MALAYSIA kini sedang melangkah ke arah transformasi digital yang mendalam, dengan kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan utama dalam mengubah sistem pejabat tradisional.
Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan usaha negara untuk bersaing di peringkat global tetapi juga komitmen terhadap kecekapan dan kelestarian dalam pengurusan kerja.
Namun, persoalan utama sejauh mana kita bersedia menghadapi perubahan yang kompleks ini.
Dalam sistem pejabat moden, AI membuka peluang baharu untuk automasi, analisis data pintar dan peningkatan produktiviti. Teknologi seperti pengecaman aksara optik (OCR) membolehkan dokumen fizikal ditukar kepada format digital dengan pantas, manakala aplikasi chatbot pula menggantikan kaunter pertanyaan tradisional dengan jawapan yang cepat dan konsisten.
Walau bagaimanapun, laporan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada 2024 menunjukkan hanya 58 peratus organisasi di negara ini mengadaptasi teknologi AI dan hanya 30 peratus tenaga kerja merasa yakin menggunakannya. Data ini mencerminkan jurang besar antara pengenalan teknologi dan penerimaan pekerja terhadap perubahan ini.
MALAYSIA KE ARAH DUNIA AI
Malaysia kini berada di landasan yang kukuh dalam merealisasikan transformasi digital melalui integrasi AI dalam sistem pejabat dan perkhidmatan awam. Langkah ini disokong pelbagai inisiatif kerajaan menekankan kepentingan AI dalam meningkatkan kecekapan dan keselamatan perkhidmatan.
Sebagai contoh, pada 19 Mei lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan dua inisiatif utama dalam pengurusan bandar pintar iaitu penggunaan teknologi kembar digital dan sistem pengurusan trafik berkuasa AI.
Inisiatif kembar digital membolehkan simulasi masa nyata untuk perancangan bandar yang lebih efektif, manakala sistem pengurusan trafik AI membantu mengoptimumkan aliran trafik dan mengesan insiden secara masa nyata, sekali gus mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Pada 19 Mei 2025, Malaysia secara rasmi melancarkan Infrastruktur Strategik Kecerdasan Buatan, bertujuan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan dan penggunaan teknologi AI di peringkat serantau.
Di peringkat dasar, Belanjawan 2025 memperuntukkan RM10 juta untuk penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di bawah MyDIGITAL Corporation. NAIO berperanan sebagai pihak berkuasa pusat yang menyelaras dan melaksanakan strategi AI negara melalui Pelan Tindakan Teknologi
AI 2026–2030. Inisiatif ini juga termasuk cadangan penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN, menandakan komitmen Malaysia terhadap pembangunan AI yang selamat dan beretika di rantau ini.
Dalam perbahasan Parlimen pada 4 Februari lalu, isu pembangunan dan penerimagunaan AI secara beretika serta mampan di Malaysia turut dibangkitkan. Kementerian Digital, melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan, menekankan kepentingan memastikan penggunaan AI yang selamat dan beretika dalam semua sektor.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan langkah mengintegrasikan teknologi AI secara berperingkat dalam semua jabatan dan agensinya. Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan AI mampu meningkatkan integriti dan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap kepada rakyat.
Inisiatif sektor swasta juga memainkan peranan penting dalam memperkasa rakyat Malaysia dengan kemahiran AI. Sebagai contoh, pada 10 Disember 2024, Microsoft melancarkan inisiatif AI Untuk Masa Hadapan Malaysia (AIForMYFuture) bertujuan untuk melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran AI menjelang penghujung tahun ini.
Inisiatif ini menyokong usaha kerajaan dalam menggalakkan tenaga kerja Malaysia menambah ilmu dan menguasai kemahiran baharu serta memastikan penghasilan bakat yang mantap bagi pekerjaan berkaitan AI.
Dengan pelbagai inisiatif dan sokongan dari sektor awam dan swasta, Malaysia menunjukkan komitmen yang kukuh dalam mengintegrasikan AI ke dalam sistem pejabat dan perkhidmatan awam. Namun, kejayaan transformasi ini bergantung kepada kesediaan semua pihak untuk menerima perubahan, meningkatkan kemahiran dan memastikan penggunaan teknologi yang beretika dan selamat.
RISIKO KESELAMATAN
Cabaran utama dalam pelaksanaan AI termasuk kebimbangan terhadap keselamatan data dan kehilangan pekerjaan akibat automasi. Serangan siber di Malaysia meningkat sebanyak 15 peratus sejak 2023, menurut laporan CyberSecurity Malaysia, sekali gus menonjolkan kelemahan dalam perlindungan sistem digital.
Pada masa sama, isu pematuhan terhadap undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) menjadi fokus dalam memastikan data pengguna dilindungi dengan baik.
Kebocoran data daripada sistem pejabat digital menjadi isu hangat di Parlimen, menimbulkan persoalan mengenai kesediaan organisasi untuk melindungi privasi pengguna.
JURANG DIGITAL BANDAR DAN LUAR BANDAR
Kawasan luar bandar yang masih mengalami akses internet terhad menjadikan pelaksanaan sistem pejabat digital kurang menyeluruh. Isu ini menjadi semakin mendesak apabila Pelan Transformasi Digital Negara menyasarkan inklusiviti dalam penerapan teknologi AI di semua lapisan masyarakat.
PENYESUAIAN BUDAYA KERJA
Cabaran budaya kerja memerlukan tenaga kerja untuk menyesuaikan diri dengan peranan baharu dalam era AI. Laporan Jabatan Tenaga Kerja Malaysia 2023 menunjukkan hanya 25 peratus pekerja memiliki kemahiran digital tahap sederhana hingga tinggi. Ini menyerlahkan keperluan untuk melabur dalam program latihan yang dapat meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan mengurangkan kebimbangan terhadap kehilangan pekerjaan.
Kesatuan pekerja juga kerap menyuarakan kebimbangan ini, menyeru majikan untuk melatih semula pekerja dalam peranan yang lebih relevan.
MASA HADAPAN
Integrasi AI dalam sistem pejabat memerlukan pendekatan strategik dan berperingkat pada masa hadapan. Organisasi perlu bermula dengan aplikasi asas seperti automasi jadual kerja sebelum melangkah ke aplikasi yang lebih kompleks.
Majikan juga harus menggalakkan dialog terbuka dengan pekerja untuk mengurangkan kebimbangan mereka dan menyesuaikan budaya organisasi dengan perubahan teknologi.
Pematuhan kepada undang-undang dan pengukuhan keselamatan data perlu menjadi keutamaan untuk membina keyakinan pengguna.
Integrasi AI bukan sekadar soal teknologi, tetapi juga soal kesiapsiagaan manusia untuk menerima perubahan ini. Seperti yang diramalkan oleh laporan Perbadanan Data Antarabangsa 2024, 70 peratus organisasi di Asia Tenggara dijangka sepenuhnya bergantung kepada AI menjelang 2030.
Dengan pendekatan strategik, Malaysia bukan sahaja mampu bersaing tetapi juga menjadi peneraju dalam transformasi sistem pejabat berasaskan AI di rantau ini.
Persoalannya kini, adakah kita hanya ingin menjadi pengikut, atau kita bersedia untuk menjadi pencetus perubahan? – UTUSAN
DR. Raja Mayang Delima Mohd. Beta ialah Pensyarah Kanan Pengurusan Sistem Pejabat Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Negeri Sembilan.










