Tujuh maut van tenggelam selepas permukaan ais pecah - Utusan Malaysia

Tujuh maut van tenggelam selepas permukaan ais pecah

SEBUAH van tenggelam di dalam tasik paling dalam di dunia. - Foto Anadolu/Getty Images
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Tujuh pelancong warga China maut selepas van persiaran yang dinaiki mereka tenggelam selepas permukaan ais Tasik Baikal yang paling dalam di dunia pecah di Siberia. 

Van yang membawa lapan penumpang itu sedang melalui tasik tersebut sebelum kenderaan itu tenggelam sepenuhnya ke dalam air yang mencecah suhu sejuk beku, Jumaat lalu.

Rakaman video yang tular menunjukkan saat-saat mencemaskan selepas kemalangan itu berlaku.

Seorang mangsa yang terselamat cuba keluar dari van  itu manakala  sekumpulan pelancong lain hanya mampu melihat dengan penuh ngeri tanpa dapat berbuat apa-apa.

Tragedi itu meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang maut bersama ibu bapanya. 

Lima lagi mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai tiga wanita berusia 28 tahun dan dua lagi mangsa masing-masing berusia 31 serta 40 tahun.

Pasukan penyelam kemudian mengeluarkan mayat-mayat mangsa dari kedalaman kira-kira 18 meter.

Pemandu van itu, Nikolay Dorzheev, 44, kini dituduh menggunakan ‘laluan ais’ di atas permukaan tasik yang sebenarnya telah ditutup kepada umum. 

Dia didakwa mengabaikan amaran bahaya mengenai rekahan ais yang serius di kawasan tersebut.

Siasatan mendedahkan pemandu dan isterinya mengendalikan siri jelajah yang meneroka budaya di wilayah itu. Malah, terdapat laporan menyatakan van yang digunakan dalam kejadian itu tidak didaftarkan secara rasmi.

Pihak berkuasa Russia menyatakan bahawa pelancong seolah-olah menempah maut apabila mereka menaiki kenderaan  di atas permukaan ais yang tidak stabil.

Tasik Baikal merupakan Tapak Warisan Dunia seperti diumumkan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan (UNESCO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia yang terletak dekat Mongolia adalah destinasi popular dalam kalangan  pelancong, khususnya dari China, untuk aktiviti meluncur ais, mendaki dan bermain ski semasa musim sejuk. 

Tasik itu mempunyai kedalaman melebihi 1,500 meter dan menyimpan kira-kira 20 peratus bekalan air tawar dunia.

Siasatan lanjut kini dijalankan dengan mengambil keterangan daripada satu-satunya mangsa yang terselamat dan  balu kepada pemandu bas tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN