SABAN tahun sambutan Hari Belia menjadi titik pertemuan penting antara dasar kerajaan dan suara generasi muda. Namun, di sebalik sorakan persembahan kebudayaan dan kempen semangat yang kerap mewarnai sambutan ini, timbul persoalan utama iaitu adakah kita benar-benar mendengar dan mengangkat suara belia atau sekadar meraikannya secara simbolik semata-mata?
Dalam era pasca-pandemik dan cabaran geopolitik yang semakin kompleks, golongan belia bukan sahaja perlu dilibatkan tetapi diberdayakan secara konkrit. Dalam erti kata lain, belia bukan sekadar ‘masa hadapan negara’, tetapi mereka pemegang taruh masa kini yang wajar diberi kuasa untuk menyumbang kepada dasar dan hala tuju negara.
Penglibatan belia: Antara retorik dan realiti
Hari ini, hampir setiap kementerian dan agensi mempunyai pelan tindakan belia masing-masing. Namun begitu, ketelusan pelaksanaan, pemantauan impak dan ruang sebenar untuk belia membuat keputusan masih kabur. Ini menimbulkan tanggapan yang belia sering dijadikan pelengkap kosmetik dalam pelan dasar didominasi kelompok dewasa secara majoritinya.
Lebih membimbangkan, kadar pengangguran dalam kalangan belia masih tinggi sekitar 10.6 peratus, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2024. Dalam masa sama, isu keterjaminan ekonomi, kesihatan mental dan jurang peluang pekerjaan masih membelenggu ramai belia luar bandar dan pinggir kota.
Meskipun kerajaan telah memulakan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif bermula 2025 termasuk peruntukan RM200 juta dan insentif kenaikan gaji sekurang-kurangnya enam peratus setahun bagi pekerja berpendapatan rendah namun, data menunjukkan lebih 50 peratus pekerja formal masih menerima gaji di bawah paras RM3,047 sebulan.
Ini menggambarkan realiti belia terus bergelut di tengah peningkatan kos sara hidup, dengan permulaan kerjaya yang tidak selari dengan tahap pendidikan dan kemahiran.
Dalam suasana politik yang semakin celaru, belia juga sering dipandang sebagai pengundi mudah dipengaruhi, bukannya warga negara yang matang dan rasional.
Maka, di sinilah kerajaan dan institusi negara perlu memperbaiki lensa mereka terhadap golongan ini. Belia harus diiktiraf sebagai pemimpin bersama dalam pembinaan negara, bukan hanya penerima dasar.
Lantik senator belia seawal usia 18 tahun
Sempena Hari Belia Malaysia tahun ini, satu cadangan radikal yang wajar dipertimbangkan ialah memperkenalkan kuota pelantikan Senator Belia bermula usia 18 tahun bagi mengisi kerusi Dewan Negara dengan suara muda yang segar, kritikal dan mewakili realiti lapangan.
Langkah ini bukan sekadar simbolik, malah mempunyai asas yang kukuh dalam Perlembagaan. Mengikut Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan, tiada sebarang peruntukan yang menghalang seorang warganegara berumur 18 tahun daripada dilantik sebagai senator.
Had umur 30 tahun yang ditetapkan Akta Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) seharusnya menjadi garis panduan asas bahawa suara mereka perlu dibawa ke peringkat tertinggi pembuatan dasar negara.
Pelantikan Senator Belia boleh dibuat berasaskan merit, dengan memilih individu daripada kalangan aktivis masyarakat, pemimpin organisasi belia, wakil pelajar universiti atau mana- mana belia yang menunjukkan kecemerlangan dan sumbangan dalam komuniti mereka.
Kehadiran mereka di Dewan Negara bukan sahaja akan membawa aspirasi sebenar generasi muda, tetapi juga akan memperkukuh kepercayaan belia terhadap sistem demokrasi dan masa hadapan politik negara.
Apa yang lebih penting, pelantikan ini akan menjadi isyarat jelas bahawa kerajaan serius dalam membuka ruang institusi kepada kelompok yang selama ini hanya diarahkan untuk mengikut sistem tanpa pernah diberi kuasa untuk mempengaruhinya.
Ia harus dilihat sebagai kesinambungan kepada gerakan reformasi politik yang dimulakan menerusi pindaan umur mengundi kepada 18 tahun melalui gerakan Undi18. Jika seseorang belia sudah boleh mengundi dan bertanding pilihan raya pada usia 18 tahun, maka tiada justifikasi yang munasabah untuk terus menafikan peluang mereka ke kerusi Dewan Negara.
Cadangan ini juga bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa. Pada Mei lalu, Australia mencipta sejarah dengan melantik Charlotte Walker, seorang anak muda berusia 21 tahun, sebagai senator termuda, mewakili Australia Selatan.
Walker bukan datang daripada dunia elit politik tetapi daripada latar aktivisme akar umbi dan isu-isu rakyat marhaen, termasuk pendidikan dan kos sara hidup.
Di benua Afrika pula, Perlembagaan Kenya menetapkan setiap parti politik yang mempunyai perwakilan di Senat perlu mencalonkan dua orang senator belia, seorang lelaki dan seorang wanita bagi memastikan suara anak muda benar-benar hadir dalam sistem legislatif negara.
Jika Malaysia melangkah ke hadapan dengan pelantikan Senator Belia secara formal, negara ini berpotensi menjadi antara negara Islam dan Asia Tenggara terawal yang menginstitusikan representasi belia dalam dewan perundangan tertinggi secara tetap.
Ini akan mencerminkan komitmen Malaysia terhadap pembinaan struktur negara yang lebih demokratik, segar dan terbuka terhadap cabaran masa hadapan. Dalam era ketidaktentuan iklim, revolusi digital yang tidak seimbang, serta kecelaruan politik global, suara belia yang progresif, berwawasan dan peduli amat diperlukan untuk memperbaharui hala tuju negara.
Dewan Negara tidak boleh kekal sebagai ruang ‘simpanan politik’ untuk individu veteran semata-mata. Ia harus disuburkan dengan kepelbagaian suara termasuk daripada generasi muda yang melihat masa hadapan negara dengan perspektif yang berbeza, lebih berani dan tidak terikat pada kebiasaan lama.
Langkah-langkah seperti ini, jika digabungkan dengan pelantikan Senator Belia, akan menjadi anjakan paradigma ke arah memperkasa golongan muda secara berstruktur dan menyeluruh, bukan sekadar bersifat reaktif atau berpaksikan populariti semata-mata.
Ia juga akan menonjolkan Malaysia sebagai negara contoh kepada rantau ASEAN, apatah lagi selepas negara kita mempengerusikan ASEAN tahun ini.
Dengan keberanian politik dan iltizam yang jelas, Hari Belia boleh menjadi titik tolak kepada reformasi struktur sebenar. Belia bukan hanya pemilik masa hadapan tetapi mereka juga adalah arkitek masa kini yang wajar diberi ruang dan kuasa untuk membentuknya.
Masa hadapan ditentukan bersama
Sambutan Hari Belia tidak harus menjadi hari memperingati semangat belia yang lalu, tetapi menjadi titik tolak untuk memindahkan kuasa kepada belia hari ini.
Dalam dunia yang bergerak pantas dan dipacu cabaran baharu, negara ini memerlukan kepimpinan yang segar, inklusif dan berani malah semua ciri ini wujud dalam generasi muda kita.
Kerajaan perlu memulakan langkah dengan tindakan berani seperti pelantikan Senator Belia sebagai bukti kesungguhan untuk menjadikan belia bukan hanya pengikut, tetapi pemimpin bersama dalam pembinaan negara bangsa. Jika tidak sekarang, bila lagi?-UTUSAN
FADHLI Umar Aminolhuda merupakan pegawai khas kepada Menteri Kesihatan dan Exco Pemuda Amanah Nasional.










