalkan orang Melayu.
Sambutan Aadi Perukku adalah pada hari ke-18 bulan Aadi (Julai-Ogos) dalam kalendar Tamil. Ia bertujuan menghargai kepentingan sumber air seperti sungai, tasik, telaga, laut dan hujan dalam kehidupan manusia.
Upacara kebudayaan ini berasal dari Tamil Nadu, India di mana orang Tamil meraikan musim monsun yang menyebabkan Sungai Kaveri melimpah dan menyuburkan tanah pertanian di Karnataka dan Tamil Nadu.
Ketibaan musim hujan atau monsun turut diraikan penduduk negeri-negeri lain di India. Misalnya menerusi sambutan Teej di Uttar Pradesh, Rajasthan dan Bihar, Onam di Kerala, serta Hareli di Chhattisgarh dan Uttarakhand.
Orang Tamil di Malaysia dan Singapura pula meneruskan tradisi Aadi Perukku yang juga dikenali sebagai Padinettam Perukku.
Istilah Aadi merujuk kepada bulan keempat dalam kalendar Tamil manakala Padinettam bermakna ke-18 dalam bahasa Tamil. Istilah Perukku pula bermakna berganda dan simbolik kepada segala rezeki, tuah, kebahagiaan dan sebagainya yang dijangka akan datang berlipat kali ganda.
Maka, ternyata konsep Aadi Perukku berbeza dengan upacara Mandi Safar yang dikaitkan dengan amalan khurafat kononnya bulan Safar dalam kalendar Islam membawa bala dan bencana besar.
Bulan Aadi dalam kalendar Tamil sudah bermula pada 16 Julai lalu. Golongan wanita, khasnya yang baru berkahwin dalam tempoh setahun lalu, biasanya melukis kolem pada lantai di depan pintu rumah pada awal pagi.
Walaupun sambutan Aadi Perukku sinonim dengan orang Tamil di India, di negara seperti Malaysia dan Singapura, upacara itu turut diraikan orang Malayali dan Telugu beragama Hindu.
Sepanjang bulan Aadi, golongan wanita terlibat dalam pelbagai upacara khas di kuil dan rumah. Juadah khas juga disediakan untuk dinikmati seisi keluarga.
Pada hari sambutan Aadi Perukku (2 Ogos 2025), kaum India pergi ke laut, sungai atau tasik untuk mandi. Di Malaysia, antara destinasi pilihan ialah Pantai Morib, Selangor.
Kita mungkin akan berpeluang melihat pasangan suami-isteri muda menyertai upacara khas di tepi laut atau sungai. Biasanya, kalungan malai yang digunakan semasa upacara perkahwinan masih disimpan.
Bunga malai yang sudah kering itu dihanyutkan di laut atau sungai sebagai simbolik meminta restu daripada sumber air dan alam semesta. Dalam tradisi India-Hindu, menghargai sumber alam dan semesta adalah sebagai tanda menghargai ciptaan Tuhan.
Ada juga upacara khas dinamakan Taali Pirital bagi pasangan suami-isteri baharu. Semasa upacara perkahwinan, si lelaki mengikat taali atau mangalyam pada leher si wanita.
Utas taali yang biasanya diperbuat daripada benang akan diganti baharu atau ditukar dengan rantai emas. Benang taali lama itu juga akan dihanyutkan ke dalam laut atau sungai bersama-sama kalungan malai.
Kepentingan upacara Aadi Perukku turut tercatat dalam epik Silappatikaram iaitu salah satu karya agung Tamil yang dihasilkan oleh Ilango Adigal pada abad ke-6.
Bentuk dan cara sambutan upacara itu pasti sahaja sudah mengalami perubahan mengikut zaman. Bagi orang Tamil di Malaysia, tradisi itu diteruskan sebagai simbol mengekalkan adat, identiti dan jati diri nenek-moyang.
Misalnya, dalam upacara asal di Tamil Nadu, orang ramai berkumpul di tebing Sungai Kaveri untuk meraikan paras air yang naik dan mula melimpah ke tanah pertanian.
Di Malaysia pula, majoriti kaum India tidak terlibat dalam pertanian. Namun begitu, orang ramai berkumpul di pantai, sungai dan tasik pada tarikh sambutan Aadi Perukku sebagai simbolik kepada upacara menghargai kepentingan sumber air dalam hidup manusia.
Upacara di rumah dan kuil sepanjang bulan Aadi biasanya hanya melibatkan golongan wanita. Secara praktikal, ia memberi peluang kepada para wanita untuk mengeratkan silaturahim dan saling memberi sokongan moral.
Tempoh sebulan sepanjang Aadi juga memberi peluang kepada remaja dan gadis untuk mempelajari hal-hal berkaitan ritual Aadi Perukku daripada para wanita yang sudah berkahwin. Maka, berlaku perkongsian ilmu, adat dan budaya secara semula jadi dari generasi ke generasi.
Upacara sembahyang khas, sama ada di rumah atau kuil, sentiasa melibatkan para dewi seperti Shakti, Mariamman, Lakshmi, Dhurga dan Saraswati. Secara tidak langsung, ia mementingkan aspek emansipasi dan memperkasakan wanita.
Perlu diakui tradisi sambutan Aadi Perukku khasnya dan upacara sepanjang bulan Aadi amnya, semakin kurang dalam kalangan orang Tamil di Malaysia. Hal ini mungkin disebabkan kesibukan dengan urusan pelajaran dan pekerjaan.
Namun begitu, walaupun upacara di rumah semakin berkurangan, orang ramai masih berusaha mengunjungi kuil untuk turut serta dalam ritual bersama-sama orang ramai.
Misalnya, sembahyang khas pasti diadakan sepanjang bulan Aadi di semua kuil. Golongan wanita berkumpul untuk terlibat dalam upacara khas, khususnya pada hari Jumaat.
Secara tradisi, segala upacara ini hanya melibatkan golongan wanita. Akan tetapi, pada masa kini, golongan lelaki juga terlibat sama. Maka, kesemua upacara di kuil sempena Aadi Perukku melibatkan seluruh keluarga.
Masih ada kuil yang meneruskan tradisi menyediakan kul iaitu bubur menyerupai bubur lambuk. Bubur nabati atau vegetarian ini disediakan secara gotong-royong dan diberi kepada orang ramai yang mengunjungi kuil.
Sebagaimana dinyatakan tadi, perukku bermakna berganda. Maka, bulan Aadi juga dilihat sebagai bulan yang sesuai untuk menambah harta. Ramai yang memilih untuk membeli barang kemas daripada emas untuk digunakan sebagai perhiasan dan simpanan masa hadapan.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










