UNIVERSITI atau juga dikenali sebagai ‘puncak menara gading’ merupakan institusi yang dikaitkan dengan kecemerlangan dan perkembangan ilmu pengetahuan sejak berabad lamanya.
Pendidikan secara formal ini diolah serta digarap pihak berwajib telah melahirkan ribuan graduan setiap tahun bagi memenuhi keperluan semasa negara dalam aspek pembangunan fizikal dan insani.
Allah berfirman dalam Surah al Mujadalah, ayat 11 bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”
Oleh yang demikian, mahasiswa universiti perlu memastikan diri mereka betul-betul dilengkapi dengan ilmu pengetahuan mengikut pengkhususan yang mereka pilih dan bukan sekadar bermaklumat.
Terdapat perbezaan ketara antara mahasiswa berilmu dengan mereka yang hanya bermaklumat. Mahasiswa yang bermaklumat hanya mengetahui fakta berkaitan dengan subjek atau perkara dalam kadar dangkal dan tidak mendalam. Maklumat tersebut hanya bersifat sementara, boleh lupus daripada ingatan selepas beberapa waktu walaupun dihafal berulang kali kerana tiada kefahaman tuntas yang dihasilkan.
Mereka juga tidak mampu untuk mengaplikasi maklumat tersebut sebagai penyelesaian kepada isu-isu dan permasalahan semasa. Maklumat yang dimiliki mereka hanyalah sekadar input kepada minda yang bersumberkan kepada maklumat sekunder daripada internet ataupun aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Situasi ini amat bersesuaian dengan nasihat dari Surah al-Isra’ ayat 36, “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
Manakala mahasiswa berilmu pula, mempunyai kefahaman mendalam dan menyeluruh tentang sesuatu perkara atau subjek dengan kemampuan untuk menghubungkan maklumat baharu dengan pengetahuan sedia ada apabila wujudnya keperluan tersebut.
Mereka juga mempunyai kemampuan untuk mengaplikasi ilmu dalam konteks dan situasi berbeza sebagai penyelesaian yang diperlukan.
Pola ilmu mereka melangkaui sekadar hafalan fakta, pemahaman konsep dan corak serta penyelesaian masalah akademik bahkan ia lebih bersifat kritis, kreatif juga inovatif. Pengetahuan mereka dibina melalui sifat ingin tahu, penyelidikan dan pembelajaran berterusan, menjadikannya lebih kekal, fleksibel serta boleh digunakan dalam situasi dunia sebenar.
Benarlah firman Allah dalam Surah al-Zumar, “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”
Teknologi terkini menyediakan akses kepada maklumat 24 jam sehari untuk 365 hari setahun perlu dimanfaatkan setiap mahasiswa sebagai wadah untuk menjadikan diri insan berilmu yang dapat membangunkan masyarakat dan negara.
Mereka juga perlu dilatih untuk menggunakan ilmu yang diperoleh sepanjang tempoh pengajian untuk menyelesaikan masalah-masalah terkini yang berlaku di dalam masyarakat dan negara.
Setiap mata pelajaran yang diwajibkan di peringkat universiti, fakulti, jabatan serta pengkhususan perlu disusun semula bagi memastikan graduan yang bakal memimpin negara ini mampu untuk mengenal pasti penyelesaian tuntas kepada permasalahan yang berkaitan ekonomi, sosial, akhlak, adab, perpaduan, sains dan teknologi.
Sebagai contoh, mahasiswa aliran agama sepatutnya bukan sahaja menghafal dalil-dalil atau pandangan ulama terhadap sesuatu permasalahan bahkan perlu juga untuk mengenal pasti apakah intipati yang boleh diguna pakai untuk kemaslahatan umat. Sebagai contoh dalam masalah perpaduan umat dan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.
Mahasiswa bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) perlu mampu untuk menggunakan segala ilmu diperoleh untuk memastikan mekanisme terbaik dalam menghadapi serangan serta ancaman siber seperti buli dan penipuan dalam talian.
Mereka juga perlu mampu untuk mengenal pasti penggunaan internet kebendaan bagi mengurangkan risiko bencana alam atau menggunakan teknologi pengkalan data terkini bagi menyelesaikan isu miskin tegar dalam kalangan masyarakat.
Dengan kata lain, penilaian yang holistik perlu diwujudkan untuk menguji tahap ilmu pengetahuan yang dimiliki mahasiswa daripada pelbagai bidang yang melangkaui perpindahan fakta ke kertas jawapan pada waktu peperiksaan.
EPISTEMOLOGI TAWHID
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) secara konsisten menengahkan pelbagai pendekatan jangka pendek dan panjang bagi mencapai tujuan di atas. Sebagai contoh, Kerangka Akademik Sejahtera yang diperkenalkan pada 2021 bertujuan antara lain untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi seimbang sebagai warga masyarakat dan pemangkin kepada perubahan.
Pendekatan terbaharu sebagai kesinambungan kepada kerangka akademi sejahtera adalah Epistemologi Tawhid bagi menjurus kecemerlangan umat. Pendekatan bertujuan untuk memberi penumpuan kepada kecemerlangan keilmuan untuk warga UIAM sama ada pelajar ataupun kakitangan. Ia bagi menumpukan hubungan rapat sumber ilmu wahyu dengan segala pengetahuan yang memberi manfaat kepada alam dan manusia.
Sebagai rumusannya, mahasiswa universiti perlu menyediakan serta melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan tidak hanya bermaklumat. Ini bagi memastikan keberadaan mereka dapat memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan diri sendiri dengan mencapai tahap keilmuan yang tertentu dalam bidang masing- masing.-UTUSAN
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Sistem Maklumat, Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KICT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










