Telur tidak lagi disuap, industri perlu belajar berdikari

Telur tidak lagi disuap, industri perlu belajar berdikari

Kerajaan akan melaksanakan langkah penstrukturan semula subsidi telur ayam bermula esok sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa secara lebih lestari dan berimpak tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS Ogos 2025, harga telur di pasaran dijangka mengalami perubahan besar berikutan penamatan sepenuhnya subsidi telur ayam yang disalurkan oleh kerajaan untuk menampung kos pengeluaran.

Langkah ini diambil selepas kerajaan membelanjakan hampir RM2.5 bilion sejak pandemik Covid-19 untuk menangani lonjakan kos pengeluaran akibat kenaikan harga makanan ternakan dan gangguan bekalan global.

Penamatan subsidi ini memberi kesan besar kepada struktur kos pengeluar telur, terutamanya kepada pengeluar kecil yang kurang cekap dan berdaya saing.

Secara purata, kos pengeluaran sebiji telur berada antara 48 sen hingga 58 sen, dengan 76.2 peratus daripada kos ini disumbangkan oleh makanan ternakan.

Subsidi kerajaan sebelum ini membantu menampung kos ini, tetapi kini subsidi tersebut dikurangkan kepada 5 sen pada April lalu dan akan dihentikan sepenuhnya pada Ogos nanti.

Tanpa subsidi, margin keuntungan pengeluar dijangka mengecil. Hanya syarikat besar yang memiliki kecekapan operasi dan skala ekonomi akan mampu bertahan.

Pengeluar lain disaran mencontohi syarikat yang berjaya, seperti RIF Farm, yang menghasilkan makanan ayam sendiri untuk menurunkan kos pengeluaran.

 

STRATEGI ADAPTASI INDUSTRI TELUR PASCA SUBSIDI
Pengeluar perlu beradaptasi dengan perubahan ini. Rantaian bekalan telur yang melibatkan produk mudah rosak memerlukan pengurusan yang cekap. Teknologi automasi, internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) adalah pelaburan penting untuk meningkatkan kecekapan.

Sebagai contoh, ladang Chop Cheong Bee Sdn. Bhd. (CCB) di Alor Gajah, Melaka menggunakan sistem berasaskan IoT dan AI untuk memantau kesihatan ayam, pengambilan makanan serta pengurusan ladang, yang membantu mengurangkan pembaziran selain meningkatkan kecekapan tenaga kerja.

Pengeluar boleh menyesuaikan pelaburan teknologi mengikut kemampuan dengan menggunakan sensor suhu, automasi penyusuan mahupun analitik data untuk ramalan permintaan.

Selain itu, kerjasama antara pengeluar, terutama melalui koperasi boleh menurunkan kos melalui perkongsian infrastruktur dan pembelian pukal. Langkah ini dapat memperkukuh daya tahan industri dalam menghadapi pasaran terbuka.

Pengeluar juga boleh meneroka diversifikasi produk seperti telur kampung atau telur organik. Pengeluar juga boleh memanfaatkan saluran jualan digital atau perjanjian bekalan jangka panjang dengan pasar raya.

Dengan penjenamaan dan pensijilan halal dan organik, produk telur juga dapat menambah nilai di mata pengguna yang semakin mementingkan kualiti serta sumber produk.

 

SOKONGAN KERAJAAN
Walaupun subsidi ditamatkan, sokongan daripada kerajaan tetap penting. Ini termasuk geran transformasi teknologi untuk pengeluar kecil dan sederhana, penstabilan harga input seperti makanan ayam melalui skim import pukal serta peluasan program jualan seperti Agro Madani dan Jualan Rahmah. Ini bagi memudahkan pengguna dan pengeluar menyesuaikan diri dengan perubahan ini.

Isu kebergantungan terhadap barangan import terutamanya makanan ternakan ayam juga menjadi cabaran utama. Pakar ekonomi, Dr. Barjoyai Bardai menyatakan keselamatan makanan negara akan terjejas selagi Malaysia terus bergantung kepada import.

Peningkatan kapasiti pengeluaran domestik adalah keperluan mendesak. Ladang berskala besar dengan teknologi moden dapat menyumbang kepada kestabilan bekalan domestik tetapi peluang juga boleh diwujudkan untuk ladang kecil melalui insentif pemodenan dan kerjasama dengan pelabur strategik.

Menjelang 2026, permintaan telur dijangka mencecah 599,000 metrik tan, menunjukkan prospek yang cerah untuk industri telur Malaysia. Namun, kelangsungan industri bergantung kepada keberanian pengeluar untuk berubah, berinovasi dan menyesuaikan diri dengan cabaran pasca subsidi.

Tanpa subsidi, industri telur kini diuji keupayaannya untuk berdikari. Yang bersedia akan bertahan. Yang leka mungkin terkubur bersama sejarah bantuan lampau.

Semua pihak daripada pengeluar, pengedar, penggubal dasar hinggalah pengguna perlu berganding bahu untuk mengambil langkah proaktif, mengadaptasi teknologi, dan merancang diversifikasi produk serta kerjasama dalam rantaian bekalan.

Gabungan antara usaha industri dan sokongan kerajaan kunci kepada masa hadapan yang mampan dan berdaya saing.

Industri telur Malaysia kini berada di ambang perubahan struktur yang besar. Masa hadapan yang lebih mampan dan berdaya saing hanya akan dicapai oleh mereka yang berani keluar dari zon selesa dan sanggup melakukan transformasi secara menyeluruh.

Inilah masanya untuk seluruh ekosistem industri tampil dengan pendekatan baharu yang lebih cekap, lestari dan tahan uji.-UTUSAN

DR. Noor Aslinda Abu Seman ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN