‘DI MANA seni perubatan dicintai, di situ juga wujud cinta terhadap kemanusiaan.’ – Hippocrates.
Kerjaya dalam bidang kesihatan merupakan salah satu bidang yang sentiasa menjadi pilihan. Ini kerana bidang perubatan sentiasa berkait rapat dengan kemanusiaan.
Seiring peredaran zaman, kerjaya dalam bidang perubatan tidak lagi tertumpu kepada doktor semata-mata tetapi juga meliputi ahli farmasi, jururawat, ahli psikologi klinikal dan lain-lain lagi jawatan yang mempunyai peranan masing-masing dalam landskap perubatan sejagat.
Memandangkan bidang perubatan adalah suatu yang penting, persoalan yang sentiasa menjadi tanda tanya adalah sejauh manakah hak dan nasib ahli perubatan sebagai pekerja dijamin terpelihara?
Walaupun doktor atau petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) merupakan sebahagian daripada penjawat awam tetapi hak-hak asas dan universal pekerja semestinya boleh dijadikan rujukan dalam membincangkan hak mahupun kelebihan mereka.
Isu ini bukanlah melibatkan petugas kesihatan swasta yang mempunyai keadaan berbeza dengan petugas atau pegawai kesihatan di bawah KKM.
Pada 2024 lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyatakan sebanyak lebih 6,000 orang pegawai kesihatan KKM meletakan jawatan dalam tempoh lima tahun. Ia turut melibatkan 3,200 pegawai perubatan kontrak yang beralih ke jawatan tetap.
Tambah Menteri Kesihatan itu lagi, dalam statistik ini terdapat mereka yang berpindah ke bidang akademik.
Statistik ini sudah pasti memberikan kesan langsung kepada sektor kesihatan awam. Namun begitu, tidak dapat dinafikan ada kes-kes perletakan jawatan yang timbul kerana beban tugas dan tekanan yang dipikul oleh golongan doktor.
Perhatian masyarakat sememangnya akan dihalakan kepada isu ini memandangkan sektor kesihatan awam adalah signifikan kepada masyarakat. Kebanyakan rakyat Malaysia masih lagi menggunakan perkhidmatan kesihatan kerajaan. Ini berpunca daripada kelengkapan dan kepakaran yang ada, selain kos kesihatan yang disubsidikan oleh kerajaan menjadikan kos yang perlu ditanggung oleh rakyat terlalu rendah.
Lantaran itu, fasiliti KKM sentiasa menjadi pilihan utama masyarakat. Keadaan ini akan menjadikan bilangan pesakit yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan awam sentiasa ramai dan akan bertambah mengikut keadaan ekonomi semasa.
Peningkatan jumlah pesakit di fasiliti KKM sudah pasti akan memberikan tekanan tambahan kepada petugas-petugas kesihatan. Mereka perlu merawat dan memberikan perkhidmatan kepada pesakit dengan jumlah yang semakin bertambah sedangkan bilangan petugas kesihatan mencukupi.
Perkhidmatan serta rawatan masih lagi diberikan tetapi mungkin memakan masa menyebabkan fasiliti KKM dilihat tidak efisien sedangkan punca sebenarnya adalah bilangan pesakit melebihi jumlah petugas baik doktor, jururawat ataupun yang lain.
CARI JALAN KELUAR
Seorang doktor juga dikatakan terpaksa menjalankan kerja lebih masa dan sudah pasti akan berhadapan dengan masalah kekurangan rehat yang mencukupi. Ini tidak termasuk lagi soal persekitaran kerja yang dialami oleh petugas atau pegawai kesihatan KKM itu sendiri.
Justeru, intervensi kerajaan secara langsung sudah semestinya menjadi satu keperluan mustahak.
Tidak sukar untuk difahami peletakan jawatan doktor yang terlatih merupakan satu kerugian kepada sistem kesihatan awam. Ini kerana untuk menjadi seorang doktor terlatih memakan tempoh yang lama.
Kerana itu, perlu ada jalan keluar untuk mengurangkan beban dan tempoh masa bertugas bagi seseorang doktor untuk memastikan mereka mampu memberikan perkhidmatan terbaik.
Hakikatnya, setiap pekerjaan akan berhadapan dengan beban dan tekanan. Hal ini tidak dapat dinafikan. Setiap pekerjaan akan berhadapan dengan cabaran masing-masing. Akan tetapi isu pucuk yang perlu ditangani dan dijamin adalah kebajikan petugas-petugas kesihatan kerana pekerjaan ini berkait rapat dengan masyarakat khalayak.
Secara prinsipnya, rakyat tidak mahu beban tidak sepadan yang dialami petugas-petugas di fasiliti KKM menjadi punca ada dalam kalangan mereka berhenti kerja untuk beralih ke fasiliti swasta.
Lebih merugikan negara apabila doktor atau petugas kesihatan ini memilih untuk berkhidmat di luar negara. Ini sudah pasti satu kehilangan yang besar kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi ia akan memberi kesan secara tidak langusng yang akan dirasai masyarakat iaitu kekurangan doktor.
Dalam kita membicarakan soal hak pekerja secara umum, jangan dilupakan nasib pejuang-pejuang di institusi kesihatan yang berhadapan dengan seribu satu cabaran. Bakat-bakat mereka ini ditagih untuk memastikan perkhidmatan perubatan terbaik boleh diberikan kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, negara sudah pasti mahukan kemahiran dan kepakaran mereka terus kekal serta memberikan perkhidmatan terbaik. Persekitaran dan polisi kesihatan awam perlu lebih memberi fokus kepada kebajikan dan hak petugas kesihatan.
Jasa dan pengorbanan yang petugas kesihatan berikan tidak boleh hanya dihargai secara bermusim. Jangan dilupakan komitmen dan kerja keras mereka ketika negara dilanda musibah pandemik Covid-19. Merekalah yang menjadi benteng hadapan sistem kesihatan kita.-UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










