Tragedi bas UPSI: Kita masih abaikan lima perkara penting

Tragedi bas UPSI: Kita masih abaikan lima perkara penting

TRAGEDI kemalangan bas melibatkan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sepatutnya menjadi titik perubahan besar dalam cara kita melihat dan mengurus keselamatan pengangkutan awam di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRAGEDI bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak baru-baru ini membuka mata kita terhadap rapuhnya aspek keselamatan pengangkutan awam di negara ini.

Seperti lazimnya, pelbagai cadangan dibangkitkan — daripada larangan perjalanan malam, semakan latar belakang pemandu, penambahbaikan infrastruktur jalan raya, hinggalah penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas.

Namun, sekiranya benar-benar ikhlas mahu mencegah tragedi sebegini daripada berulang, maka perlu berani menyentuh isu-isu asas yang selama ini sering dipandang enteng, kurang diberi perhatian atau dianggap terlalu ‘sukar’ untuk ditangani.

Berikut merupakan lima perkara penting yang masih kurang diberi perhatian dalam wacana umum:

Budaya keselamatan pengendali bas masih lemah
Setiap kali kemalangan bas berlaku, tumpuan masyarakat biasanya tertumpu kepada pemandu. Dalam kes ini, pemandu bas mempunyai 18 saman lalu lintas. Namun persoalan yang lebih besar bagaimana sebuah syarikat pengendali bas boleh membenarkan pemandu seperti ini membawa penumpang walaupun akhirnya permit syarikat dibatalkan?

Di banyak negara maju, pengendali pengangkutan diwajibkan mempunyai Sistem Pengurusan Keselamatan (SMS). Ia ialah sistem pengurusan keselamatan berstruktur dan proaktif yang membantu organisasi mengenal pasti, menilai dan mengawal risiko keselamatan dalam setiap aspek operasi harian.

Ini bermakna bukan sahaja kenderaan diselenggara dengan baik, malah rekod pemandu dipantau, jadual kerja diaudit untuk mengelakkan keletihan dan budaya melaporkan masalah keselamatan digalakkan.

Malangnya, tiada keperluan undang-undang yang mewajibkan pengendali mempunyai SMS terutamanya bagi pengusaha bas sewa khas di negara kita. Inilah jurang besar yang perlu kita tangani segera.

Tanpa SMS, aspek keselamatan sebenar sukar dipantau secara sistematik. Dalam keadaan ini, pengendali mungkin hanya memastikan keperluan minimum dipenuhi, iaitu kenderaan berlesen dan pemandu berlesen, tanpa sistem menyeluruh yang mengawal risiko di lapangan.

Selagi pengendali tidak dipertanggungjawabkan terhadap budaya keselamatan maka, kita akan terus berdepan risiko pemandu bekerja dalam keadaan tidak selamat.

Risiko keletihan
Wajar mencadangkan mengharamkan perjalanan malam tetapi tidak mencukupi. Kajian antarabangsa mendapati keletihan pemandu menyumbang sehingga 20 peratus kemalangan maut melibatkan kenderaan berat. Namun, keletihan bukan sekadar isu waktu malam, sebaliknya berkait rapat dengan pola kerja, waktu rehat dan tekanan ekonomi dihadapi pemandu.

Di negara maju, pengendali bas dan pengangkutan berat diwajibkan melaksanakan Sistem Pengurusan Risiko Keletihan (FRMS), bagi membantu organisasi mengesan, menilai dan mengawal risiko keletihan dalam kalangan pemandu.

FRMS ini memantau pelbagai faktor yang boleh menyebabkan keletihan, termasuk jadual kerja, waktu tidur, beban kerja dan tanda-tanda keletihan pemandu. Sistem ini turut mewujudkan budaya terbuka supaya pemandu boleh melaporkan keletihan tanpa rasa takut dan membolehkan pengurusan mengambil tindakan pencegahan.

Reka bentuk jalan lebih mesra pengguna
Laporan awal menyebut jalan di lokasi tragedi gelap dan berliku. Dalam situasi begini, kesilapan kecil pemandu boleh membawa padah besar, apatah lagi bagi kenderaan berat seperti bas.

Di negara maju, jurutera jalan raya menggunakan pendekatan yang dipanggil forgiving road design, iaitu reka bentuk jalan yang memaafkan kesilapan manusia dan membantu mengurangkan risiko kemalangan maut apabila pemandu tersilap.

Malah, di Malaysia, elemen reka bentuk mesra pengguna diamalkan melalui pemasangan jalur bergetar, penghadang tengah dan zon bahu jalan bebas halangan di beberapa laluan utama. Namun, pendekatan ini masih diamalkan secara terhad dan belum dilaksanakan secara menyeluruh atau sistematik seperti di negara-negara maju, terutama di laluan berisiko tinggi seperti jalan pergunungan dan jalan luar bandar.

Langkah ini wajar diperluaskan, terutamanya di laluan jalan yang dikenal pasti berisiko tinggi. Audit reka bentuk jalan juga perlu mengambil kira bagaimana manusia berinteraksi dengan jalan, bukan hanya menilai dari segi struktur fizikal semata-mata.

Perkasakan penumpang
Dalam tragedi ini, bas ini disewa pelajar tanpa penglibatan atau kawalan daripada pihak universiti menyebabkan risiko keselamatan meningkat dengan ketara. Antara sebabnya ialah pelajar tidak mempunyai maklumat mencukupi tentang rekod keselamatan pengendali bas, tiada mekanisme rasmi untuk memastikan pengendali yang dipilih benar-benar selamat dan tiada saluran yang jelas untuk memantau atau melaporkan aduan berkaitan pengendali bas.

Di negara maju, pelajar dan pengguna pengangkutan awam semakin diberi kuasa sebagai pengguna. Mereka disediakan garis panduan pemilihan pengendali selamat, senarai semak sebelum membuat sewaan serta saluran aduan yang mudah diakses.

Di Malaysia, sudah tiba masanya panduan rasmi turut disediakan kepada pelajar yang ingin menyewa pengangkutan sendiri, bersama senarai pengendali berstatus selamat serta saluran aduan yang mesra pengguna.

Keperluan koordinasi yang lebih berkesan
Satu perkara yang jarang disentuh tetapi amat penting dalam isu keselamatan pengangkutan awam darat ialah kurangnya koordinasi yang berkesan antara pihak berkaitan. Pada masa ini, pelbagai agensi dan pihak berkepentingan memainkan peranan masing-masing dalam aspek keselamatan pengangkutan awam. Namun apabila berlaku tragedi, jelas usaha keselamatan masih bergerak secara terpisah, tanpa penyelarasan yang benar-benar menyeluruh.

Di negara yang berjaya menurunkan kadar kemalangan jalan raya, kerjasama rapat antara semua pihak adalah kunci utama. Semua pihak berkongsi data, menyelaras audit keselamatan dan merangka dasar bersama untuk memperkukuhkan keselamatan pengguna jalan raya. Inilah pendekatan yang perlu di Malaysia supaya segala usaha keselamatan yang dirancang dan dilaksanakan benar-benar bersepadu serta berkesan.

Oleh itu, tragedi UPSI ini sepatutnya menjadi titik perubahan besar dalam cara kita melihat dan mengurus keselamatan pengangkutan awam di negara ini. Kita tidak boleh lagi sekadar mengulangi saranan lama setiap kali tragedi berlaku. Sudah tiba masanya kita memperkasa bukan sahaja institusi, tetapi juga pengguna. Dengan usaha bersepadu dan pembaharuan yang menyeluruh, tragedi seumpama ini dapat dicegah daripada berulang.-UTUSAN

 

DR. Nordiana Mashros ialah daripada Kumpulan Penyelidikan Turapan dan Pengangkutan (PTRG), Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

PROFESOR Madya Dr. Norhidayah Abdul Hassan ialah daripada Kumpulan Penyelidikan Turapan dan Pengangkutan (PTRG), Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN