ASEAN perlu suntikan nafas baharu

ASEAN perlu suntikan nafas baharu

DEKLARASI Kuala Lumpur perlu lebih berani untuk bebas daripada norma dan pendekatan konvensional, dan terus mengorak langkah untuk mencorak masa depan dan jaminan baharu ASEAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMETERAIAN Deklarasi Kuala Lumpur menandakan komitmen baharu blok serantau dalam menangani cabaran global dan membentuk masa depan yang lebih mampan. Namun deklarasi ini lebih berfokus kepada cabaran dan ancaman bukan konvensional seperti impak perubahan iklim, kerjasama ekonomi, pemerkasaan hubungan sosio-budaya dan antara manusia, pembangunan sektor teknologi dan ekonomi berlandaskan masa depan termasuk ekonomi digital, ekonomi hijau, peralihan tenaga, kelestarian dan kesaksamaan.

Kesemua ini menjadi teras yang dilihat dapat meraih sokongan dan penglibatan menyeluruh kesemua anggota ASEAN dan dijadikan sebagai medan pemupukan kepercayaan dan perpaduan dan solidariti serantau.

Ini selari dengan pendirian Malaysia untuk merapatkan jurang pembangunan, mengatasi kemelut perpecahan dalaman, memacu integrasi serantau dan pelaburan dan perdagangan dalaman ASEAN, serta mengangkat darjat ASEAN sebagai kuasa besar baharu global secara bersepakat dalam potensi ekonomi dan kuasa langsung dalam memainkan peranan lebih mendalam dalam isu dan konflik global termasuk perang tarif, konflik Timur Tengah dan kepincangan cabaran perubahan geopolitik baharu.

Rencana 20 tahun menjadi ruang platform yang sukar untuk dikekalkan potensinya walaupun persediaan rapi diadakan.

Dalam sektor transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik, semua ini akan menyaksikan perubahan pantas yang akan menjadikan rencana yang dirancang sekarang mungkin akan menjadi tidak relevan dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, bahkan dalam masa 20 tahun. Jadi, tindakan untuk mengadakan semakan pelan strategik dalam setiap tempoh masa yang telah dikenal pasti menjadi platform penting untuk mengekalkan momentum dan kesungguhan bersama dalam terus mendepani perubahan dan ancaman baharu.

Malaysia perlu dilihat sebagai pelopor dan penggerak kepada usaha untuk memartabatkan ASEAN dengan cerminan kejayaan Malaysia itu sendiri dalam lakaran wadah baharu kuasa ekonomi dan geopolitik sebagai kuasa tengah yang boleh bertindak sebagai pengaruh baharu di arena persaingan kuasa dan ekonomi serantau dan dunia.

Namun demikian, kemelut utama cabaran konvensional dari segi pertikaian di Laut China Selatan dan juga sistem cegah rintang dalam menangkis ancaman dari luar rantau termasuk ancaman dan impak negatif pertikaian kuasa dan perlumbaan senjata serta dilema keselamatan masih tidak menemui jalan penyelesaian atau model baharu di bawah deklarasi ini.

Deklarasi kali ini dilihat tidak banyak perubahan dari segi kekuatan asas, tapi banyak perubahan dan pengubahsuaian mengikut perkembangan terkini dan juga sandaran dan tuntutan masa depan yang berlainan dengan dekad sebelum ini.

Ini termasuk sektor digital baharu dan struktur ekonomi yang berlainan, dan keperluan untuk memperkasa keyakinan, kepercayaan dan keterangkuman baharu rantau ini.

Namun, ketiadaan daya cegah berkesan dalam bentuk pakatan pertahanan dan keselamatan fizikal yang jelas berbeza dengan jaminan keselamatan Eropah melalui NATO mengundang peningkatan konsentrasi kuasa di rantau ini.

ASEAN tidak memiliki desakan seperti Eropah, yang pernah melalui keperitan peperangan dan penderitaan sehingga mampu bergabung menubuhkan institusi dan tadbir urus lebih kukuh bagi mencegah konflik masa depan.

Selagi ASEAN bergantung pada sokongan luar dalam bidang ketenteraan, ekonomi dan pasaran, konsep berkecuali tidak akan memberikan pulangan yang diinginkan.

Perubahan Dinamika Kuasa
Sebagai entiti ekonomi kolektif, ASEAN tidak menunjukkan tawaran atau asas ekonomi kukuh, bahkan menjelang 2050. Purata pendapatan per kapita di ASEAN sekitar AS$5,300 dengan KDNK gabungan kira-kira AS$4 trilion, jauh di belakang China dan Amerika Syarikat (AS), dan hampir menyamai jumlah import tahunan AS sahaja.

Dari sudut demografi, meskipun memiliki populasi sekitar 650 juta, tenaga kerja masa depan dan golongan muda ASEAN juga akan perlahan seiring proses penuaan rantau ini.

Rantau ini masih terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana dan perpecahan dalaman—ekonomi, politik, geografi terus memaksanya bergantung kepada sumber luar untuk pelaburan, teknologi dan keperluan keselamatan.

Walaupun ASEAN meningkatkan usaha untuk menarik sokongan BRICS, GCC dan Global South, tanpa kekuatan dan kemampuan pertahanan kendiri, ASEAN tetap bergantung di bawah payung keselamatan AS.

Realiti geografi, China sebagai jiran terkuat ASEAN menjadi faktor paling mendesak yang memaksa ASEAN mengekalkan model berkecuali.

Model usang ini tidak lagi berkesan; tatkala China kini terperangkap dalam “perangkap masa” ke atas perbandingan kuasanya, ASEAN makin terdedah kepada konflik.

Ancaman Konflik Baharu
Sekalipun berpegang pada sifat berkecuali, ASEAN tetap akan terseret dalam konflik baharu, dan akan menjadi sasaran mudah kesan konflik akan datang termasuk potensi konflik di Taiwan. Malah, negara anggota secara individu berpotensi melangkaui ASEAN demi kelangsungan sendiri, di mana mereka sedar ASEAN tidak menyediakan “payung keselamatan”.

Ini akan mengundang risiko penurunan fokus dan keinginan Washington untuk menjamin kelestarian ekonomi dan keselamatan rantau ini sekiranya ASEAN terus bertegas dengan percaturan strategik dengan polisinya yang dilihat lemah dan lebih memihak kepada China dari segi perlindungan dan tindak balas tarif dan juga sandaran teknologi dan kewangan dan sistem pelaburan terhadap Beijing.

Penurunan kadar fokus dan kuasa Washington di rantau ini akan mengundang pengaruh dan cengkaman kuasa ketenteraan dan ekonomi yang lebih mendalam oleh Beijing, dan ini akan menjadikan kepentingan dan hak negara anggota ASEAN lebih terancam dan terdedah.

Pendekatan lama ASEAN tidak lagi relevan, dan persaingan dan bentuk kuasa baharu akan menuntut percaturan baharu yang mementingkan kepentingan untuk mendapatkan jaminan keselamatan dan cegah rintang berkesan untuk menghindari konflik.

Pendekatan yang digunakan sekarang adalah berkisarkan kepada sandaran diplomasi, dialog dan penggunaan mekanisme seperti perjanjian persahabatan dan kerjasama (TAC) untuk mencegah konflik, dan juga mengekang kuasa Beijing, tapi kesemua ini jelas gagal untuk mencapai sasarannya. Konflik dan risiko masih tinggi, dan aktiviti yang melanggar norma dan undang-undang antarabangsa di Laut China Selatan masih menjadi ancaman besar kepada rantau.

Sememangnya Deklarasi Kuala Lumpur perlu lebih berani untuk bebas daripada norma dan pendekatan konvensional, dan terus mengorak langkah untuk mencorak masa depan dan jaminan baharu ASEAN dengan tidak lagi berpaksikan kepada model kepusatan dan neutraliti ASEAN, dan bertindak untuk mendapatkan jaminan keselamatan ekonomi dan ketenteraan baharu yang boleh menjamin masa depan rantau ini.

Pilihan sepenuhnya di tangan ASEAN, membentuk norma dan polisi baharu untuk tidak lagi bergantung kepada pendekatan lama, atau terheret ke dalam kancah risiko konflik baharu yang akan mengancam kelangsungan rantau.

COLLINS CHONG YEW KEAT ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Malaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN