JURUTERA masa kini bukan sahaja perlu mahir dalam aspek teknikal, malah keupayaan memahami pengurusan lestari (sustainability management) kerana ia semakin menjadi keperluan kritikal dalam menghadapi peralihan ke arah ekonomi hijau.
Mereka bakal memainkan peranan yang signifikan dalam memacu pembangunan ekonomi negara, sambil memastikan keseimbangan antara kemajuan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial terus terpelihara.
Ini kerana ekonomi hijau menekankan penggunaan sumber yang cekap, tenaga boleh diperbaharui serta amalan organisasi mesra alam menjerumuskan kepada tuntutan terhadap jurutera mahir pengurusan lestari.
Ia diperlukan bukan sahaja untuk membangunkan teknologi hijau serta pengurusan sumber tenaga yang berkesan, malah bertanggungjawab memastikan pematuhan kepada piawaian alam sekitar seperti ISO14001 dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Justeru, institusi pendidikan tinggi (IPT) bertanggungjawab memastikan mahasiswa diterapkan dengan nilai kelestarian dalam membina kesedaran terhadap alam sekitar pada masa hadapan sepanjang pengajiannya di universiti.
Kesedaran terhadap alam sekitar itu turut merangkumi faktor sosial dan pertumbuhan ekonomi yang sudah pun didasarkan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menerusi Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2015 yang mempunyai 17 matlamat untuk dicapai menjelang tahun 2030.
Matlamat Bandar dan Komuniti Mampan (SDG-11) bertujuan menjadikan bandar dan penempatan manusia sebagai menyeluruh, selamat, berdaya tahan dan mampan. Pembinaan lestari, rawatan air dan rawatan sisa pepejal merupakan antara bidang tumpuan yang diberi perhatian dalam pengurusan lestari.
Justeru, antara pembangunan-pembangunan ekonomi hijau yang dilaksanakan adalah seperti pembinaan loji insinerator di Selangor dan Johor bagi menggantikan tapak pelupusan sampah sedia ada yang tidak lagi mampan untuk menampung peningkatan pelupusan sisa namun dalam masa sama mampu membekalkan tenaga bersih dan boleh diperbaharui.
Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) yang diwartakan pada 20 Jun 2024 mampu mengatasi masalah isu enap cemar dan penurunan kualiti sumber air.
Teluk Gong menjadi kawasan perindustrian pertama di Selangor yang melaksanakan ZDP secara penuh, sekali gus menjadi model kawalan pencemaran industri yang mampan. Ia merupakan strategi jangka panjang kerajaan Selangor dalam mengawal pencemaran sumber air daripada aktiviti industri selaras dengan Peraturan-peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian serta Kemasukan dan Pelesenan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024 bagi memastikan tiada pelepasan buangan secara langsung ke alam sekitar.
Selain itu, initiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) oleh kerajaan Selangor bukan sahaja untuk menangani pencemaran, tetapi merupakan sebahagian pelan jangka panjang Selangor bagi menjamin kelangsungan bekalan air mentah dalam menghadapi perubahan iklim dan musim kemarau.
Satu daripada 17 matlamat SDG, iaitu yang keempat (SDG4) adalah memastikan pendidikan berkualiti yang menyeluruh serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat yang menjadi asas kepada kewujudan pembangunan lestari.
Oleh demikian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sebuah universiti awam terbesar di Malaysia pastinya tidak boleh terlepas daripada bertanggungjawab memastikan agenda pembangunan lestari diintegrasikan dalam program yang ditawarkan kepada pelajar.
Sehubungan itu, kursus Pengurusan Lestari dalam program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Kepujian) diperkenalkan selaras dengan usaha untuk mendidik dan memupuk kesedaran generasi muda mengenai peranan mustahak mereka dalam meningkatkan kemampanan alam sekitar.
Industri kini mencari graduan yang bukan sahaja mahir teknikal tetapi berupaya menyumbang kepada kelestarian operasi organisasi. Justeru, kursus ini memberi nilai tambah kepada graduan UiTM kerana mereka bukan sahaja dapat bekerja dalam sektor tenaga dan teknologi, tetapi juga dapat menjadi pemangkin dalam membentuk hala tuju pengurusan lestari di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
Dalam usaha melahirkan jurutera yang beretika dan lestari, kursus Pengurusan Lestari diperkenalkan kepada mahasiswa semester tiga dengan dua jam kredit, bertujuan memberikan kefahaman mendalam mengenai prinsip-prinsip asas kelestarian dan pengurusan merujuk kepada alam sekitar, sosial, ekonomi dan tadbir urus.
Kursus ini mendedahkan pelajar kepada kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif dengan menerapkan elemen pengurusan lestari selari dengan agenda nasional dan dunia.
Ia memberikan pendedahan bagaimana peranan mereka menekankan pendekatan strategik kepada pengurusan lestari dan meneroka bagaimana keputusan beretika memberi kesan kepada perkembangan organisasi. Selain itu, ia turut menyediakan mahasiswa dengan pengalaman pembelajaran kerja kursus yang menggabungkan konsep lestari serta mampan ke dalam amalan tadbir urus, polisi, budaya kerja, kejuruteraan dan teknologi.
Dengan penguasaan pengurusan lestari, graduan lebih bersedia untuk menyumbang kepada industri yang berorientasikan ekonomi hijau. Mereka mampu berperanan dalam sektor perancangan tenaga lestari, penyelidikan teknologi hijau, serta pembangunan sistem tenaga pintar.
Itu membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk tenaga boleh diperbaharui, automasi pintar, pertanian pintar, kejuruteraan sistem tenaga yang lebih cekap, kawalan air, sisa dan pencemaran.
Selain itu, dengan permintaan tinggi global terhadap jurutera yang memahami aspek kelestarian, graduan UiTM tentunya berkelebihan dalam pasaran kerja antarabangsa. Mereka berpotensi menjadi usahawan dalam bidang teknologi lestari, membangunkan produk dan perkhidmatan yang menyokong inisiatif tenaga hijau dan kecekapan sumber.
ASET BERHARGA
Pengenalan kursus Pengurusan Lestari dalam program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Elektrik dan Elektrikal dengan Kepujian di UiTM adalah satu langkah bijak dalam memastikan graduan bersedia menghadapi cabaran industri moden yang semakin berorientasikan kelestarian dan mampan.
Dengan gabungan kemahiran teknikal dan pemahaman mendalam mengenai prinsip pengurusan lestari, graduan UiTM akan menjadi aset berharga dalam membentuk masa hadapan yang lebih lestari bagi negara dan dunia.
Jurutera pengurusan lestari memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekonomi hijau organisasi dengan memastikan penggunaan teknologi yang lestari, mengurangkan jejak karbon, serta memacu inovasi dalam tenaga boleh diperbaharui.
Dengan perkembangan industri yang semakin menekankan kelestarian, kehadiran jurutera pengurusan lestari akan menjadi aset penting dalam membentuk masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mahanijah Md. Kamal ialah Ketua Penyelidikan Institusi Pejabat Transformasi Universiti Teknologi Mara (UiTM).










