MUKADIMAH
SEGAK menyarungkan sut dengan sapu tangan berbentuk ros di poket baju, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak juga bekas Menteri Besar Perak, DATUK SERI AHMAD FAIZAL AZUMU benar-benar bersedia menjalankan wawancara dan berkongsi pandangannya mengenai isu politik semasa dengan Mingguan Malaysia.
Satu demi satu soalan diajukan terbahagi kepada beberapa segmen antaranya Bersatu dan PN, pilihan raya, kerajaan Perak, Perak FC sehinggalah nama dua individu berpengaruh, Mohd. Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar yang masih menjadi bualan ramai.
Ikuti wawancaranya bersama wartawan, ROSHIHAN ANNUAR YUB, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, juruvideo, MOHD. FIKRI FADZIL dan jurugambar, SADDAM YUSOF di pejabatnya di Plaza Damas baru-baru ini.
MINGGUAN MALAYSIA: Apa perkembangan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sekarang?
AHMAD FAIZAL: Bersatu sudah melaksanakan pemilihan parti dan berjalan lancar. Ini juga membuktikan kematangan parti melaksana perubahan kepimpinan di peringkat tertinggi. Hasilnya, pasukan kepimpinan baharu yang bersemangat terbentuk bagi meneruskan perjuangan khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Sama juga perubahan dalam struktur kepimpinan PN. Kami lihat peningkatan semangat dalam gabungan ini dengan kerjasama antara parti komponen semakin kukuh. Kepimpinan di pelbagai peringkat iaitu parlimen, negeri dan pusat kini lebih aktif dan merancang strategi untuk menang dalam PRU.
SAYA TIDAK SEMPURNA
Ada perkembangan baharu selepas laporan media tentang akuan bersumpah (SD) meminta supaya jawatan Datuk Seri sebagai Pengerusi Bersatu Perak diganti?
Sebagai ketua badan pimpinan negeri Perak, saya juga tidak sempurna. Jika dikatakan ada yang tidak bersetuju dengan saya, itu lumrah. Saya tidak mendakwa mendapat sokongan 100 peratus daripada semua pihak, tetapi untuk mengatakan saya ditolak secara total di Perak sehingga membawa kepada kononnya wujud SD seperti laporan portal berita ini tidak benar.
Jawatan ketua badan pimpinan negeri adalah lantikan, bukan pemilihan. Ia adalah prerogatif presiden melantik wakilnya di setiap negeri bagi menyampaikan dan melaksanakan dasar parti. Maka, menolak ketua badan pimpinan negeri bermaksud menolak keputusan presiden sendiri. Saya tidak melihat wujud penolakan.
Baru-baru ini, kami mengadakan mesyuarat khas Badan Pimpinan Negeri Perak bersama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Semua ketua bahagian hadir dan tiada bantahan apabila mandat presiden kekalkan saya sebagai ketua badan pimpinan negeri Perak. Semua menerima keputusan ini dengan baik.
TENGGELAM
Wujud dakwaan Datuk Seri semakin ‘tenggelam’ dalam Bersatu kerana ‘dihimpit’ oleh Hamzah dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Benarkah?
Siapa pun yang memimpin atau tenggelam bukanlah perkara utama. Lebih penting kesinambungan perjuangan. Saya tidak keberatan kembali menjadi ahli biasa asalkan parti terus berpegang teguh kepada asas perjuangan yang ditetapkan sejak awal. Tiada salah jika saya tidak lagi di barisan hadapan asalkan parti dan perjuangan kami pilih untuk meninggikan syiar Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mempertahan kedaulatan negara terus dipelihara baik. Apa salahnya kalau saya tenggelam terus?
Maknanya, Datuk Seri tidak kisah jika bermula dari bawah kembali?
Saya bermula dari bawah, pernah berada di atas dan akan terus berkhidmat dalam apa jua kapasiti. Ini bukan masalah.
JAWATAN KETUA PENERANGAN PN
Boleh jelaskan bagaimana berlaku isu Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin menggantikan Datuk Seri sebagai Ketua Penerangan PN?
Perubahan ini dibuat secara harmoni dan berdasarkan persefahaman bersama. Tiada perselisihan seperti yang difikir sesetengah pihak.
Terdapat individu lain lebih layak dan berkemampuan menjalankan tanggungjawab ini dengan lebih baik. Saya sendiri menyuarakan pandangan ini kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mencadang supaya jawatan Ketua Penerangan – Mohd. Radzi pegang. Cadangan ini diterima dan saya dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi PN.
Selepas pemilihan Bersatu, beberapa perubahan berlaku dalam kepimpinan parti. Saya sebelum ini pegang jawatan Timbalan Presiden dan kini Hamzah yang sebelum ini Setiausaha Agung PN mengisi jawatan ini. Maka, secara automatik beliau juga menjadi Timbalan Pengerusi PN.
Jawatan Setiausaha Agung PN pula kosong dan perlu diisi. Pengerusi PN, yang mempunyai kuasa prerogatif membuat pelantikan memilih Mohamed Azmin sebagai Setiausaha Agung PN baharu dan Setiausaha Agung Bersatu. Dalam mesyuarat saya ingat berlangsung hujung tahun lalu atau awal tahun ini, Muhyiddin mengumumkan pelantikan saya yang ketika itu masih Timbalan Pengerusi PN, sebagai Ketua Penerangan PN. Pelantikan ini dibuat tanpa perbincangan lanjut.
TAWAR RAFIZI MASUK PARTI
Apa pendapat Datuk Seri tentang Bersatu Terengganu mempelawa bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli sertai parti?
Beliau sering menjadi sasaran usikan dan sindiran. Ramai suka mengusik beliau, malah ada yang menyorot ucapan lamanya mencari kesilapan atau perkara yang boleh dipermainkan. Saya anggap apa yang dikongsi sahabat saya, Ketua Badan Pimpinan Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris sebagai gurauan.
Saya juga nampak gurauan ini agak nakal kerana saya sendiri tidak sedar Mohd. Rafizi sebenarnya berasal dari Kemaman, Terengganu dan sepatutnya bertanding di sana.
Komen Datuk Seri selepas Rafizi tewas dalam pemilihan PKR sehingga meletak jawatan sebagai menteri?
Rafizi insan yang patut bersyukur kerana Tuhan memberi peluang kepadanya mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rapat dan menjadi penyokongnya sejak lama dahulu. Saya juga pernah terdengar Anwar pernah menguruskan majlis perkahwinannya, menunjukkan betapa rapat hubungan mereka. Hari ini, Allah beri Rafizi petunjuk baharu tentang siapa Anwar sebenarnya.
Mengikut penilaian saya, Tuhan mahu tunjukkan bukan sahaja kepada Mohd. Rafizi, malah seluruh rakyat Malaysia, pemimpin yang beliau kagumi dan sanjung tinggi ini boleh ‘membuang’ sesiapa sahaja dengan mudah. Rafizi mungkin baru sedar perkara ini, walhal saya dan rakyat Malaysia sudah lama sedar. Inilah hakikat dalam PKR dan saya tidak perlu ulas lanjut, ini masalah mereka.
Saya percaya apabila Allah beri petunjuk dan hidayah kepada seseorang, maka kelebihan yang dimiliki, seperti kemahiran bercakap dan berkomunikasi dengan baik perlu disalur ke arah positif.
Bukannya seperti sebelum ini, banyak cakap tetapi apabila sudah berpeluang memerintah, tiada tindakan dilakukan.
Dalam menghadapi PRU akan datang, apa strategi untuk merampas tampuk pimpinan kerajaan Perak?
Saya tidak dapat dedahkan strategi kerana jika berbuat demikian, akan diketahui pihak lain dan menyukarkan kami. Pun begitu, rakyat Perak sekarang tidak selesa dengan kerajaan Persekutuan. Mereka tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Keadaan ini sampai tahap menyaksikan kita tiada pasukan bola sepak yang bertanding kerana kerajaan negeri kurang mengambil inisiatif. Jika kerajaan negeri menjalankan tanggungjawab dengan baik dan memberi keselesaan kepada rakyat, tugas kami sebagai pembangkang akan jadi ringan kerana rakyat puas hati dan tiada isu besar yang perlu diperjuang.
Sebagai pembangkang, tugas kami menjalankan fungsi semak dan imbang dan kami akan pastikan keperluan rakyat dipenuhi dan rakyat sokong kami kembali. Oleh itu, kami merangka pelan menarik sokongan rakyat supaya dapat menubuhkan kerajaan dan memenuhi tuntutan mereka terutama menjelang PRU akan datang.
PERAK FC TARIK DIRI LIGA SUPER
Datuk Seri pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan. Komen tentang pasukan bola sepak Perak FC tarik diri daripada menyertai Liga Super?
Saya fikir apabila kita mula mengubah konsep persatuan bola sepak negeri kepada kelab bola sepak, saya jangka ada kelab yang akan menarik diri. Namun, saya tidak sangka Perak menjadi pertama berbuat demikian. Saya faham, mengendalikan pasukan bersaing dalam liga bola sepak Malaysia bukan mudah.
Saya juga melihat sukar untuk menyalahkan kerajaan negeri kerana mereka mempunyai keterbatasan. Begitu juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mereka perlu menilai semula peranan dan tindakan mereka.
Saya masih ingat zaman Almarhum Sultan Ahmad Shah, bola sepak kita mula menjadi separuh profesional dan stadium sentiasa penuh. Namun, Kejayaan ini turut membawa beberapa masalah seperti rasuah yang melanda sukan menyebabkan bola sepak negara merosot selepas itu.
Walaupun ada kebangkitan semula, saya lihat bola sepak kita kembali ke zaman kemerosotan. Jika kita mahu memodenkan dan memprivatisasi bola sepak secara serius seperti yang berlaku di J-League Jepun atau Liga Perdana Inggeris, kita perlu ada kelab yang memiliki aset sendiri seperti akademi, stadium dan penyokong setia yang mengikuti pasukan bertahun-tahun.
Malangnya, Malaysia belum sampai ke tahap ini dengan kehadiran penonton di stadium hanya sekitar 5,000 hingga 10,000.
Di mana kelemahannya ketika tahap prestasi pasukan bola sepak negara semakin merundum?
Di Perak sebelum ini, terdapat syarikat mahu menaja atau menjadi pemilik Perak FC. Namun, tujuan syarikat itu bukan mengembangkan pasukan atau memperoleh hasil daripada bola sepak, seperti pendapatan daripada tiket perlawanan atau jualan barangan rasmi. Sebaliknya, mereka hanya mahu menggunakan kelab ini untuk memasarkan produk mereka kepada penyokong Perak FC.
Berbeza jika kelab ini memiliki stadium sendiri, mereka boleh sewakan untuk pelbagai aktiviti dan menjana pendapatan tambahan. Contohnya, kelab bola sepak seperti Manchester United yang mempunyai stadium sendiri; mereka memperoleh hasil besar daripada pelbagai sumber seperti muzium, restoran, majlis perkahwinan dan sebagainya, malah, pelawat boleh lawat stadium setiap hari.
Pemain popular juga dapat menjana pendapatan melalui penjualan barangan rasmi menggunakan nama mereka, yang membantu menampung kos pasukan. Namun, keadaan bola sepak di Malaysia belum mencapai tahap itu dan mungkin hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu beroperasi seperti ini.
Adakah Datuk Seri akan kembalikan semula bola sepak Perak jika PN berjaya menawan pentadbiran kerajaan negeri?
Saya yakin kita boleh laksanakannya, namun, perlu lebih realistik dan tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi. Kita harus beroperasi mengikut kemampuan dan menyediakan pemain mengikut kemampuan kewangan.
KEMUNCULAN SEMULA
Ramai cakap Datuk Seri akan membuat kemunculan semula dan menjadi menteri besar sekali lagi. Respons?
Janganlah cakap macam ini. Kita mesti berusaha sebaik mungkin ikut kemampuan dan kapasiti masing-masing. Jika saya perlu menjadi pemandu menteri besar demi kemajuan negeri sekalipun, saya sanggup berbuat demikian. Kita wajib serah keputusan kepada kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak memilih menteri besar yang akan mentadbir negeri ini. Untuk pilih menteri besar, perkara utama adalah parti mesti menang pilihan raya.
Kita perlu bekerja keras, bersatu padu dan memastikan semua jentera parti bergerak sepakat supaya kita berjaya memperoleh kerusi mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.
POSTER BOY
Tetapi pengundi mahu tahu siapa poster boy di Perak yang mungkin Datuk Serilah calon paling sesuai?
Saya ucap terima kasih jika ada cakap saya menjadi pilihan utama atau bakal Menteri Besar Perak sekiranya PN menang. Namun, kita perlu menang terlebih dahulu. Pemimpin yang dipilih haruslah diterima oleh semua pihak dan tidak boleh berangan-angan.
Bercadang bertanding di Parlimen dan DUN dalam pilihan raya seterusnya?
Saya serah kepada pucuk pimpinan dan Presiden untuk membuat keputusan jika saya layak bertanding di DUN atau Parlimen. Jika menang kerusi tersebut, saya sentiasa bersedia kembali berkhidmat. Jika ada calon lain lebih sesuai, saya tidak keberatan.
Tentang kerusi menteri besar atau jawatan dalam Kabinet, jika parti berjaya, saya sedia memikulnya. Saya mempunyai pengalaman sebagai Menteri Besar Perak walaupun dalam jangka masa pendek, tetapi saya sudah faham ‘sepak terajangnya’. Jika diberi peluang sekali lagi, saya yakin mampu menjalankan tugas dengan lebih baik.
Hubungan Datuk Seri dengan DAP?
Saya banyak tidak setuju tentang isu dasar DAP. Sekarang rakyat tolak mereka termasuk kaum Tionghoa dan baru-baru ini saya dengar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming balik ke Ipoh pakai topi dan pelitup muka, mungkin beliau malu dengan orang sekeliling kerana terlalu banyak berjanji kepada masyarakat Cina. Dahulu, beliau boleh masuk restoran dan salam semua orang, tetapi sekarang sebagai menteri, terpaksa ‘bersembunyi’.
Ini yang saya maksudkan tadi, menjadi menteri atau menteri besar jika tidak berprestasi, memang memalukan diri sendiri dan merugikan rakyat. Saya juga dengar cerita mengenai gerai atau kiosk yang menimbulkan rungutan. Oh! Iya, saya tidak memulakan pergaduhan, sebaliknya ramai dari DAP Perak sering mencari gaduh dengan saya.
PRN SABAH
Bagaimana persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah? Sudah muktamad kerjasama dan bilangan kerusi dipertanding?
Soal rundingan atau kerjasama dengan mana-mana pihak, ini hanya akan diputuskan jika terdapat perbincangan rasmi antara pucuk pimpinan PN dan pihak berkaitan. Tetapi, PN komited untuk turut serta dalam PRN Sabah tidak lama lagi.
Matlamat utama bukan sekadar bertanding, tetapi membentuk kerajaan di Sabah. Kemungkinan besar akan timbul keperluan bekerjasama atau bergabung dengan parti lain. Sama ada akan berunding atau bertanding secara solo, ini hanya akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi parti.
Menang besar dalam PRN Sabah?
Saya tidak fikir ada parti mampu mencapai majoriti besar secara bersendirian. Keadaan sama dijangka berlaku di Sabah. Kita dapat lihat hampir semua parti sedang berbincang menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak. Saya akui situasi politik di Sabah bersifat dinamik dan sentiasa berubah-ubah. Oleh itu, sukar memberi kepastian pada masa ini.
Apakah dakwaan skandal rasuah ADUN Sabah sebelum ini beri kesan kepada PN dan membuka jalan untuk rakyat Sabah sokong Bersatu dan PN dalam PRN?
Saya belum melihat pihak berkuasa ambil tindakan berhubung isu video skandal rasuah di Sabah. Walaupun identiti individu dalam video itu seakan-akan dikenali, kesahihannya masih belum pasti. Namun, saya harap jika terdapat pelanggaran undang-undang, pihak berkuasa perlu segera ambil tindakan. Tidak wajar jika individu terlibat dengan perbuatan rasuah dibenarkan bertanding semula.
Bagaimana PN kembalikan momentum sokongan rakyat dalam PRN Sabah selepas kekalahan pilihan raya di Johor dan Melaka dahulu?
Kami tidak perlu kembalikan momentum sokongan ini, sebaliknya, kekalkan momentum yang telah terbina. Selepas mendapat mandat dan menguasai Kerajaan Persekutuan, kami menghadapi PRN Sabah dan berjaya membentuk kerajaan di sana. Walaupun keputusan PRN di Melaka dan Johor agak mengecewakan, kami bangkit semula dalam PRU dengan pencapaian lebih baik.
Dalam siri PRK selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, kita dapat lihat sokongan khususnya daripada pengundi Melayu semakin meningkat. Ia tidak pernah menurun atau kekal statik. Tugas kami kini terus memperkukuh momentum ini supaya dapat memperoleh bilangan kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan. – Mingguan Malaysia










