Bagaimana melaksana ‘sistem selamat’ di jalan raya - Utusan Malaysia

Bagaimana melaksana ‘sistem selamat’ di jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nahas tragik melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini amat menyayat hati dan pada masa sama menimbulkan kemarahan banyak pihak yang melihat Malaysia masih gagal menangani masalah keselamatan bas.

Walaupun fokus kepada masalah keselamatan jalan raya ni amat ketara dan membuak apabila berlaku nahas bas yang melibatkan kematian yang tinggi, sebenarnya setiap hari secara purata 16 hingga18 orang menjadi mangsa dan telah hilang nyawa di atas jalan raya.

Inilah situasi keselamatan jalan raya Malaysia. Kita masih belum dapat mengubah tren peningkatan kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya. Hanya semasa Covid-19 sahaja, Malaysia melihat penurunan signifikan dalam tempoh 20 tahun lepas.

Setiap kali kemalangan berprofil tinggi berlaku, pelbagai pihak memberi saranan dan pihak bertanggungjawab menyatakan keputusan dan tindakan yang diperlukan.

Jika diteliti, ada juga saranan berulang. Ini menunjukkan sama ada: keputusan dibuat terdahulu tidak dilaksanakan; dilakukan tetapi tidak berkesan; ataupun tidak wujud keupayaan untuk memastikan kelestarian impak positif yang dihajati.

Mari kita kupas kemalangan bas di Grik minggu lepas menggunakan pendekatan Sistem Selamat dan kemudian akan diketengahkan cadangan yang wajar diambil untuk memberi nafas baharu dalam memberi perubahan tren positif terhadap prestasi keselamatan jalan raya Malaysia

Apa yang diketahui mengenai kemalangan ini? Sebuah bas hilang kawalan dan akibatnya rebah ke sisi kiri bas. Akibatnya 15 mangsa kehilangan nyawa dan ramai lagi yang cedera.

Mengapa bas hilang kawalan? Lazimnya aktiviti rekonstruksi kemalangan akan dilakukan oleh pakar dan akan cuba menganggar konfigurasi nahas sebelum dan selepas insiden. Walaupun pengiraan dan anggaran selalu menggunakan bukti fizikal dan pemodelan dinamika pelanggaran, dalam hal ini, sebuah video yang menggambarkan insiden itu wujud dan dikongsi luas di media sosial.

Kita boleh lihat bas itu memotong pada kelajuan tinggi di selekoh dan kemungkinan situasi turun bukit dan hasilnya terus hilang kawalan dan terseret, melanggar penghadang jalan dan akhirnya rebah ke sisi kiri.

Mengapa bas memotong pada kelajuan tinggi di kawasan berbahaya? Adakah faktor kenderaan, atau faktor manusia atau gabungan kedua-duanya? Adakah faktor jalan juga mempunyai peranan? Pendekatan sistem selamat diperlukan untuk memahami persoalan ini dan yang lebih penting untuk mencari penyelesaian berkesan.

Dari perspektif kenderaan, bagaimana keadaan bas: Adakah bas dalam keadaan baik dan selamat untuk membuat perjalanan jauh di kawasan yang mempunyai risiko di jalan raya? Ini termasuk, keadaan tayar, brek dan lain-lain. Siapa yang memastikan bas ini selamat setiap kali sebelum perjalanan bermula? Pemandu? Syarikat bas? Atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab.

Dari perspektif manusia: Adakah pemandu kompeten, dan mempunyai ciri-ciri yang memahami risiko dan meletakkan keselamatan penumpang sebagai keutamaan. Mematuhi had kelajuan, pastikan tidak mengantuk, dan aspek pemanduan selamat sentiasa diutamakan. Siapa yang akan pastikan pemandu menepati ciri keselamatan yang diperlukan. Syarikat, industri bas ataupun pihak berkuasa yang bertanggungjawab?

Dari perspektif jalan dan infrastruktur: Adakah jalan di kawasan berisiko tinggi seperti lokasi nahas ini direka bentuk dan disenggara dengan baik untuk memastikan ia selamat dan juga memaafkan? Selamat supaya risiko di jalan raya dikurangkan, contohnya keadaan permukaan jalan yang dalam keadaan baik supaya tayar mencengkam dan proses membrek berperanan.

Di sini gabungan kenderaan dan jalan berperanan. Cukupkah intervensi seperti garisan berkembar, papan had laju, perabot jalan lain yang membantu mengurangkan kelajuan dan memberi peringatan?

Semua persoalan di atas menunjukkan keselamatan jalan raya adalah gabungan satu sistem kompleks yang saling memberi kesan antara satu sama lain. Inilah sebabnya mengapa penyelesaian masalah keselamatan jalan raya memerlukan pendekatan ‘Sistem Selamat’ dan tidak boleh dilaksanakan secara terpisah dalam silo yang wujud akibat sistem organisasi yang terpisah.

Penyelesaiannya memerlukan governan yang cekap dan berkesan. Sistem tadbir urus yang diperlukan ini memerlukan semua komponen dalam sebuah sistem selamat melihat peranan masing-masing dan berfikir sebagai satu sistem yang berintegrasi, tanpa memikirkan isu populariti, isu KPI atau keperluan lain yang sering memasukkan kita dalam silo.

Mari kita senaraikan siapa pemain utama dalam situasi sistem selamat ini antaranya Kementerian Pengangkutan, Agensi Pengangkutan Awam Darat, Polis , Jabatan Kerja Raya, pihak konsesi jalan sebagai tuan punya jalan, syarikat bas dan industri bas, penumpang dan pengguna, pihak yang bertanggungjawab untuk perancangan kewangan dan sumber negara dan pihak yang bertanggungjawab untuk menyediakan sumber manusia yang mencukupi dan kompeten untuk industri bas.

Pendapat saya, semua pihak di atas perlu menilai keberkesanan peranan masing-masing dan bagaimana pendekatan sistem selamat betul-betul dilaksanakan. Setiap nyawa yang hilang dan setiap kesengsaraan menjadi penanda kepada kegagalan salah satu dari pemain di atas.

Oleh itu sebagai penutup, berikut adalah rumusan yang boleh dibuat:

1.Setiap nahas jalan raya sebenarnya bukan sahaja satu kemalangan, tetapi adalah hasil kepada kegagalan entiti entiti dalam sistem selamat. Ini bermakna ia perlu diurus dengan lebih baik supaya kebarangkalian kemalangan berlaku boleh dikurangkan dan akibat nahas dapat dikurangkan keseriusannya

2.Pendekatan pengurusan keselamatan jalan raya benar benar memerlukan “the whole of nation approach” dan Malaysia perlu mencari formula baharu kerana jelas pendekatan amalan semasa telah gagal

3.Aspek governan, tadbir urus dan tata kelola perlu dilihat secara menyeluruh. Perlu ada peneraju, tetapi semua pihak perlu bergerak dalam satu pasukan yang bersinergi

4.Oleh kerana keselamatan jalan raya melibatkan pengguna dan pengendali yang melibatkan manusia, aspek pengurusan kelakuan melalui kerangka perundangan perlu memberi hasil yang dikehendaki. Ini termasuk penguatkuasaan berkesan yang bukan sahaja meliputi aspek di jalan raya tetapi juga hukuman dan insentif.

Di sini sistem demerit memainkan peranan penting. Pendekatan yang tidak berubah tidak akan menyelesaikan masalah yang sama. Oleh itu, Malaysia perlu mencari kaedah transformatif dalam mengubah tren keselamatan jalan raya semasa.

Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah ialah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN