USIM 25 tahun: Mencipta nilai melakar kejayaan

USIM 25 tahun: Mencipta nilai melakar kejayaan

UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) bakal menyambut ulang tahun penubuhan institusi berkenaan yang ke-25 tahun pada 18 Jun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 18 Jun 2000, seramai 255 orang pelajar mula mendaftar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Ia merupakan detik bersejarah bagi institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan, yang ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) kerana USIM merupakan satu-satunya universiti awam (UA) menawarkan program pengajian tinggi bagi pelajar aliran agama dengan keperluan bahasa Arab dan Pengajian Islam sebagai syarat kemasukan.

Bermula dengan tiga fakulti, misi USIM adalah unik dan jelas iaitu untuk melahirkan graduan seimbang dari aspek rohani dan jasmani melalui integrasi ilmu naqli dan aqli.
25 tahun berlalu, USIM terus berkembang menjadi universiti bertaraf global yang melahirkan lebih daripada 37,000 alumni.

Kini USIM mempunyai lebih 14,000 pelajar dari dalam dan luar negara dan menawarkan lebih 90 program pengajian melalui sembilan buah fakulti merentasi bidang Quran dan sunnah, ekonomi, perubatan, pergigian, kejuruteraan, kepimpinan, bahasa, pendidikan, syariah dan undang-undang serta sains dan teknologi.

Menjengah ke suku abad, USIM melangkah ke hadapan melalui gagasan ‘USIM Cemerlang, USIM di Sayang’ berteraskan empat fokus iaitu keterlihatan, kemampanan kewangan, USIM prihatin dan komuniti@USIM.

PENERAJU PENDIDIKAN ISLAM
USIM terus mewarnai landskap pendidikan global. Pada Julai 2024, USIM menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Quran dan Sunnah kepada Sheikh Al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad At-Tayyeb dalam satu majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganugerahan diadakan bersempena Simposium Antarabangsa Malaysia Madani 2024 yang menghimpunkan tokoh-tokoh Islam global dalam usaha memperkukuh kefahaman terhadap prinsip kesederhanaan dalam Islam, selaras dengan gagasan Malaysia Madani.

USIM turut diberikan tangggungjawab untuk melaksanakan program bahasa Arab dengan kerjasama Institut Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Al-Sharif. Ia bagi mempersiapkan pelajar ke tahap penguasaan bahasa Arab mengikut piawaian antarabangsa, selain menjadi pusat latihan bahasa kepada pelbagai golongan profesional.

LONJAKAN DAN PENGUKUHAN INFRASTRUKTUR
USIM terus bergerak pantas dalam membangunkan ekosistem pembelajaran yang lestari dan terkehadapan. Pada 12 Oktober 2023, Anwar mengumumkan peruntukan bagi Pembangunan Hospital Pengajar USIM sebanyak RM938 juta dalam Pembentangan Bajet 2024 di Parlimen.

Projek Hospital Pengajar USIM di Johor itu bakal melonjakkan peranan USIM dalam bidang perubatan, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.

USIM juga bakal menerima kemudahan kolej kediaman yang mampu menampung seramai 5,000 pelajar, susulan kelulusan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 17 April 2024.

Projek pembangunan ini dijangka memberi impak positif terhadap pengalaman pengajian pelajar di USIM, melalui pembinaan kemudahan tempat tinggal yang mampu menampung sebahagian besar pelajar di kampus.

TRANSFORMASI DIGITAL DALAM PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN
Pelan transformasi digital universiti, terus diperkasakan dalam usaha memperkukuh aspek pengajaran, pembelajaran dan pentadbiran universiti secara holistik merangkumi penggunaan teknologi canggih seperti teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pengumuman Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berhubung naik taraf akses rangkaian WiFi di USIM merupakan satu inisiatif penting ke arah memastikan 100 peratus capaian internet di kampus menjelang akhir tahun ini. Menerusi projek ini, USIM melaksanakan pemasangan lebih 700 titik akses

Wi-Fi 7 di seluruh kampus yang memberi manfaat kepada lebih 16,000 warga kampus.

KEUNIKAN INTEGRASI ILMU
Keunikan pendekatan integrasi ilmu yang ditawarkan di USIM terus mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat tempatan dan global.

USIM menubuhkan Pusat Penghayatan Ilmu Turath (U-KIT) bagi memperkukuh peranan universiti dalam memelihara dan mengangkat warisan keilmuan Islam, khususnya melalui pengajian kitab secara talaqqi. Pusat ini ditubuhkan bagi membudayakan semula pengajian kitab turath dalam kalangan generasi muda.

Dalam usaha memperkasakan penjanaan pendapatan, USIM terus mempergiat promosi dan pemasaran program dwi-ijazah, ijazah berganda, program pesisir dan francais di peringkat tempatan dan antarabangsa.

USIM DAN KOMUNITI
USIM komited dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan masyarakat melalui pelbagai program kemasyarakatan.

Antaranya melalui Program Pemindahan Ilmu Inovasi Sosial – USIM Living Lab, yang kini beroperasi di Chow Kit, Kuala Lumpur. Inisiatif ini membuka ruang kepada penyelidik USIM untuk mengaplikasikan hasil penyelidikan dalam konteks komuniti sebenar dan pada masa sama, melatih mahasiswa dalam aspek kepimpinan, empati dan tanggungjawab sosial dengan memberi peluang kepada mereka untuk memahami realiti kehidupan golongan rentan.

Selain itu, Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) terus meluaskan peranannya sebagai institusi rujukan dalam memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya dalam pembelajaran ilmu agama. Antara pencapaian signifikan UMMI di USIM termasuk kerjasama dengan Lembaga

Tabung Haji (TH) dalam menerbitkan versi Braille Buku Panduan Haji untuk golongan cacat penglihatan.

UMMI juga mencipta sejarah apabila aplikasi al-Quran Isyarat menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai aplikasi pertama seumpamanya di Malaysia.

DI PERSADA DUNIA
USIM terus memperkukuh impaknya di peringkat antarabangsa melalui pelbagai bentuk kerjasama penyelidikan dan akademik. Antaranya, penubuhan UNESCO Knowledge for Change (K4C) Asia Hub di USIM yang membolehkan universiti menawarkan program latihan penyelidikan berasaskan komuniti (CBR) untuk rantau Asia, termasuk menjadi tuan rumah kepada UNESCO K4C International Residency.

Dalam bidang teknologi dan inovasi, USIM melakar sejarah dengan penubuhan EUREKA Robotics Cardiff Metropolitan University Satellite Lab di kampus USIM. Sebagai simbol kerjasama tersebut, USIM menerima robot bernilai 10,000 pound sterling (RM58,000) dan melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk Geran Pembangunan Inovasi.

Pada 2024, buat julung kalinya, USIM berjaya disenaraikan dalam QS World University Rankings dan QS Asia University Rankings. Di peringkat Asia Tenggara, USIM kini berada dalam kelompok 100 universiti terbaik.

Pada 18 Jun ini, genap 25 tahun usia perjalanan USIM sebagai sebuah institusi yang menerajui integrasi ilmu. USIM membuktikan paduan ilmu naqli dan aqli bukan sahaja relevan, malah menjadi pemacu kepada kelestarian pendidikan Islam yang progresif.

Pencapaian yang dilakar adalah cerminan kepada falsafah USIM yang menekankan keilmuan yang berteraskan ilmu wahyu dan rasional adalah asas kepada pembentukan generasi terkehadapan. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani ialah Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×