LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merupakan agensi kerajaan untuk meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar melalui program penempatan penduduk luar bandar yang miskin ke kawasan-kawasan baharu dibangunkan.
Peneroka yang dipilih merupakan dalam kalangan penduduk miskin dan tidak mempunyai tanah. Pembukaan tanah baharu dibangunkan untuk penempatan peneroka, menanam tanaman getah dan kelapa sawit beserta kemudahan asas, rumah, bekalan air bersih, sekolah, klinik selain infrastruktur lain.
Sehingga kini, Felda antara penyumbang penting kepada industri komoditi sawit dan getah negara.
Setelah hampir 70 tahun sumbangan agensi ini kepada ekonomi negara, generasi peneroka Felda sudah berubah dari segi pendidikan dan ekonomi sara hidup. Ramai generasi kedua dan ketiga sudah berjaya dan tinggal di luar rancangan Felda.
Lebih kurang 60 peratus daripada tiga juta warganya sudah tinggal di luar rancangan. Namun begitu masih ada yang tertinggal meneruskan kehidupan seperti peneroka biasa.
Golongan yang masih tinggal di rancangan Felda perlu terus diberikan perhatian dan membawa mereka bersama menyumbang kepada keperluan pembangunan negara.
Kemiskinan masyarakat Felda akan memberikan kesan kepada hasil penting komoditi negara atau kepelbagaian aktiviti pertanian.
Dalam dunia digital dan teknologi maklumat yang canggih sekarang, pemikiran warga Felda perlu berubah setanding dengan masyarakat lain, malah perlu lebih baik lagi. Ini kerana mereka mengalami perubahan yang lebih sistematik berbanding dengan masyarakat luar bandar lain.
Antara perkara penting yang masyarakat Felda boleh menyumbang kepada negara sambil meningkatkan ekonomi mereka ialah berkaitan kecukupan makanan.
Dalam keadaan negara yang tidak cukup bekalan makanan seperti telur, ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran, mereka boleh membantu. Mereka mempunyai kawasan untuk menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan.
Program khas membimbing mereka secara sistematik dan menggunakan teknologi tinggi perlu diadakan oleh pihak tertentu termasuk pengedaran dan pemasaran yang berkesan.
Perkara kedua ialah dengan meningkatkan hasil getah dan kelapa sawit melalui teknologi pertanian yang baik termasuk menanam benih yang berkualiti.
Amalan pertanian yang baik dengan pensijilan sesuai akan meningkatkan kebolehpasaran produk. Melalui pensijilan dan memenuhi standard tertentu, akan menarik minat dan keyakinan pembeli.
Bahkan produk Felda lebih meyakinkan apabila mengutamakan kelestarian alam sekitar dan menjamin ketahanan jangka panjang amalan pertanian. Sehubungan dengan itu, pembangunan bakat melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran dalam ladang getah mahupun kelapa sawit.
Ketiga, mungkin dengan mengamalkan ekonomi kitaran. Ekonomi kitaran adalah suatu yang baharu untuk kelestarian alam sekitar. Sumber kelapa sawit antara yang penting diketengahkan dalam kalangan generasi baharu peneroka Felda. Banyak produk yang boleh disenaraikan untuk ekonomi kitaran, daripada mula menyediakan tapak, menyemai benih, menanam anak kelapa sawit, menjaga dan membesarkan pokok sehinggalah pengilangan, mengeluarkan hasil dan menanam semula.
Semua ini boleh disenaraikan dengan lengkap dan menyatakan tindakan sesuai untuk menjadikan sumber ekonomi masyarakat di rancangan FELDA. Melalui program khas TVET di FELDA, kajian, kreativiti dan inovasi boleh dibangunkan dalam menjayakan ekonomi kitaran.
PENDIDIKAN DI SEKOLAH
Dalam usaha mencapai matlamat ini sekolah memainkan peranan penting dan kemudiannya disambung dengan program khas TVET. Kajian dan inovasi generasi muda boleh dimodelkan di sekolah.
Dengan penglibatan lebih daripada 300 buah sekolah melalui aktiviti kokurikulum dan modul yang berstruktur, pendedahan awal generasi akan datang dan mempengaruhi masyarakat Felda dalam mempelbagaikan pertanian dan inovasi produk dapat dijayakan.
Program ini bukan sahaja membangunkan bakat baharu yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, malah akan menimbulkan minat dalam rantaian usahawan berkaitan pertanian daripada sumber hinggalah mempelbagaikan dan kebolehpasaran produk.
Dalam era digital, masyarakat Felda juga perlu dilengkapkan dengan kemudahan dan liputan internet yang cekap untuk komunikasi dalam aktiviti pendidikan dan ekonomi.
Felda bersama FGV Holdings Bhd (FGV) melalui 430,632.12 hektar ladang peneroka dan 32, 950.93 hektar ladang Felda, boleh membantu menjayakan program pemerkasaan masyarakat rancangan Felda yang dicadangkan.
Lagipun agensi ini banyak menyumbang kepada pembangunan komoditi negara. Dalam industri sawit Felda dan FGV menyumbang penghasilan minyak sawit mentah sehingga 3 juta tan setahun, dengan dengan 45 peratus digunakan dalam industri makanan, isi rumah, restoran dan hotel.
Kejayaan Felda dan FGV dalam ekonomi negara sudah tentu mampu membawa masyarakat Felda kepada kelompok masyarakat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berpendapatan tinggi terutama berkaitan getah dan kelapa sawit serta kepelbagaian lain untuk keterjaminan makanan rakyat Malaysia.
Program khas perlu diadakan dalam masa terdekat dalam menghadapi kecelaruan ekonomi dunia dan keterjaminan makanan negara.
Melalui sistem yang sistematik akan dapat mengangkat martabat dan melonjakkan ekonomi kepada lebih 100, 0000 peneroka seluruh negara. Apatah lagi mereka dibantu dengan kemudahan sedia ada termasuk teknologi dan inovasi, bakat yang berpengetahuan serta berkemahiran tinggi. Ia bukan sahaja dalam membantu masyarakat Felda tetapi dalam masa sama memperkasakan ekonomi negara.
Seluruh jentera kerajaan dan pakar dalam industri ini mesti yakin dengan usaha kerajaan dalam melonjakan kualiti hidup masyarakat Felda sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, kesihatan mahupun alam sekitar.
Semua pihak mesti mengambil tindakan secara bersama merentas bidang dan organisasi dengan penuh integriti dan wawasan yang jelas.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










