TEHERAN: Iran menandatangani satu perjanjian rahsia bernilai 500 juta euro (RM2.3 bilion) dengan Russia untuk memperoleh ribuan peluru berpandu canggih, lapor akhbar Financial Times (FT) memetik dokumen bocor serta sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Menurut laporan itu, kontrak senjata berkenaan dimeterai di Moscow pada Disember tahun lalu yang menetapkan Moscow membekalkan sebanyak 500 unit pelancar Sistem Pertahanan Udara Mudah Alih (MANPADS) jenis Verba serta 2,500 peluru berpandu darat ke udara 9M336 kepada Iran dalam tempoh tiga tahun.
Pendedahan mengenai perjanjian peluru berpandu rahsia itu muncul ketika ketegangan meningkat di tengah rundingan nuklear berterusan antara Washington dan Teheran, dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekali lagi mengancam tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Kedua-dua negara dijadualkan mengadakan satu lagi pusingan rundingan nuklear di Geneva, Switzerland pada 26 Februari ini.
Akhbar itu melaporkan, perjanjian itu dirundingkan antara pengeksport senjata milik kerajaan Russia, Rosoboronexport dan wakil Kementerian Pertahanan serta Logistik Angkatan Tentera Iran (MODAFL).
Iran secara rasmi dilaporkan membuat permintaan bagi sistem peluru berpandu tersebut pada Julai 2025, susulan serangan AS dan Israel pada Jun tahun sama.
Perkhidmatan Perisikan Luar Ukraine sebelum ini melaporkan pada Ogos tahun lalu, Iran mendapatkan bantuan Belarus bagi memulihkan sistem pertahanan udara dan peperangan elektroniknya yang rosak selepas peningkatan ketegangan dengan Israel.
Mengikut jadual penghantaran yang ditetapkan dalam perjanjian itu, Iran akan menerima senjata yang dijanjikan dalam tiga fasa antara 2027 hingga 2029.
Russia dan Iran memperkukuh kerjasama sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Teheran membekalkan dron serta peralatan ketenteraan lain yang digunakan tentera Moscow dalam peperangan menentang Ukraine.
Kedua-dua negara turut mengadakan latihan tentera laut bersama di Teluk Oman dan utara Lautan Hindi pada 19 Februari lalu, ketika laporan menyebut Tentera AS mengerahkan kapal-kapal perang bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan. – AGENSI










