Keadaan di Asia Barat sekarang masih lagi rapuh. Perang antara Iran dan Israel telah membawa kepada keadaan tidak menentu di rantau itu. Israel yang memulakan serangan seminggu lalu atas alasan untuk memusnahkan program percambahan nuklear Iran telah dibalas secara bertubi-tubi oleh roket pelancar Tehran.
Setakat ini, Tehran nampaknya mengalami jumlah korban yang besar jika dibandingkan oleh rejim Tel Aviv. Keadaan kemusnahan dialami oleh Israel sukar untuk disahkan akibat daripada kawalan laporan media oleh rejim Tel Aviv.
Namun, Tehran mempunyai kelebihan dan keuntungan politik. Masyarakat antarabangsa lebih menunjukkan rasa simpati terhadap Iran yang dilihat sebagai mangsa kepada kerakusan ketenteraan Israel.
Persoalan yang wujud adakah perang yang lebih besar akan tercetus jika Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Trump mengambil keputusan untuk bersama Israel? Setakat ini Trump masih berteka-teki mengenai tindakan yang akan diambil. Pemerhati politik antarabangsa masih lagi berbelah bagi mengenai tindakan lanjut yang akan diambil Trump – bersama Israel memerangi Iran atau menggunakan saluran diplomasi meredakan untuk keadaan.
Penglibatan secara langsung AS dalam perang Iran-Israel akan mengheret kuasa-kuasa besar lainnya untuk terlibat. Rusia sebagai rakan sekutu utama dan juga pembekal utama senjata kepada Iran, tidak akan berdiam diri.
Pentadbiran Presiden Putin telah mengkritik tindakan Israel dan pada masa sama berusaha menggunakan saluran diplomatik untuk cuba menyelesaikan keadaan. Namun berdasarkan Perjanjian Perkongsian Strategik Iran-Rusia yang ditandatangani pada Januari lalu, kedua-dua negara mempunyai kerjasama lebih rapat dalam bantuan ketenteraan serta pertukaran maklumat.
Kedua-dua negara adalah ahli kepada Pertubuhan Perjanjian Shanghai- satu tindakan yang diketuai oleh China dan Rusia bagi mengimbangi pengaruh kuasa-kuasa Barat dan AS. Rusia juga mahu melantunkan semula kritikan Barat ke atas tindakannya menyerang Ukraine.
Tindakan Rusia terhadap Ukraine disifatkan oleh AS dan kuasa Eropah sebagai satu penjajahan kuasa besar terhadap sebuah negara yang berdaulat. Bagi Kremlin, tindakan sekutu AS-Israel juga melanggar undang-undang antarabangsa. Iran, tanpa ancaman provokasi, telah diserang kerana tuduhan yang belum dibuktikan – Tehran sedang membangunkan senjata nuklear.
Apa yang menarik Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),sebuah badan bebas di bawah sistem Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mengesahkan berdasarkan pemeriksaan terhadap loji nuklear Iran, masih tidak ada tanda-tanda bahawa Tehran sedang membangunkan senjata nuklear. Namun, agensi tersebut juga mengatakan masih menunggu beberapa laporan dari Iran mengenai program percambahan nuklearnya terutamanya di loji Fordow.
Media antarabangsa pro-Israel seperti CNN dan BBC pula, cuba mengheret China dalam kancah perang Iran-Israel. Teknologi ketenteraan Rusia yang dimiliki Iran dikatakan ketinggalan zaman dan tidak berupaya menyaingi China. Mereka menjangkakan China telah menjalankan tindakan rahsia membekalkan Iran dengan pelbagai peralatan ketenteraan.
Mereka merasakan kemenangan Israel dalam perang ini akan memaksa Iran untuk cuba mendapatkan bantuan sistem pertahanan udara China yang sebelum ini berkesan dalam serangan India terhadap Pakistan baru-baru ini. Pesawat tempur China J-35 yang dikeluarkan oleh AVIC Shenyang berjaya memintas pesawat Rafale buatan Perancis dalam konflik di Kashmir Mei lalu.
Media Barat juga menuduh China membekalkan beribu-ribu tan ammonium perchlorate untuk peluru berpandu balistik Tehran. Ia adalah bahan api pepejal enjin penting yang digunakan dalam peluru berpandu paling canggih Iran. Peluru berpandu jarak dekat ini juga digunakan sekutu Iran – Houthi di Yaman. Sehingga kini Iran dan Houthi Yaman dikatakan mempunyai sehingga 800 Peluru berpandu ini.
Bagi pentadbiran Trump, beberapa pertimbangan perlu diambil kira sebelum tindakan selanjutnya diambil. Trump harus memikirkan sentimen bukan sahaja masyarakat antarabangsa tetapi juga rakyat AS yang semakin menolak penglibatan AS dalam peperangan yang tidak membabitkannya secara langsung.
Trump juga harus memikirkan tekanan politik daripada rakyatnya. Tindakannya terhadap beberapa universiti kerana enggan mengikut telunjuk dasar anti-Palestinnya menyebabkan sokongan rakyat AS terhadap pentadbirannya menurun.
Trump harus mengotakan janji pilihan raya – American First – dalam memastikan AS tidak terlibat dalam konflik dunia yang tidak membabitkannya. Masyarakat dunia, bagaimanapun, tahu kesukaran utama Trump adalah lobi Yahudi yang menguasai sistem pentadbiran AS. Tanpa bantuan kewangan pelobi Yahudi ini, Trump tidak akan berupaya menduduki kerusi presiden AS kali kedua.
AS sebenarnya menjadi tunggangan politik rejim Tel Aviv. Netanyahu sebelum ini telah membohongi pentadbiran Bush dengan menyerang Iraq atas alasan bahawa pentadbiran Saddam Hussein telah mempunyai keupayaan senjata nuklear.
Nampaknya alasan yang sama digunakan oleh Netanyahu untuk mempengaruhi Trump. Oleh itu, adalah tidak mustahil Trump akan terperangkap dengan manipulasi Netanyahu untuk turut serta dalam perang Israel terhadap Iran.
Jika Trump mengambil keputusan untuk sama-sama berperang melawan Iran, maka dunia akan berhadapan perang yang lebih besar, Rusia dan China tidak akan berdiam diri. Adakah Perang Dunia Ketiga akan berlaku? Masyarakat antarabangsa lebih mengharapkan penyelesaian diplomasi sebagai pendekatan terbaik dalam sengketa ini.
PROF. Dr. Kamarulnizam Abdullah ialah Felo Utama, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).