Industri pertahanan kuasa ekonomi baharu negara

Industri pertahanan kuasa ekonomi baharu negara

INTEGRASI kecerdasan buatan (AI) bukan sekadar soal teknologi, tetapi juga soal kesiapsiagaan manusia untuk menerima perubahan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Industri pertahanan tidak lagi hanya berkisar soal keselamatan dan ketenteraan semata-mata. Sebaliknya, ia semakin diiktiraf sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara, yakni sebuah kuasa ekonomi baharu yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan nasional secara menyeluruh.

Dalam konteks industri pertahanan, perancangan ekonomi negara membuka ruang strategik untuk pembangunan sektor ini sebagai sebahagian daripada transformasi ekonomi negara, khususnya melalui pelaburan dalam teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), peningkatan keupayaan tempatan, pemacuan sektor berimpak tinggi yang menyumbang kepada ketahanan strategik serta ekonomi jangka panjang.

IMPAK TINGGI
Malaysia kini berada di ambang transformasi industri pertahanan. Walaupun belum mencapai tahap matang, usaha memperkukuh ekosistem pertahanan semakin jelas.

Sektor ini dikenal pasti berpotensi tinggi untuk mendorong pembangunan teknologi, memperkasa industri tempatan dan menjana pekerjaan bernilai tinggi, sejajar dengan keutamaan negara dalam fasa pembangunan ekonomi berasaskan inovasi serta teknologi.

Malaysia mula membina keupayaan dalam bidang seperti aeroangkasa, pembuatan komponen dan sistem komunikasi taktikal.

Pelaburan dalam teknologi tempatan bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada import yang terdedah kepada risiko geopolitik dan turun naik pasaran global malah memperkukuh kedaulatan negara secara menyeluruh.

LIMPAHAN EKONOMI
Pelaburan dalam industri pertahanan tidak boleh disalah tafsir sebagai beban fiskal. Namun hakikatnya, sektor ini dilihat sebagai salah satu penjana limpahan kekayaan ekonomi melalui kesan percikan kepada pelbagai sektor lain seperti pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan sumber manusia.

Akademia dan institusi penyelidikan mampu bersama-sama menjadi pemangkin penciptaan modal insan dan aktiviti R&D, yang akhirnya menyumbang kepada ekosistem inovasi nasional yang mampan.

Industri pertahanan harus dilihat sebagai instrumen penting dalam menjamin ketahanan ekonomi dalam lanskap baharu global dan ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan global.

Pertahanan kini merangkumi keupayaan negara untuk bertindak balas terhadap krisis, mengekalkan kestabilan dan memastikan kelangsungan pembangunan. Pembangunan rantaian nilai tempatan dan pengukuhan kapasiti industri kritikal adalah ruang yang perlu diberikan pembangunan dan pendekatan yang berterusan.

Namun begitu, industri pertahanan negara masih berdepan cabaran seperti ketergantungan kepada teknologi asing, kekurangan tenaga pakar tempatan, dan kekangan pembiayaan R&D yang memerlukan pelaburan bernilai tinggi. Justeru, penyelarasan yang kukuh antara kerajaan, industri dan akademia penting untuk membina ekosistem yang lestari dan berdaya saing tinggi.

Inisiatif ini perlu diarusperdanakan dalam pelaksanaan pelan ekonomi negara agar sektor ini tidak lagi beroperasi secara terasing.

Malaysia masih dalam fasa membina kapasiti jika dibandingkan negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.

Namun, kelebihan kompetitif negara termasuk kestabilan institusi, bakat tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kapasiti akademik yang progresif, boleh menjadi asas lonjakan yang besar kepada sektor ini.

Apa yang perlu ialah iltizam politik dan pelaburan berterusan dalam rangka kerja jangka panjang yang menyeluruh.

Pengalaman negara maju membuktikan industri pertahanan bukan sekadar pelindung kedaulatan, tetapi juga pemacu ekonomi nasional.

Contohnya, Amerika Syarikat (AS) menggunakan industri pertahanan sebagai sumber pekerjaan dan inovasi teknologi, dengan syarikat seperti Lockheed Martin dan Raytheon menjana impak besar kepada ekonomi domestik dan eksport.

Korea Selatan menjadikan industri pertahanan sebagai sebahagian strategi ekonomi negara; mengeksport peralatan dan membina keupayaan tempatan menerusi syarikat seperti Hanwha dan KAI.

Turkiye melabur secara agresif dalam industri pertahanan tempatan seperti ASELSAN dan Baykar, serta membina keupayaan eksport ke negara membangun.

Perancis pula menjalankan dasar strategik dengan menekankan kesinambungan inovasi serta kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia melalui syarikat seperti Dassault dan Naval Group.

Antara faktor kejayaan negara-negara ini yang boleh dijadikan panduan termasuk pelaburan jangka panjang dalam R&D pertahanan, dasar perolehan yang menyokong dan memihak kepada pembangunan industri tempatan, kerjasama erat antara kerajaan, industri serta institusi akademik, selain penyertaan aktif dalam pasaran eksport peralatan dan teknologi pertahanan.

Industri pertahanan bukan lagi hanya berperanan dalam memelihara keselamatan negara, tetapi juga sebagai pemacu ekonomi berimpak tinggi yang seharusnya diterokai dengan lebih serius dalam mendepani abad ke-21 yang sarat cabaran.

Pemerkasaan industri pertahanan memerlukan kerjasama padu antara kerajaan, industri dan masyarakat untuk menjamin daya saing ekonomi, ketahanan nasional serta kedaulatan masa hadapan negara.

Industri pertahanan dilihat sebagai katalis kepada pemangkin ekonomi dan berpotensi untuk muncul sebagai kuasa ekonomi baharu Malaysia yang unggul. – UTUSAN

DR. Nur Surayya Mohd. Saudi ialah Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN