Naratif Pas untuk tutup kegagalan - Utusan Malaysia

Naratif Pas untuk tutup kegagalan

Perang bendera Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) di jalan utama di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, baru-baru ini. – MINGGUAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya membaca dengan teliti tulisan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang penuh dengan emosi dan sindiran terhadap UMNO berikutan kekalahan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning baru-baru ini.

Abdul Hadi tidak hanya menyerang lawan politik, tetapi memperdagangkan fitnah dan sentimen demi menutup kegagalan partinya. Tuduhan bahawa UMNO kini ‘mempersuci DAP’ merupakan satu naratif yang bukan sahaja tidak berasas, tetapi sangat ironi apabila datang daripada seorang yang pernah menjadi sahabat karib kepada DAP suatu ketika dahulu.

Sejarah tidak mudah dipadam. Masih segar dalam ingatan rakyat bagaimana Pas ketika berada dalam Pakatan Rakyat, bukan sahaja menyokong calon-calon DAP di kawasan majoriti Melayu, malahan turut menghalalkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, semata-mata untuk menjaga hati sekutunya ketika itu.

Malah, ada ketikanya Pas mengeluarkan arahan kepada ahli-ahli mereka mengundi DAP, atas nama tahaluf siyasi. Sebaliknya, UMNO tidak pernah berselindung dalam menyuarakan pendirian tegas terhadap mana-mana tindakan yang menyinggung sensitiviti umat Islam.

Dalam isu stoking yang terdapat kalimah Allah, UMNO segera tampil pantas menuntut tindakan dan penjelasan. Dalam isu cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia UNESCO, UMNO tidak teragak-agak menzahirkan bantahan demi menjaga hak dan sensitiviti orang Melayu.

Jadi, apabila tuduhan bahawa UMNO mempersuci DAP adalah hanya gerakan politik yang penuh sandiwara dan kelihatan Pas semakin hilang modal.

UMNO tahu membezakan antara kerjasama politik demi kestabilan negara ataupun memilih tunduk membuta tuli kepada rakan politik. UMNO tetap berpegang pada prinsip.
Perlu diingat bahawa Abdul Hadi juga cuba memutarbelitkan sejarah pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Beliau cuba menuduh UMNO menggadai prinsip.

Sedangkan fakta sebenar adalah, ketika negara buntu tanpa majoriti mutlak oleh mana-mana parti yang bertanding, Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya ditubuhkan Kerajaan Perpaduan. Titak itu adalah demi menjamin kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

UMNO menghormati titah tersebut serta akur kepada kebijaksanaan institusi Raja dan mendahulukan kesejahteraan negara. Sebaliknya, Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas, memilih untuk menolak nasihat Agong dan tetap berkeras mahu membentuk kerajaan sendiri.

Di sinilah rakyat dapat menilai parti manakah yang mendaulatkan institusi Raja, dan siapa yang sanggup membelakangkan titah demi merebut kuasa.

Sejak bersama dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO tidak mensia-siakan mandat yang diberikan. Kami memanfaatkannya untuk membela nasib bangsa dan agama secara konkrit, bukan sekadar retorik di pentas ceramah dan mencari populariti murahan.

Pelbagai dasar telah diperkenalkan termasuk dasar TVET yang membuka peluang kedua kepada anak muda Melayu. Dasar Tahfiz Negara 2.0 untuk melahirkan generasi profesional huffaz, serta pembiayaan RM800 juta kepada usahawan Bumiputera melalui MARA dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Malah, Belanjawan 2025 memperuntukkan RM2 bilion untuk hal ehwal Islam. Termasuk RM150 juta khusus kepada Sekolah Agama Rakyat dan institusi tahfiz. Ini semua hasil daripada kehadiran UMNO dalam kerajaan satu hakikat yang walaun tak dapat nafikan.

Apa yang lebih menggelikan hati adalah apabila dakwaan majoriti Melayu telah menolak UMNO di Ayer Kuning. Sekali lagi mereka memilih retorik berbanding fakta. Jika kita meneliti data, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Batu Mesjid yang mempunyai 96 peratus pengundi Melayu, undi Pas/PN telah merosot daripada 345 undi pada PRU15 kepada 292 dalam PRK baru-baru ini.

Sebaliknya, UMNO yang diwakili BN telah meningkat daripada 323 kepada 384 undi peningkatan dari segi angka dan peratusan.

Malah tiga PDM yang sebelum ini dimenangi Pas kini berjaya dirampas kembali oleh UMNO. Apa maknanya ini, jika bukan tanda jelas bahawa sokongan orang Melayu terhadap Pas semakin merosot?

Ini sekali gus membuktikan bahawa naratif ‘UMNO-DAP’ yang dicanang oleh pihak lawan hanyalah retorik kosong yang gagal meresap ke dalam minda dan sanubari rakyat Ayer Kuning.

Akhir sekali, sebagai orang lama dalam politik, Presiden Pas seharusnya menunjukkan akhlak dan tauladan yang lebih baik. Beliau sepatutnya tahu serangan peribadi dan politik kebencian bukan lagi kaedah yang diterima rakyat.

Sudah tiba masanya Pas sekali lagi bermuhasabah mengapa pengundi Melayu kian menjauh, dan mengapa retorik Islam yang dibawa semakin tidak dipercayai.

UMNO tidak pernah mendakwa dirinya maksum. Tetapi kami terus berusaha dengan segala kemampuan untuk menzahirkan perjuangan Islam dan Melayu dalam bentuk dasar dan tindakan yang nyata.

Dan kami percaya, rakyat khususnya orang Melayu dapat menilai yang mana kaca dan yang mana permata dan teringat saya kata-kata dalam Dewan Bahasa – Awak yang celaka, orang yang diumpat pula.

Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN