PROSES reformasi di Malaysia kembali menjadi wacana hangat. Ia dipuji sebagai usaha memperbetul institusi, namun dikritik sebagai retorik yang belum membuahkan hasil nyata.
Dalam suasana harapan yang tinggi, reformasi tidak boleh dinilai hanya pada niat, tetapi harus terbukti melalui impak yang dapat dirasai rakyat.
Dalam proses demokrasi yang menuju kematangan, reformasi tidak boleh hanya tertumpu kepada elit politik. Ia wajar dimulakan dari bawah menerusi budaya kerja penjawat awam, keberkesanan penyampaian dasar dan keberanian moral setiap pemegang amanah untuk memperbetul yang pincang.
Sering kali alasan ‘reformasi memerlukan masa dan sokongan’ dikemukakan. Mandat telah diberikan, dasar sudah tersedia, yang tertangguh kini ialah iltizam politik untuk menyusun institusi secara lebih inklusif dan responsif.
Sudah tiba masa rakyat di peringkat akar umbi diberi peranan sebagai pemangkin perubahan, bukan hanya menjadi sasaran dasar.
BIBIT PERUBAHAN SUDAH WUJUD DI AKAR UMBI
Melalui program-program madani seperti Sekolah Angkat, Kampung Angkat, Sejati Madani, Komuniti@UniMADANI dan Bakti Madani, kita menyaksikan pembaharuan yang digerakkan dari bawah. Program ini bukan sekadar pelaksanaan teknikal tetapi pendekatan berasaskan data, keperluan tempatan dan kerjasama rentas sektor.
Contohnya, Sekolah Angkat Madani bukan sekadar baik pulih prasarana tetapi membina ekosistem pendidikan dengan melibatkan universiti, agensi dan komuniti. Kampung Angkat pula membuka ruang untuk pemerkasaan komuniti dan tadbir urus kendiri. Sementara itu, Komuniti@UniMADANI memperlihatkan bagaimana pelajar dan penyelidik boleh menjadi agen perubahan setempat, menerusi intervensi berdasarkan data dan bukti.
Inilah bentuk tadbir urus berasaskan bukti yang diperlukan. Kerajaan kini memiliki modal sosial yang tinggi untuk mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap reformasi.
TANGGUNGJAWAB PUSAT MENDENGAR DENYUT PERUBAHAN
Isyarat sistem sedang bergerak di bawah menuntut perhatian serius daripada kepimpinan pusat. Pemegang kuasa tidak boleh sekadar beretorik atau menunda keputusan atas alasan konsensus politik. Sudah tiba masanya mereka turun padang, mendengar denyut perubahan sebenar — di luar tembok Parlimen, seminar dan zon selesa birokrasi.
Sebagaimana diingatkan tokoh Islam klasik seperti Imam al-Ghazali dan Ibn Khaldun, kekuatan negara tidak hanya terletak pada kuasa politik tetapi pada keadilan, amanah dan pengurusan yang etikal.
Ibn Khaldun menegaskan ketamadunan akan runtuh apabila pentadbiran dikuasai kepentingan peribadi dan kehilangan keikhlasan.
Tokoh pengurusan moden seperti Peter Drucker pula mengingatkan culture eats strategy for breakfast (budaya mengatasi strategi). Tanpa perubahan budaya kerja dan nilai dalam perkhidmatan awam, sebarang pelan reformasi akan lumpuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2022 menyebut “Reformasi ini bukan hanya tentang menukar kerajaan, tetapi menukar budaya kerja, sistem nilai dan keberanian untuk membetulkan kerosakan yang lama dibiarkan berakar.”
TRUKTUR BAHARU PENYAMPAIAN DASAR
Reformasi tidak semestinya bermula dengan pindaan undang-undang besar-besaran. Ia boleh dimulakan melalui penstrukturan semula sistem penyampaian dasar – dari bawah ke atas, dengan memberi autonomi kepada pegawai lapangan menyesuaikan pelaksanaan dasar mengikut konteks setempat.
Sebagai contoh, keberhasilan Sejati Madani tidak boleh hanya diukur pada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tetapi kepekaan pegawai terhadap realiti sosial. Ini memerlukan wujudnya budaya semak dan imbang, audit sosial serta pelibatan rakyat secara bermakna dalam ekosistem tadbir urus.
Jika inisiatif akar umbi ini dinilai secara jujur, yang baik diangkat dan yang lemah diperbaiki, kita boleh mengelak dari terlepas peluang penting untuk membuktikan reformasi bukan khayalan.
Dalam kerangka tadbir urus moden, kelestarian bukan hanya tentang alam sekitar tetapi tentang keupayaan institusi untuk bertahan, berubah dan beradaptasi. Keterangkuman pula bukan sekadar membenarkan suara pembangkang di Parlimen, tetapi juga memberi ruang kepada suara rakyat daripada mahasiswa, guru, petani hingga usahawan kecil untuk turut membentuk dasar.
DARI NARATIF KE TINDAKAN
Jika kita benar-benar mahu menjadi negara yang berdaya saing, bermaruah dan inklusif sebagaimana yang dicita dalam Malaysia Madani maka reformasi tidak boleh dilihat sebagai retorik. Ia mesti menjadi kenyataan yang dapat dilihat, dirasai melangkaui bicara dari podium ke podium.
Gagasan Madani menuntut bukan sekadar pelan tindakan tetapi perubahan nilai dan keberanian untuk memperbetul apa yang telah lama dibiarkan. Dan isyarat perubahan itu kini sudah ada – dari bawah.
Peringkat atasan perlu segera menyambutnya. Jangan hanya menuntut kesetiaan, tetapi tunjukkan kepercayaan. Kerana akhirnya, reformasi bukan milik tokoh atau parti. Ia milik rakyat – mereka yang mengharapkan sistem yang lebih adil dan cekap.
Yang diperlukan kini bukan sekadar masa atau pelan strategik tetapi keberanian untuk mendengar, berubah dan memimpin — dari bawah bersama rakyat, bukan dari atas dengan arahan.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah daripada Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










