EKONOMI Malaysia pada suku tahun pertama (ST1) 2025 menunjukkan prestasi yang secara amnya positif dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun.
Ini menandakan kesinambungan momentum pertumbuhan, walaupun terdapat sedikit penyederhanaan berbanding suku-suku sebelumnya pada 2024. Contohnya, 4.9 peratus pada ST4 2024. Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita mencapai RM54,690, menggambarkan peningkatan taraf hidup secara purata.
Aspek paling memberangsangkan adalah kestabilan harga. Indeks Harga Pengguna (IHP) berada pada kadar 1.5 peratus dan Inflasi Teras pada 1.8 peratus. Kadar inflasi yang rendah dan terkawal ini memberi kelegaan kepada pengguna dan menyokong kuasa beli domestik. Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan juga rendah pada satu peratus, menandakan tekanan kos minimum dari segi pengeluaran.
Prestasi sektoral ekonomi pada ST1 tahun ini memperlihatkan gambaran bercampur-aduk, dengan beberapa sektor cemerlang manakala yang lain bergelut. Secara jelas, sektor perkhidmatan kekal sebagai tunjang utama dan penyumbang paling signifikan kepada pertumbuhan KDNK sebanyak lima peratus kepada pertumbuhan KDNK keseluruhan. Kekuatan ini turut disokong pertumbuhan sihat dalam subsektor perdagangan borong dan runcit (4.3 peratus dari segi volum), mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan dan aktiviti domestik yang cergas. Ini menunjukkan perbelanjaan pengguna dan aktiviti berkaitan perkhidmatan terus menjadi enjin utama memacu ekonomi negara.
Sektor pembinaan turut mempamerkan prestasi yang sangat memberangsangkan dengan pertumbuhan terpantas sebanyak 14.2 peratus. Lonjakan ini menandakan aktiviti pembangunan infrastruktur dan hartanah yang rancak, berpotensi besar menjana kesan pengganda positif kepada rantaian ekonomi.
Sektor pembuatan juga mencatatkan pertumbuhan yang baik pada kadar 4.1 peratus, disokong peningkatan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) sebanyak 2.3 peratus, menyumbang secara positif kepada KDNK. Prestasi kedua-dua sektor ini adalah penting, namun sumbangan langsung sektor perkhidmatan kepada angka pertumbuhan KDNK keseluruhan menjadikannya pemacu yang paling dominan pada suku ini.
Walau bagaimanapun, prestasi sektor pertanian membimbangkan dengan pertumbuhan yang amat perlahan, hanya 0.6 peratus. Keadaan ini memerlukan perhatian serius kerana ia bukan sahaja penting untuk jaminan bekalan makanan negara tetapi juga untuk kesejahteraan ekonomi komuniti luar bandar.
Kelemahan produktiviti atau isu struktural dalam sektor ini boleh memberi kesan jangka panjang kepada imbangan dagangan makanan dan kos sara hidup. Lebih membimbangkan, sektor perlombongan dan pengkuarian mengalami penguncupan sebanyak -2.7 peratus.
Prestasi negatif ini memberi tekanan kepada KDNK keseluruhan dan mungkin disebabkan oleh faktor luaran seperti ketidaktentuan harga komoditi global atau isu pengeluaran domestik yang perlu dikenal pasti dan ditangani.
Dapatan ini menonjolkan kebergantungan ekonomi Malaysia kepada sektor perkhidmatan dan pembinaan. Walaupun ini adalah sumber kekuatan semasa, ia juga mendedahkan potensi risiko jika sektor-sektor ini mengalami tekanan. Pada masa yang sama, kelemahan ketara dalam sektor primer (pertanian dan perlombongan) memerlukan strategi intervensi yang berkesan untuk meningkatkan daya tahan, produktiviti dan sumbangan mereka kepada ekonomi. Ini penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang, mampan dan inklusif untuk jangka masa panjang.
Prestasi Sektor Luaran
Sektor luaran Malaysia pada ST1 2025 mempamerkan prestasi yang amat memberangsangkan dan menjadi sauh kekuatan ekonomi negara. Kejayaan ini jelas terbukti melalui lebihan dagangan yang besar, mencecah RM41.0 bilion, didorong oleh pertumbuhan eksport sebanyak 4.4 peratus (RM378.4 bilion) yang mengatasi peningkatan import yang lebih sederhana pada 2.8 peratus (RM337.4 bilion). Lebihan dagangan yang signifikan ini secara langsung menyumbang kepada lebihan akaun semasa yang kukuh sebanyak RM16.7 bilion, bersamaan 3.4 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
Angka ini bukan sahaja menunjukkan kestabilan ekonomi makro yang baik tetapi juga menggambarkan daya saing produk Malaysia di pasaran antarabangsa. Di samping itu, keyakinan pelabur asing terhadap prospek ekonomi Malaysia turut terserlah melalui kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM15.6 bilion, yang penting untuk pemindahan teknologi, penjanaan pekerjaan dan pembentukan modal.
Walaupun prestasi semasa sektor luaran ini amat positif, adalah penting untuk menganalisis secara lebih halus potensi impaknya daripada dinamika perdagangan global, khususnya dasar tarif Amerika Syarikat (AS). Dasar tarif AS berpotensi menjadi “pedang bermata dua” kepada sektor luaran Malaysia dan seterusnya kepada pertumbuhan KDNK negara.
Sekiranya AS mengenakan atau meningkatkan tarif ke atas barangan import dari Malaysia, ia akan menjadikan produk Malaysia lebih mahal dan kurang kompetitif di pasaran AS. Ini boleh menyebabkan penurunan permintaan eksport, yang seterusnya akan mengurangkan sumbangan eksport bersih kepada KDNK dan melambatkan pertumbuhan ekonomi keseluruhan.
Jika tarif AS dikenakan ke atas negara-negara yang merupakan pembekal input penting kepada industri eksport Malaysia misalnya, komponen dari China, ia boleh meningkatkan kos pengeluaran bagi syarikat Malaysia. Peningkatan kos ini sama ada akan mengurangkan margin keuntungan atau terpaksa dipindahkan kepada harga eksport yang akhirnya menjejaskan daya saing.
Sekiranya tarif AS lebih disasarkan kepada negara pesaing utama Malaysia misalnya China, ia boleh mewujudkan peluang lencongan perdagangan. Syarikat-syarikat AS mungkin mencari sumber alternatif bagi produk yang dikenakan tarif dan Malaysia berpotensi untuk mengisi kekosongan ini, terutamanya dalam sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), perabot atau produk getah. Peningkatan eksport ke AS melalui lencongan perdagangan ini boleh memberi rangsangan positif kepada KDNK.
Walaupun lencongan perdagangan boleh menawarkan kelebihan jangka pendek, ia bukanlah satu strategi yang mampan untuk pertumbuhan jangka panjang. Kebergantungan kepada lencongan perdagangan mendedahkan Malaysia kepada perubahan dasar yang tidak menentu. Risiko yang lebih signifikan adalah potensi kelembapan ekonomi global akibat ketegangan perdagangan yang berpanjangan.
Sektor luaran Malaysia, walaupun kini kukuh, perlu sentiasa proaktif dalam mempelbagaikan pasaran eksport, meningkatkan rantaian nilai produk dan mengukuhkan daya tahan terhadap kejutan luaran. Keterbukaan ekonomi Malaysia bermakna sebarang perubahan signifikan dalam dasar perdagangan kuasa besar seperti AS pasti akan memberi kesan riak dan sejauh mana kesannya bergantung kepada sasaran tarif, magnitudnya dan keupayaan Malaysia untuk menyesuaikan diri dan mencari peluang baharu. Tanpa strategi mitigasi yang berkesan, sebarang kesan negatif yang ketara daripada dasar tarif
AS akan secara langsung mengancam momentum pertumbuhan KDNK Malaysia. – UTUSAN
ABU Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank, Universiti Utara Malaysia dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.










