EMAS ialah logam berharga yang bukan sahaja cantik dengan warna yang berkilau indah tetapi mempunyai banyak kegunaannya. Keinginan untuk mendapatkan emas mendorong manusia mengambil risiko besar dan meneroka dunia baharu yang belum pernah dijelajahi.
Bayangkan apabila tersebar berita tentang sebuah tempat yang dilimpahi dengan emas melimpah ruah banyaknya. Sudah tentu ramai yang terpesona dan mahu melihat sendiri keajaiban itu dengan tujuan mendapatkan khazanah berharga tersebut.
Inilah gambaran yang boleh diberikan tentang betapa besarnya tarikan legenda El Dorado. Sehingga hari ia masih diperkatakan dan diperdebatkan, khususnya dalam kalangan mereka yang meminati kisah misteri daripada tamadun silam.
Malahan, tidak kurang juga yang masih menyimpan impian untuk mencari tempat tersebut dan seterusnya memiliki emas yang diceritakan itu.
Sekitar abad ke-16 dan ke-17, ramai penjelajah Eropah terpesona dengan legenda El Dorado, lantas berlumba-lumba berusaha untuk mencari tempat yang kaya dengan emas ini.
Mereka sanggup bergadai nyawa menempuh perjalanan jauh merentasi lautan luas dan marabahaya semata-mata kerana ingin mencari bandar emas yang hilang, dipercayai terletak di Amerika Selatan.
Walaupun pada hari ini, sejarah ketamadunan orang-orang Muiska kurang dikenali masyarakat dunia berbanding tamadun lain seperti Aztek dan Inka, tetapi ia tidak kurang pentingnya kepada kuasa-kuasa besar Eropah pada ketika itu.
Malah, kepentingannya terserlah kerana tamadun inilah yang membawa kepada lahirnya legenda El Dorado. Legenda ini dikatakan berasal daripada cerita yang didengar oleh penjelajah Sepanyol tentang kehidupan orang-orang Muiska yang tinggal di banjaran pergunungan Andes, di kawasan yang pada hari ini dikenali sebagai Bogota.
Banyak bukti sejarah menunjukkan emas memainkan peranan penting dalam ritual dan kehidupan seharian orang-orang Muiska, khasnya dalam upacara-upacara penting mereka. Di antaranya adalah ritual penting yang dilakukan di Tasik Guatavita setiap kali bermulanya pemerintahan ketua baharu.
Sehingga hari ini, tasik yang terletak di timur laut Bogota itu masih menjadi tempat suci kepada orang-orang Muiska.
Namun begitu, kini tiada lagi upacara menabur emas ke dalam tasik tersebut seperti yang dilakukan dalam ritual pada zaman dahulu.
Dua minggu lalu, saya akhirnya menjejakkan kaki di bumi Colombia setelah melalui perjalanan lebih 30 jam melalui Dubai dan Miami. Namun, tujuan saya membuat perjalanan yang panjang ini bukanlah untuk mencari emas atau El Dorado, tetapi bagi menghadiri persidangan EduWiki 2025. Persidangan itu diadakan di Hotel Tequendama Bogota yang sangat ikonik dan bersejarah itu.

PULANG DENGAN ILMU
Saat pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa El Dorado di Bogota merupakan kenangan yang sangat bermakna kerana tidak menyangka akan sampai ke benua Amerika Selatan pada ketika masih berada di universiti.
Sudah lama saya mengagumi sejarah tamadun orang-oang Muiska yang berpusat di Bacatá atau kini dinamakan Bogota. Banyak elemen menarik tentang cara hidup mereka yang berbeza berbanding corak perkembangan tamadun-tamadun lain di Amerika Selatan, termasuk di kawasan pergunungan Andes.
Terletak di dataran tinggi banjaran pergunungan Andes dalam kawasan yang dikenali sebagai savana Bogota, ibu negara Colombia ini berada pada ketinggian 2,640 meter di atas paras laut dan merupakan salah sebuah ibu kota tertinggi di dunia.
Ini pengalaman pertama saya menyertai persidangan EduWiki. Ia menjadi lebih bermakna kerana saya diberi peluang membuat pembentangan pada hari pertama persidangan, di mana saya bercakap tentang usaha komuniversiti yang dipelopori di Malaysia dan kini sedang diamalkan di institusi-institusi luar negara termasuk dari benua lain.
Sungguhpun majoriti peserta persidangan ini terdiri daripada mereka yang lebih dewasa dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing, namun mereka menerima kehadiran saya dengan tangan terbuka. Malah, mereka tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman.
Oleh itu, walaupun tidak mencari emas, namun saya membawa pulang ilmu yang amat tinggi harganya, sehebat nilai emas yang di cari dalam legenda El Dorado.
Setelah dua hari tekun mengikuti pembentangan dan perbincangan di dewan persidangan, tiba saatnya kami dibawa melawat Museo del Oro atau Muzium Emas Bogota yang terletak di tengah-tengah bandar raya tersebut.
Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil dan lawatan diketuai oleh pegawai yang memberi penerangan tentang sejarah artifak yang dipamerkan. Walaupun sudah membaca tentang keistimewaan koleksi luar biasa di muzium tersebut, namun saya tidak bersedia untuk menerima kejutan yang begitu besar tatkala melangkah masuk ke dewan pamerannya.
Bayangkan kehebatan Museo del Oro yang mempunyai 34,000 artifak yang diperbuat daripada emas. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan takjub apabila dikelilingi koleksi artifak yang bergemerlapan dan tidak ternilai harganya.
Bukan sahaja kilauan cahaya keemasannya yang membuatkan saya terpegun, tetapi amat kagum melihat betapa halus dan terperincinya setiap hasil kerja tangan mereka.
Menariknya, bagi masyarakat Muiska, walaupun emas dihargai sebagai sesuatu yang istimewa, mereka tidak melihatnya sebagai sumber utama ekonomi, bukan seperti kebanyakan tamadun lain. Oleh itu, mereka lebih banyak menggunakan emas untuk tujuan mencantikkan barangan kerana rupanya yang berkilau dan menawan.
Lebih-lebih lagi apabila mereka percaya terdapat keistimewaan spiritual di sebalik emas. Kerana itu mereka sering menyalut barangan seperti tulang dengan emas atau menggabungkan emas dengan logam lain. Hasil seni yang dipamerkan benar-benar membuat kita menghargai kemahiran seni mereka yang begitu halus dan rapi.
Mungkin inilah suasananya sebuah tempat yang dipenuhi emas seperti yang digambarkan dalam legenda El Dorado.
Tidak hairanlah apabila muzium ini diberi pengiktirafan oleh majalah National Geographic pada 2018 sebagai salah sebuah muzium terbaik dalam sejarah dunia.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










